Showing posts with label Budaya Melayu. Show all posts
Showing posts with label Budaya Melayu. Show all posts

Saturday, December 7, 2013

Nilai Budi Bahasa Dalam Masyarakat Melayu

Diantara nilai dan budi masyarakat melayu ialah :-

(a) Berhati-hati
(b) Merendah Diri
(c) Sabar
(d) Pemurah
(e) Tekun dan Rajin
(f) Cintakan Kebenaran
(g) Menunaikan Janji
(h) Muafakat
(i) Tolong-Menolong
(j) Perpaduan
(k) Menghormati Ibu Bapa
(l) Mematuhi Adat

Masyarakat Melayu tradisional begitu menghormati adat yang dianggap sebagai peraturan atau undang-undang hidup yang tidak bentulis. Oleh sebab kebaikannya lebih banyak daripada keburukannya mereka mematuhinya untuk kesejahteraan, keamanan dan kebahagiaan masyarakat sejagat. Orang yang mematuhi adat yang baik dianggap sebagai berbudi mulia dan amat disanjung tinggi oleh masyarakat. Sebaliknya orang yang melanggar adat akan dicemuh. Peribahasa menjelaskannya seperti yang berikut:


Hidup dikandung adat
Mati dikandung tanah
Jangan mati adat
Adat sepanjang jalan
Cupak sepanjang betung

Kedudukan di atas tikar
Uratnya dari Melaka
Duduk kita atas tikar
Hendak membilang adat pesaka

Keduduk di dalam kuali
Uratnya sampai Melaka
Duduk kita dalam negeri
Elok membilang adat pesaka.


Penbilangan juga turut menghargai adat:M


(m) Menghormati Raja


Raja dianggap oleh masyarakat Melayu sebagai payung negeri. Justeru itu mereka menghormati dan mematuhi titah perintah raja. Dalam sejarah masyarakat Melayu tradisional, rakyat sanggup mengorbankan jiwa dan raga kepada raja mereka demi mendaulatkan sempadan negeri daripada pencerobohan. Sebab itulah mereka pantang menderhaka kepada seseorang raja terutamanya raja yang adil. Hal ini dapat dilihat dalam peribahasa yang berikut:

Pantang Melayu menderhaka kepada raja.

Namun demikian penghormatan dan kepatuhan mereka kepada raja tidak dilakukan secara membuta tuli. Raja yang dihormati dan dipatuhi ialah raja yang adil dan mereka menolak raja yang zalim. Peribahasa yang berikut ini membuktikannya:-

Raja adil raja disembah
Raja zalim raja disanggah

Sesungguhnya sukar untuk menafikan tentang kekayaan khazanah dan perbendaharaan budaya Melayu dengan nilai budi bahasa yang bermutu tinggi. Daripada senarai nilai budi masyarakat Melayu yang sempat  diketengahkan jelas membuktikan bahawa sifat kebudimanan mereka begitu tinggi dan tidak
syak lagi mereka merupakan salah satu bangsa yang mempunyai tamadun yang disegani di dunia ini.

Monday, July 15, 2013

Islam Dalam Pembentukan Jati Diri Melayu

Sejarah menyatakan bahawa sebelum kedatangan penjajah Barat, masyarakat alam Melayu telah mempunyai tamadun dan intelektual yang tinggi dan cemerlang (Zainal 2005). Namun begitu, tahap kecemerlangan dan ketinggian ini sebelum kedatangan Islam tidak mempunyai asas perpaduan dan jati diri yang dapat membezakannya dengan rumpun bangsa yang lain. Kemudian, setelah kedatangan Islam ke rantau ini, rumpun Melayu telah menemui asas jati diri yang sebenar iaitu agama Islam yang kekal sehingga kini. 

Malah, penetapan asas jati diri Islam ini telah diakui dalam kalangan akademia yang membahagikan ras bangsa masyarakat dunia kepada lima jenis; Caucasian (kulit putih), Negroid (kulit hitam), Mangolian (kulit kuning),  Red Indian (kulit merah), dan Melayu Polynesia (kulit sawo matang). Dalam kerangka pembahagian ini, ras Melayu telah digunakan dengan merujuk kepada tiga elemen utama, iaitu pertama, beragama Islam, kedua, mendiami kawasan Nusantara, dan ketiganya, mengamalkan sosio-budaya dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya (Muhammad Yusoff 1992).

Punca utama yang menyebabkan masyarakat Melayu memilih Islam sebagai asas jati diri kemelayuan telah dilihat oleh kebanyakan sarjana moden antara lainnya adalah kerana kesucian dan kesempurnaan ajaran Islam itu sendiri yang boleh dijelaskan dengan beberapa penerangan (Rahimin Affandi 2005: 
20-21):

1. Ajaran Islam amat bersesuaian dengan psikologi dan mentaliti masyarakat Melayu yang mengamalkan cara hidup yang lemah lembut dan bersifat universal (menghormati keharmonian alam).

