Tuesday, August 17, 2010

Falsafah Cinta - Menyegarkan Jiwa Yang Ketandusan

Perasaan ingin mencintai dan dicintai adalah fitrah yang dianugerahi Allah kepada manusia. Konsep cinta adalah luas, Manusia yang paling arif tentang cinta ada menyatakan, “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri”. Daripada hadist ini, kita dapat membuat penafsiran bahawa bagaimana kita dapat mencintai orang lain sekiranya kita tidak mencintai diri kita sendiri?

Jadi pertama sekali yang penting adalah kita harus mencintai diri kita sendiri. Cinta itu bermula dengan mencintai diri sendiri. Mencintai diri sendiri itu maknanya anda bersyukur kerana anda diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini dan berusaha supaya kehidupan anda yang cuma sekali ini mendapat kebaikan dan kesejahteraan. Dalam mencintai diri sendiri, anda perlu menerima keadaan dan rupa fizikal anda sepenuhnya dengan seadanya. Anda tidak perlu bimbang dan merasa sedih sekiranya ianya kurang sempurna. Kerana itu bukan diri anda yang sebenar.

Sekarang timbul persoalan siapakah diri kita yang sebenarnya? Jika kita tidak mengetahui siapa diri kita yang sebenar, bagaimana mungkin kita boleh mencintai diri sendiri? Diri kita yang sebenar adalah roh atau nyawa kita. Kerana adanya rohlah maka adanya kita. Jika kita hanya ada badan sahaja tetapi tiada roh, kita sebenarnya tiada. Ini bermakna mencintai diri sendiri adalah mencintai roh kita. Rohani kita adalah lebih penting daripada jasmani kita. Jasad kita hanyalah seumpama binatang tunggangan, roh kitalah penunggangnya. Sekiranya roh kita hebat dan cemerlang, kita boleh menukar binatang tunggangan mana yang kita suka. Hal ini akan berlaku di akhirat kelak. Di syurga terdapat pasar muka atau wajah. Kita boleh menukar wajah kita mengikut selera yang kita mahu. Justeru, apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah kita perlu berusaha atas kerohanian kita. Individu-individu yang berjaya di dunia ini adalah terdiri daripada mereka-mereka yang mempunyai kerohanian yang hebat dan cemerlang walaupun ada di kalangan mereka yang mempunyai fizikal yang lemah.

Seperti yang saya tekankan sebelum ini, keadaan fizikal bukanlah masalah dan tidak perlu disedihkan. Sekiranya anda mempunyai fizikal terbaik dan tercantik sekalipun tidak akan menentukan kecemerlangan anda. Bentuk dan keadaan fizikal hanyalah pinjaman sementara Tuhan kepada kita untuk menguji kekuatan rohani kita. Kehidupan dunia ini sendiri pun hanyalah ujian kepada rohani kita.

Sekarang sampailah kita kepada konsep cinta agung yang sebenarnya iaitu cinta kepada Yang Maha Agung iaitu Allah s.w.t. . Tanda cinta kepada Allah adalah kita mengikuti cara hidup yang dibawa oleh utusan dan kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Inilah jawapan kepada bagaimana cara kita menjadikan rohani kita hebat dan cemerlang, tanda cinta kepada diri sendiri. Apabila rohani kita hebat dan cemerlang, Allah s.w.t. akan mencintai kita dan akan ditundukkan makhluk-makhluk-Nya untuk mencintai kita. Kekuatan rohani kita seumpama besi berani yang menarik besi-besi lain disekitarnya.