Friday, July 4, 2008

Peranan Pegawai Pembangunan Pelajar Non-Resident (NR)

Sebentar tadi saya menerima surat penyambungan perlantikan saya sebagai PPPNR sehingga 30 Jun 2009 daripada Dato' Prof. Dr. Nasuddin Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni. Terima kasih kepada HEP kerana masih memberikan saya kepercayaan untuk menyumbang idea, pendapat dan tenaga untuk membangunkan mahasiswa NR UiTM yang kini berjumlah melebihi 20,000 orang.

Diantara tugasan saya sebagai PPPNR ialah menjadi duta universiti bila berhadapan dengan masyarakat setempat, pihak berkuasa seperti Polis, JAIS dan sebagainya dalam menangani permasalahan yang melibatkan mahasiswa UiTM. Disamping itu, saya juga bertangungjawab membantu mana-mana mahasiswa UiTM NR yang ditimpa kemalangan, kesusahan, gangguan dan sebagainya.

Selari dengan nama sebagai pegawai pembangunan pelajar maka peranan PPP bukanlah hanya sebagai penguatkuasa dan membawa mahasiswa ke Mahkamah Pelajar HEP untuk didakwa dan diambil tindakan tatatertib. Tugas PPPNR merangkumi keseluruhan aspek pembangunan modal insan, merancang aktiviti pembangunan pelajar, merapatkan jurang komunikasi antara pelajar dan masyarakat setempat, mendorong pelajar menjadi agen perubahan masyarakat dan sebagainya.

Saya berhasrat untuk memberikan pesanan kepada semua mahasiswa non-resident(nr) supaya sedar dan insaf bahawa anda merupakan sebahagian dari komuniti dalam masyarakat yang hidup dan tinggal berjiran dengan mereka di pangsapuri, kondominium, flat, taman perumahan dan sebagainya. Justeru itu, saudara/i perlu mempunyai etika bermasyarakat. Contohnya, mengenali jiran anda, menghormati mereka, menjaga adat dan tatasusila kesopanan, menjaga kehormatan diri dari segi berpakaian, menghormati waktu solat, menjaga kebersihan rumah dan kawasan sekitarnya, memelihara ketenteraman dan keharmonian tetangga, tidak menganggu jiran dengan kebisingan motorsikal, meletak kenderaan ditempat yang betul dan menghadiri diri ke majlis yang dianjurkan oleh penduduk jika mendapat jemputan.

Bicara 3 Sahabat Tentang Komitmen

Saya berbual dengan dua orang sahabat di Khalifah Seksyen 3 tentang komitmen. Dalam kecerahan lampu kalimantang yang pudar Haq berkata "kalau nak jadi manusia kita kena ada komitmen, tanpa komitmen kita tidak boleh digelar manusia" kemudian zul menambah "dalam hidup, kita kena ada komitmen, kalau tak banyak pun sikit...setidak-tidaknya komitmen kepada keluarga". Saya menambah " untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik kita perlu memberikan komitmen yang tinggi dan kadang-kadang kita terpaksa mengorbankan komitmen kita yang lain". Justeru itu, sambil mengingatkan diri sendiri , maka sewajarnyalah kita bermuhasabah menilai semula komitmen kita kepada diri sendiri, keluarga, bangsa dan agama. Semoga kita sama-sama dilandasan yang betul.