2. Sifat ajaran Islam yang mudah difahami, rasional dan sesuai dengan fitrah manusiawi berbanding dengan agama lain.

3. Cakupan agama Islam tidak bersifat perkauman yang terhad kepada sesuatu bangsa semata-mata, tetapi merangkumi kesemua ras manusia sedunia yang dibina di atas asas persaudaraan (ukhuwah). 

Asas persaudaraan ini juga tidak menerima segala bentuk pembahagian kasta manusia yang mengakui semua manusia adalah sama martabatnya di sisi Allah. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), Islamlah yang telah memperkenalkan dunia Melayu kepada budaya ilmu dan pemikiran rasional yang menolak fahaman tahyul dan mitos. Islam jugalah yang memperkenalkan dunia Melayu kepada dunia luar, baik Timur mahupun Barat, sehingga memungkinkan bangsa Melayu mengadun, menempa dan membina sebuah kesultanan yang cukup masyhur dalam sejarah. Islamlah juga yang telah menyempurnakan fahaman keperibadian sendiri, mengemaskinikan Faham Kebangsaan Melayu dan menjadi faktor pemersatu (the unifying force) orang-orang Melayu di rantau ini. 

Tidak dapat dinafikan bahawa faktor utama yang menyumbang kepada peneguhan jati diri dalam kalangan masyarakat Melayu adalah kerana sifat kesucian dan kesyumulan Islam itu sendiri yang penuh dengan pelbagai sumber dan prinsip bagi menjana perkembangan hidup manusia ke arah yang lebih baik. 

Agama Islam mempunyai ciri asas yang sangat unggul dan sangat istimewa. Keunggulan dan keistimewaan ciri tersebut, sebagaimana yang dinukil oleh Khurshid Ahmad (1981), merangkumi tujuh perkara iaitu:

i.    Cara hidup yang sempurna
ii.   Kesejagatan dan kemanusiaan
iii.  Mudah, rasional dan praktikal
iv.  Perpaduan antara kebendaan dan kerohanian
v.   Keseimbangan antara individu dan masyarakat
vi.  Mengandungi unsur tetap dan berubah
vii.  Ajaran yang terpelihara

Agama memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia di dunia.  Tanpa agama, seseorang individu tidak mempunyai hala tuju yang benar dan jelas dalam menikmati kehidupan (Abdul Ghafar & Zaleha 2008). Islam juga merupakan agama yang selari dengan fitrah kejadian manusia. Dalam konteks ini, pemilihan Islam sebagai asas jati diri ini ternyata telah menguntungkan masyarakat Melayu. Ini adalah kerana semangat perpaduan dalam kalangan umat Melayu bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka Tauhid, ummah dan ukhuwah bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu  semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi (Rahimin Affandi 2000).

Friday, March 23, 2012

Budaya Masyarakat Melayu - Suatu Analisis

Budaya (culture) secara takfirannya diertikan sebagai cara hidup yang diamalkan secara berterusan dalam tempoh masa yang panjang sehingga amalan itu wujud dalam pemikiran separa sedar (sub-conscious mind) dan ia menjadi asas untuk membeza seseorang dengan yang lainnya (Hofstede, 1980; 1991).

Justeru, budaya masyarakat melayu ialah cara hidup bangsa melayu meliputi perkembangan sahsiah, budi, akal, daya, semangat, usaha, nilai dan tindakan dari aspek lahiriah dan juga aspek batiniah yang meresap masuk dalam pemikiran separa sedar bangsa melayu dan akhirnya menjadi tatacara hidup dan amalan orang melayu serta menjadi identiti kita yang membezakan kita dengan bangsa lain.

Dalam post ini saya berhasrat untuk membincangkan tentang budaya masyarakat melayu dari aspek nilai yang telah menjadi identiti bangsa kita. Saya berpendapat orang melayu perlu mengetahui budaya mereka dan mengenalpasti nilai yang tersalut disebalik budaya tersebut samada ia membawa kebaikan dan keburukan kepada masyarakat melayu sendiri. Namun saya menghadkan perbincangan ini dari aspek batin sahaja. Bukan budaya secara zahir seperti tarian, nyanyian, perkahwinan dan sebagainya.

Faktor utama yang membentuk dan mempengaruhi budaya bangsa melayu ialah 1) agama hindu, 2) islam dan 3) penjajah barat yang telah menjajah kita hampir 500 tahun. Sarjana barat, yang banyak membuat kajian tentang budaya masyarakat melayu seperti Hofstede, Lachman dan Triandis merumuskan bahawa diantara ciri-ciri budaya masyarakat melayu ialah:-

1. Akur kepada kemahuan majoriti' (individualism-collectivism)
2. Patuh pada ketua' (power distance)
3. Sukar menerima pembaharuan' (uncertainty avoidance) dan
4. Aktif dalam perhubungan seksual' (masculinity-femininity)

(Bersambung)