Tuesday, February 23, 2010

BERNAMA - Kabinet Akan Putuskan Tarif Baru Elektrik Pada Rabu

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kabinet akan memutuskan mengenai tarif baru elektrik pada Rabu, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata kementeriannya telah mengemukakan kertas cadangan mengenai semakan tarif tenaga kepada Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.

"Sekiranya Kabinet meluluskannya, akan terdapat kenaikan, tidak mungkin penurunan," kata beliau kepada pemberita pada majlis Tahun Baru Cina Tenaga Nasional Bhd di sini. Mengenai peratusan kenaikan, Chin berkata: "Saya tidak boleh beritahu kerana mungkin esok Kabinet membuat keputusan lain."

-- BERNAMA

BERNAMA - Kabinet Akan Putuskan Tarif Baru Elektrik Pada Rabu

BERNAMA - Kerajaan Cari Jalan Kurangkan Kos Pembinaan Hospital

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan mahu mengurangkan kos pembinaan hospital di negara ini sehingga satu pertiga tanpa mengabaikan kualiti dan kemudahan yang disediakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Sebagai contoh, kata beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan agar penanda aras bagi setiap katil harus diletakkan pada RM500,000 berbanding RM1.5 juta sekarang.

Kos setiap katil itu dikira berdasarkan jumlah kos keseluruhan pembinaan hospital dan dibahagikan dengan jumlah katil yang disediakan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan persidangan antarabangsa 'Continuing Professional Development' bertema "Ke Arah Kejururawatan Bertaraf Dunia", di sini Selasa.

"Jika kos setiap katil sangat tinggi maka anda terpaksa mengenakan bayaran yang tinggi juga atau mengalami kerugian...dan dalam kes hospital kerajaan akan melibatkan duit pembayar cukai," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar yang terpaksa ditanggung kerajaan apabila membina hospital baru sambil berkata soalan tersebut wajar diaju kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Koh berkata penyedia perkhidmatan kesihatan wajar mengutamakan nilai wang, mengurangkan kos dan mengurangkan kemewahan yang tidak perlu selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.

"Penekanan kedua adalah pembangunan manusia...bermakna adalah lebih baik (bagi penyedia perkhidmatan kesihatan) untuk berbelanja ke atas kepakaran tenaga kerja berbanding 'batu bata'," katanya.

Beliau berkata kerajaan sekarang memberi penekanan terhadap nilai bagi wang yang dibelanja dan kualiti sumber manusia dalam perkhidmatan kesihatan.

Koh juga berkata Malaysia masih perlu mengeluarkan lebih ramai jururawat dan paramedik pada pelbagai peringkat, terutamanya untuk memenuhi keperluan Klinik 1Malaysia.

"Jika dibuat perbandingan, kita mempunyai sekitar 150,000 petugas dalam perkhidmatan kesihatan kerajaan iaitu dengan nisbah lima bagi setiap 1,000 penduduk berbanding 1.5 juta di United Kingdom dengan nisbah 24 bagi setiap 1,000 orang," katanya.

Koh berkata walaupun begitu Malaysia berjaya muncul sebagai antara pembekal utama jururawat untuk negara-negara lain.

Justeru beliau mengalu-alukan inisiatif kolej kejururawatan International College of Health Sciences (ICHS) di Malaysia untuk meluaskan program dengan membina sebuah kampus baru di negara ini dan memperkenalkan ijazah dalam bidang kejururawatan.

Persidangan sulung selama tiga hari itu diadakan bagi menyediakan wahana untuk warga perkhidmatan kesihatan meningkatkan kemahiran dan kepakaran mereka dalam usaha mengangkat standard profesyen jururawat di negara ini. Persidangan itu dihadiri oleh lebih 200 petugas profesional dari hospital kerajaan dan swasta serta institusi perkhidmatan kesihatan.

BERNAMA - Kerajaan Cari Jalan Kurangkan Kos Pembinaan Hospital