Wednesday, September 17, 2008

Tanda -Tanda Hati Yang Mati dan Hati Yang Hidup....

"Sebahagian daripada tanda-tanda hati yang mati ialah tidak berasa sedih(dukacita) kerana meninggalnya suatu amal kebaikan(kewajiban), kebajikan, amal makruf atau pahala dan juga tidak berasa menyesal jika melakukan suatu pelanggaran, kemusnahan, kekejian, kemaksiatan atau dosa"

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan hati yang hidup dan hati yang mati dalam istilah pengurusan kalbu untuk meraih kejayaan abadi dan hakiki yang telah dibincangkan dalam pos-pos yang lalu? Hati yang kita bincangkan ini bukan hati yang dirawat oleh doktor terhadap pesakit hepititis A atau B, organ dalaman yang terdapat didalam sangkar rusuk, yang dipanggil liver dalam bahasa inggeris yang mempunyai peranan penting dalam metabolisme. Maksud hati yang kita bincangkan disini ialah kalbu, perasaan jiwa yang dalam dilubuk sanubari.

Ketika hati dipenuhi dengan rasa cinta, kasih, sayang dan rindu terhadap keagungan dan mengagungkan Allah, maka dikala itu, hati itu menjadi hidup, tatkala perasaan sedemikian hilang daripada hati kita, maka pada ketika itu, hati itu menjadi mati. Sebagai manusia biasa, semua daripada kita akan melalui fenomena ini, iaitu iman kita tidak konsisten setiap masa, pada satu ketika, iman kita ditahap 85%, disatu ketika lain ia turun menjadi 50%, pada masa yang lain pula ia meningkat kepada 55% dan pada ketika lain pula menurun kepada 30%.

Ini adalah kelemahan manusia, itulah realiti yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T "Manusia itu bersifat lemah" (QS An-Nisa' ayat 28). Ini merupakan ketetapan Allah demi sebuah hikmah yang luar biasa dimana Allah telah berkehendak agar kemampuan manusia secara fizikal dan materi terbatas, diselumbungi oleh kecenderungan oleh hawa nafsu dan tidak sepi daripada was-was syaitan. Ini semua adalah fitrah iman dan realiti kehidupan dimukabumi ini. Rasululah bersabda "Semua anak cucu Adam melakukan kesalahan(kekeliruan). Sebaik-baik yang melakukan kesalahan(kekeliruan) adalah orang yang mahu bertaubat" Diriwayatkan oleh Iman Ahmad, Ar Tarmizi, Ibnu Majah dan Hakim dari hadist Anas bin Malik(Sanadnya sahih)

Hikmah dijadikan keadaan sedemikian kepada manusia ialah supaya manusia insaf bahawa hanya pertolongan Allah yang dapat membebaskan manusia daripada maksiat, jatuh ke lembah perdayaan syaitan, tenggelam didalam arus kenikmatan hawa nafsu dan sebagainya. Tetapi setelah kita terjatuh ke lembah kesalahan atau maksiat, mata hati kita yang bernama kalbu yang duduk di dalam sanubari kita berbisik "sesungguhnya aku telah melakukan kesalahan dan maksiat, aku bersalah pada mu Ya Allah". Timbul penyesalan dalam hati terhadap kesalahan kita itu. Timbul keazaman untuk bertaubat kepada Allah. Itu adalah tanda-tanda hati yang HIDUP. Sebaliknya, jika hati kita tidak merasa bersalah terhadap segala dosa yang kita lakukan, malahan merasa megah dan bangga dengan dosa tersebut, maka sesungguhnya itulah tandanya hati yang MATI.

Semoga kita semua tergolong dikalangan orang-orang yang mempunyai hati yang hidup, hati yang bersih dan hati yang terbuka untuk menerima taufik dan hidayah daripada Allah S.W.T Kita mohon supaya bantuan dan pertolongan Allah sentiasa bersama kita dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini.

(Rujukan Utama : Syarah Al-Hikam Al-'Ataiyyah - Ibnu 'Ataillah)

Apa itu 'Jiwa-Jiwa Yang Tenang'?

"Orang yang bahagia adalah orang selalu stabil dalam suatu sikap dan keadaan iaitu orang bertaqwa; jika kaya rezeki dia selalu berwaspada dan tidak sombong, jika dalam kefakiran dia sabar,jika diberi nikmat kesihatan dia gunakan sebagaimana selayaknya dan jika diuji dengan cubaan dia tidak resah dan gelisah"

Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni