Sunday, December 7, 2008

Jenazah Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media Selamat Dikebumikan..

Sejak daripada semalam saya ternanti-nanti jenazah Allahyarham Shafie Ahmad daripada New Zealand, Alhamdulilah semuanya telah selesai pada sekitar jam 6.30 petang tadi. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Memorial Park Seksyen 21 Shah Alam. Semasa di Surau Seksyen 8, Shah Alam pada petang tadi saya sempat menjadi jemaah solat jenazah Allahyarham. Beliau yang saya kenali adalah seorang sahabat yang komited dalam menjalankan tugas dan sentiasa bersikap positif dalam apa keadaan sekalipun. Semua urusan pengebumian berjalan lancar dan UiTM memberikan sepenuh komitmen untuk menyempurnakan majlis pengebumian tersebut. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempat bersama orang-orang yang beriman.

Tuesday, December 2, 2008

UiTM Menjadi Juara Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2008...!

Tahniah kepada semua warga UiTM daripada pentadbir, pensyarah, kakitangan sokongan dan pelajar di atas sokongan anda semua membawa kemenangan UiTM dinobatkan Johan Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2008 (Sektor Awam). Tugas yang lebih berat selepas ini ialah mempertahankan kemenangan tersebut dan membudayakan kualiti dalam setiap aspek pekerjaan kita di UiTM.

Monday, December 1, 2008

Seruan Kepada Mahasiswa UiTM: Jadilah Mahasiswa Yang Berani !

Keberanian adalah asas kepada pembangunan jati diri. Mahasiswa wajar membebaskan diri mereka daripada mana-mana pengaruh fahaman tertentu untuk dibawa masuk ke dalam arena politik kampus. Mahasiswa perlu mempunyai jati diri sendiri yang bersifat idealistik. Berani kerana berilmu, menjunjung budaya ilmu dan berupaya berfikir secara rasional berdasarkan ilmu. Itu adalah asas kepada jati diri seorang mahasiswa.