Showing posts with label Bicara 2 Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Bicara 2 Sahabat. Show all posts

Thursday, June 4, 2009

Bicara Antara Dua Sahabat - Ar-Rahman & Ar-Rahim Sumber Motivasi Sejagat

Saya bertemu seorang sahabat lama di Hotel Concord, Shah Alam. Beliau kami panggil Jojo, terkenal kerana wataknya yang unik. Kami berbicara dan bertukar-tukar fikiran tentang pelbagai hal, mulai dari hal-hal peribadi sehinggalah ke hal-hal semasa, politik, hiburan, muzik, UiTM, mahasiswa dan pelbagai lagi.

Kesimpulan daripada keseluruhan cerita-cerita yang kami perbualkan ialah 'asas kepada segala motivasi jiwa manusia ialah Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang daripada situ lahirnya nikmat dan rahmat Tuhan'. Prinsip suci hati 'buang sifat mazmumah, tanam sifat mahmudah' perlu dibudayakan dalam kehidupan harian kita kerana disitulah tersembunyinya rasa kebahagiaan jiwa. Kita perlu saling berkerjasama, bantu-membantu, tolong-menolong, berada dalam satu saf, berjalan sederap, yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dijunjung seperti perangai sang serangga, si semut dan si lebah dalam melaksanakan sesuatu misi dan visi agenda pembangunan bangsa Malaysia dan pembinaan tamadun nusantara.

Resolusi diatas diperakui oleh kami berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan ujikaji yang telah kami lakukan sepanjang melalui proses kehidupan selama melebihi 40 tahun.

Sunday, August 3, 2008

Bicara 2 Sahabat - Cerita Sejengkal dijadikan Sehasta

Saya dan sahabat saya, Rahman minum teh tarik dekat Restoran Darul Ehsan seksyen 17 tengah hari tadi. Banyak isu yang dibincangkan, banyak perkara yang didiskusikan dan banyak hal dibangkitkan sambil kami minum teh tarik. Bermula daripada cerita tentang UiTM, masuk ke cerita tentang politik negara sampailah ke isu hal ehwal agama.

Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah tentang berita kemalangan jalanraya dalam UiTM yang melibatkan bas UiTM dan motorsikal mahasiswa UiTM. Siswa dan siswi yang terlibat dalam kemalangan ini masih berada di Hospital tetapi heboh kabar angin mengatakan bahawa salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia. Berita tersebut tersebar begitu cepat dalam UiTM sehingga saya terpaksa membuat pembetulan tentang kabar angin tersebut kepada kawan-kawan yang rapat dengan saya. Kedua-dua mahasiswa UiTM tersebut masih hidup dan sedang menerima rawatan dihospital.

Ini adalah satu contoh budaya masyarakat kita yang pada pendapat saya tidak sihat. Berita sejengkal ditambahkan berjengkal-jengkal dan ianya dipercayai bulat-bulat. Lebih baik kita jangan bercerita atau menyebarkan cerita jika kita tidak pasti kebenaran cerita tersebut. Lagi satu, masyarakat kita suka mendengar berita buruk daripada mendengar berita baik. Berita buruk kita akan jaja dari satu mulut ke satu mulut yang lain tapi kalau berita baik kita tidak jaja dari satu mulut ke satu mulut. Berita tersebut akan terhenti begitu sahaja.

Nasihat saya kepada semua mahasiswa dan diri saya sendiri, mari kita sama-sama ubah budaya kita dalam aspek ini. Jangan menyebarkan berita yang kita tidak pasti kebenarannya kerana nanti kita terjunam ke lembah fitnah kerana mengada-adakan cerita. Kita hanya bercerita berita yang benar sahaja setakat yang kita tahu, jangan melebih-lebihkan cerita.