Polisi UiTM tidak langgar etika
Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan
SHAH ALAM – Dasar kemasukan hanya Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak melanggar sebarang etika mahupun Konvensyen Antarabangsa yang berkait dengan diskriminasi perkauman.

Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, tujuan utama UiTM dibina adalah untuk membantu kumpulan minoriti iaitu orang Melayu yang masih ketinggalan dalam arus pendidikan.

“Untuk membantu golongan minoriti yang masih ketinggalan adalah tidak salah dan UiTM mengambil inisiatif membuka tawaran hanya kepada Bumiputera.

“Di Amerika misalnya, mereka melakukan perkara yang sama untuk membantu kumpulan penduduk kulit hitam berpeluang masuk ke universiti. Sebarang resolusi untuk meningkatkan tahap pendidikan golongan tertentu adalah perkara yang perlu disambut baik dan bukan dipertikaikan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Azmi berkata, tertubuhnya UiTM menunjukkan sistem pendidikan negara memberi hak sama rata dengan kaum lain yang masing-masing mempunyai peluang yang sama seperti mana wujudnya banyak universiti dan kolej swasta lain.
“Peluang untuk mendapat pendidikan tetap ada untuk semua kaum, jadi tidak timbul isu langgar hak asasi manusia mahupun melanggar mana-mana syarat antarabangsa. UiTM adalah untuk membantu anak Bumiputera bersaing secara adil,” katanya.

Sementara itu, Alumni UiTM, Ahmad Badly Badaruddin berkata, UiTM perlu dikekalkan untuk Bumiputera sahaja kerana ia merupakan satu-satunya universiti di negara ini yang mempunyai majoriti Melayu.

"Saya tidak bersetuju sekiranya UiTM ini turut dibuka kepada bukan Bumiputera. Sekiranya UiTM menukar dasarnya, apa lagi yang ada untuk kami anak Melayu? UiTM ini umpama universiti warisan Bumiputera yang perlu dipelihara keunikannya.

"Peluang untuk bukan Bumiputera menerima pendidikan di negara ini juga terbentang luas dan tiada alasan untuk mempertikaikan dasar UiTM," katanya.