Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Monday, January 7, 2019

Puisi "Kata-kata" oleh Prof Dato' Dr. Awang Sariyan

Puisi "Kata-kata"

Kata-kata
meskipun terbit sebagai deretan fonem-fonem dalam lisan
dan terakam sebagai deretan grafem-grafem dalam tulisan
ada kalanya menghiris jantung hati
membunuh kedamaian sukma
menghakis pautan kasih
merungkai simpulan hati
meleburkan silaturrahmi
apabila diungkapkan tanpa seni komunikasi
dizahirkan tanpa niat yang murni
disampaikan dengan gaya hati yang mati

Kata-kata
sewajarnya dijaga
dibaja subur menjadi pohon budi
menjadi wasilah akal dan pekerti
menjadi sangga peribadi terpuji
justeru kerana bahasa kurniaan Ilahi
sebagai acuan menzahirkan peri
tentang segala nan di dalam dan di luar diri
juga penanggap, penafsir dan penaakul sakti
segala nan dicerap pancaindera tentang alam kulliy

Kata-kata
dapat menyatukan hati
mendamaikan jiwa
memadukan persaudaraan dan persahabatan
seandainya disaluti adab dan kesantunan
tetapi dapat memecahkan benteng perpaduan
memusnahkan kemanusiaan
seandainya disaluti api kebencian dan perseteruan

~Kembara Bahasa~
6 Januari 2013/24 Safar 1434

Tuesday, November 25, 2014

PANTUN MAKRIFAT WALI SONGO


Sama-samalah kita berfikir akan maksud tersurat dan tersirat yang terkandung di sebalik pantun-pantun ini. Sesungguhnya, pantun ini memberikan kata pembayang dan dan kata penyudah yang amat bernilai jika kita benar-benar memikirkannya !

Awal Bismillah mula disebut,
Rahman dan Rahim sifat mengikut,
Dunia akhirat nyatalah luput,
Jalan hakikat pula diturut.

Alhamdulillah pujinya insan,
Rabbil Alamin sifatnya Tuhan,
Selawat Nabi akhirnya zaman,
Muhammad Amin Abi Burrahman.

Jalan takzim pula dikata,
Atas Nabi junjungan kita,
Sahabat yang empat nyatalah serta,
Tiada berhenti sekejap masa.

Jalan hakikat sangat terbilang,
Tiada binasa urat dan tulang,
Daging dan darah tiada hilang,
Kerna sifat dibawa pulang.

Jika sifat sudah binasa,
Kepada Nabi tiada berjumpa,
Segala amalan tiada tiba,
Tiada dapat syurga yang baqa.

Jangan binasa sifatmu tuan,
Tiada berjumpa hamba dan Tuhan,
Hakikat kita tinggal di jalan,
Segala amalan menjadi haiwan.

Jika kita tidak mengkaji,
Kepada Nabi mendapat keji,
Malaikat tiada membawa wahi,
Allah tiada mungkirkan janji.

Mengenal Tuhan tak boleh nyata,
Kerna tak boleh dipandang mata,
Hingga diri jua dicita,
Kenal olehmu sifatnya kita.

Tatkala Adam dengannya Hawa,
Dendam berahi antara berdua,
Nafi dan isbat itulah dia,
Kepada kita menjadi rahsia.

Cari guru mengenal diri,
Yang diamanat olehlah Nabi,
Jangan takut penat dan rugi,
Asalkan dapat ilmu sejati.

Guru mursyid harus dicari,
Itulah ulama pewarisi Nabi,
Jika di situ dia mengajari,
Di situlah tuan menyerah diri.

Wahai sekelian saudaraku,
Mengenal waktu biarlah tentu,
Kalau tak kenal waktu itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.

Waktu kita di alam roh,
Berkata Allah kepada nyawa,
Bukankah Aku Tuhanmu segala?
Betullah Engkau Tuhan katanya nyawa.

Jadi olehmu mursyid utama,
Sebenar makrifah boleh dibawa,
Seperti badan dengannya nyawa,
Dunia akhirat bersama-sama.

Hakikat makrifat menyucikan badan,
Air maal hayat yang menjalankan,
Zikrullah yang diasyikkan,
Kurangkan tidur ataupun makan.

Jalan hakikat bukan kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Zahir dan batin semuanya lapang,
Kerana Sir yang Empunya pandang.

Wahai saudaraku dengarlah tuan,
Sebenar hidup katakan Tuhan,
Kuntum yang tujuh di situ tersimpan,
Itulah pakaian Wali Sembilan.

Kuatnya tubuh itulah nyawa,
Sekalian yang zahir takluk padanya,
Syurga yang tujuh Dia yang punya,
Kepada kita menjadi rahsia

Jalan hakikat sangat terpilih,
Hendaklah tahu asalnya benih,
Nafi di dalam hati yang putih,
Makrifat kita barulah jernih.

Sifat makni tidak bersekutu,
Sifat Allah namanya itu,
Tiada boleh bandingkan sesuatu,
Wujud Allah namanya itu.

Tuntutlah ilmu walau di mana,
Amal dan ilmu tiada terhingga,
Amal tanpa ilmu diazab kita,
Di akhirat tiada berguna.

