Showing posts with label Azmin Ali. Show all posts
Showing posts with label Azmin Ali. Show all posts

Tuesday, November 25, 2014

Tan Sri Khalid Ibrahim jawab tuduhan Azmin Ali tentang perbelanjaan defisit

Saya merujuk kepada laporan media massa berkenaan Belanjawan Negeri Selangor 2015 yang merupakan belanjawan defisit pertama setelah Selangor berjaya membentangkan belanjawan berimbang selama enam tahun di antara 2008-2013.

Saya tidak mahu mengulas tentang keputusan pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini untuk membentangkan belanjawan defisit tetapi merasakan perlu untuk tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan yang kononnya belanjawan berimbang terdahulu dicemari oleh permohonan perbekalan tambahan, dan akhirnya mengakibatkan perbelanjaan defisit.

Ingin saya tegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan ada unsur berniat jahat, seolah-olah ingin memberi tanggapan negatif mengenai pengurusan fiskal dan kewangan semasa saya diberi tanggunjawab sebagai Dato' Menteri Besar Selangor. Malah, amat jelas pada pandangan saya ada pihak yang tidak faham atau kurang arif tentang amalan pengurusan kewangan yang baik, cekap dan berkesan.

Ingin saya tegaskan walaupun pentadbiran terdahulu memohon perbekalan tambahan setiap tahun sejak 2008, namun kerajaan Selangor sebenarnya mempunyai lebihan (surplus) berikutan hasil kerajaan negeri melebihi perbelanjaan. Hakikat yang boleh disemak dan dipastikan oleh orang ramai ini sememangnya telah disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, walaupun kerajaan negeri memohon perbekalan tambahan setiap tahun, rizab negeri tidak pernah berkurang malah semakin bertambah saban tahun. Sila rujuk kepada Penyata Kewangan Negeri yang mengesahkan Kumpulan Wang Disatukan bertambah sejak tahun 2008.



Rizab negeri di atas menunjukkan trend meningkat walaupun perbelanjaan kerajaan negeri turut meningkat setiap tahun. Ini menunjukkan bahawa jumlah rizab yang tinggi tidak pernah dijadikan justifikasi untuk kerajaan negeri berbelanja lebih di luar keperluan atau kemampuan atau memohon belanja tambahan. Ini juga membuktikan pengurusan hasil dan pendapatan yang cekap oleh kerajaan negeri.

Malah, jika disemak semula semua data belanjawan 2009-2014, adalah jelas bahawa perbekalan tambahan hanya dipohon setelah kerajaan ketika itu berjaya meningkatkan pendapatan yang dijana melalui pertumbuhan ekonomi mampan dan perbelanjaan berhemah.



Adalah terpesong sama sekali dakwaan bahawa Selangor mengalami belanjawan defisit sejak 2008. Harus diingatkan juga kemewahan yg dinikmati Selangor pada belanjawan 2015 adalah hasil pendekatan berhemah yang diambil pentadbiran terdahulu tetapi amatlah tidak bertanggungjawab bagi pentadbiran hari ini untuk mencari justifikasi belanjawan defisit dengan memutar belit fakta yang boleh disanggah dengan senang oleh bukti-bukti dalam laporan kewangan dan audit.

TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
25 NOVEMBER 2014

Tuesday, June 17, 2014

SURAT TERBUKA MEMINTA PENJELASAN AZMIN ALI KERANA GAGAL MEMPERTAHANKAN KEPENTINGAN ANAK SELANGOR

Beberapa hari lepas saya telah mendapat dokumen dipercayai milik PKNS yang mempunyai maklumat berkenaan projek usahasama PKNS Holding iaitu PJ Sentral Development Sdn Bhd.

Dokumen tersebut juga menunjukkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sedang menjalankan penyiasatan dalaman terhadap anak syarikatnya PKNS Holdings Sdn Bhd terutamanya dalam transaksi yang berkaitan projek PJ Sentral Development (PJ Sentral).

Jabatan Audit Dalaman PKNS digambarkan sedang menjalankan siasatan secara terperinci termasuk mendapatkan maklumat dan dokumen daripada ahli-ahli lembaga pengarah PKNS Holdings yang mewakili PKNS dalam PJ Sentral iaitu YB Mohamed Azmin Ali dan Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Projek PJ Sentral melibatkan pembangunan komersil di kawasan seluas 9,854 ekar yang menempatkan Ibu Pejabat PKNS. Pada 6 September 2007, PKNS menjual 8.05 ekar kepada Bisraya Pembinaan Sdn Bhd dan dana itu digunakan bagi membiayai pembangunan Ibu Pejabat PKNS yang baharu di kawasan tanah berbaki itu.

Anak syarikat PKNS iaitu PKNS Holdings (PHSB) telah menjalinkan kerjasama dengan Nusa Gapurna dan membentuk sebuah syarikat untuk membangunkan PJ Sentral dengan pegangan saham 30-70.

Menerusi syarikat kerjasama itu, PHSB telah diwakili oleh YB Mohamed Azmin Ali dan Datin Paduka Norazlina Zakaria yang masing-masing merupakan Ahli Lembaga Pengarah sejak dari tahun 2011 dan 2012.

Pada Februari 2013, Nusa Gapurna telah mengadakan perjanjian dengan MRCB untuk menjual 70% pegangan saham dalam PJ Sentral kepada MRCB melalui reverse takeover proposal.

Dokumen yang diperolehi menggambarkan kegagalan wakil PKNS dalam PJ Sentral untuk mempertahankan kepentingan PKNS.

Dalam dokumen tersebut juga menunjukkan YB Azmin Ali gagal hadir siasatan audit malah tercatat rentetan tarikh – tarikh yang dimana siasatan audit gagal menemui YB Azmin Ali seolah dia lari dan cuba mengelak proses siasatan.

Dari dokumen ini muncul persoalan

i. Kenapa dia lari dan mengelak lebih dari dua bulan untuk menghadiri sesi penyiasatan audit ? apa yang hendak disurukkan ?

ii. Adakah dia lemah atau sengaja dalam gagal mempertahankan kepentingan PKNS dalam projek PJ Sentral ? maaf jika dikatakan jika tidak dijelaskan maka mungkin akan wujud persepsi bahawa mungkin wujud juga imbuhan untuk berpura lemah.

iii. Adakah kegagalan ini penyebab penamatan beliau sebagai ahli lembaga pengarah ?

Kegagalan ini mempertahankan kepentingan PKNS dalam projek bernilai billion ringgit ini merupakan satu kerugian kepada semua warga Selangor secara keseluruhanya. Saya selaku anak Selangor dan juga anggota PKR menuntut jawapan dari YB Azmin Ali dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim juga harus tampil memberikan penjelasan mengenai perkara ini dan Kerajaan negeri harus menerangkan apa tindakan lanjut untuk mempertahankan atau mendapatkan semula hak warga Selangor yang hilang.

Dalam kesempatan ini juga ingin memohon penjelasan YB Azmin Ali mengenai berapa ramai kakitangan yang beliau bawa masuk dalam PKNS untuk dibayar gaji oleh PKNS selepas lantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah sehingga tidak disambung kontrak ?

Akhirnya besarlah harapan saya agar surat saya ini jangan disalah ertikan malah seharusnya dijadikan peluang dan ruang harus digunakan bagi menjelaskan kepada rakyat. Saya percaya dan yakin sama ada YB Azmin Ali mahupun YAB Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar sendiri tentu mementingkan integriti dan keterbukaan maklumat.

Sekian dan terima kasih.

Khairooll Anuar AlMegat
No. anggota PKR B 030003354
Cabang Hulu Selangor