Kejadiannya kita dari air lazat,
Cahayanya seperti kilat,
Tatkala asyik tiada ingat,
Barulah ada junub dan janabat.

Di wadi mani manikam,
Asalnya ia daripada kalam,
Dengan kudrat Tuhan Khaliqul Alam,
Yang menjadikan tubuh anak Adam.

Kalau kita tidak mengkaji,
Kepada Tuhan mendapat keji,
Malaikat tiada membawa wahi,
Allah tiada mungkirkan janji.

Jika tariqat hendak dibawa,
Carikan guru akan petua,
Supaya jangan bertuhankan nyawa,
Hakikat kita tiada derhaka.

Syarat rukunnya sudah ketahui,
Sah batalnya demikian lagi,
Amal diterima Tuhan Ilahi,
Syarat rukunnya sudah ketahui.

Siapa beramal dengan jahalnya,
Tiada tahu sah batalnya,
Amal tiada diterima Tuhannya,
Di dalam neraka kekallah ia.

Wahai sekelian saudaraku,
Mengenal Ka'abah biarlah tentu,
Jika tak kenal Ka'abah itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.

Wahai saudara tua dan muda,
Fikirkan olehmu senantiasa,
Janganlah seperti orang yang buta,
Tinggal ilmu mencari harta.

Hidup tiada ingat akan mati,
Bersukaria sepanjang hari,
Hanya harta dapatkan diri,
Tiga lapis kain kafan saja Ia beri.

Jalan hakikat bukan kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Jikalau hati syak dan waham,
Cahaya yang terang menjadi kelam.

Wahai sekalian saudara-saudaraku,
Jalan hakikat demikianlah itu,
Jikalau boleh pintalah selalu,
Jangan binasa sifatmu itu.

Hati yang mukmin suci dan ikhlas,
Laksana air di dalam gelas,
Cuci hatimu seperti kapas,
Makrifah kita barulah jelas.

Syariat itu martabatnya tinggi,
Yang dipakai oleh Sayyidina Ali,
Barangsiapa dapat asalnya jadi,
Yang bergantung tiada bertali.

Syariat tariqat terlalu mulia,
Itulah pakaian Wali Ambiyya,
Barangsiapa dapat asalnya,
Bolehlah membawa badan dan nyawa.

Berhati hati tatkala berjalan,
Takut kaki terpijak duri,
Belajar baik baik jalan Ketuhanan,
Jangan sampai bertuhankan diri.

Baik baik menebang buluh,
Buluh ditebang dikerat kerat,
Hati hati mengenal tubuh,
Didalam tubuh adanya sifat.

Tuesday, October 14, 2014

Sebuah Puisi Ketika Lara

MARI BERSATU KITA MENYATU

Mari bersatu wahai rakan
Menyerah tenaga mengatur barisan
Dewasa, remaja, kanak-kanak sekalian
Berpadu teguh membina ikatan

Mari kita berganding kudrat
Berat ringan sama dipikul
Jangan terpisah sempadan darjat
Bergandingan tangan mencipta unggul

Bukan masanya berpecah belah
Satu kebarat satu ketimur
Tenaga semua perlu dipersembah
Agar Malaysia menjadi makmur

Wahai semua bangsa Malaysia
Tetapkan hati, bersatu kita
Menjadi bangsa dihormati dunia
Kerana hebatnya budaya kita.




Saturday, December 7, 2013

Akal dan Hati - Suriafarizan Saupi



Pujuklah hatimu pulang ke pangkalnya
kepada akalnya
kepada asalnya
biar titik-titik hitam hapus di dasar hatimu
kelam sirna meraba-raba menepis suara seketul
darah suci
lantang suara berkeliaran menahan, memarahi,
merayu-rayu
terjebak dalam kehancuran
sesal tak sudah
di mana hati atau akal
biar hari-hari yang sudah itu dibalas sinar
berwarna jingga dan dasar lubuk
bertepuk, bersorak, berlaku gerak laku akal budi
kemenangan di tanganku
aku menang
aku gagah
aku berjaya.
Kita adalah sejagat
kita insan kerdil
dalam kekudusan
kata hati atau kata akal
itu yang mustahak
akhirnya
tawakal
kepada-Nya.

Pasir Putih,
Kelantan.

Thursday, October 31, 2013

Adakah Masih Ada - A.Kadir Wahab

















ADAKAH MASIH ADA

Adakah masih ada masaku
dalam mengharungi alunan hidup ini
adakah masih ada usiaku
untuk terus menabur bunga budi
pada nusa dan bangsa

adakah masih ada malamku
bagi menyempurnakan kesyukuranku
adakah masih ada siangku
dalam menjalankan otot-otot tubuhku
adakah masih ada rezekiku
untuk menyambung tali penderitaan ini
dalam menyempurnakan cabaran
dan arus penghidupan
adakah masih ada.

Masjid Tanah, Melaka Mingguan Malaysia, 1 September 1991

Sunday, July 14, 2013

Ingat Hidup Berbilang Hari

Ingat hidup berbilang hari,
Pagi lahir petangnya mati,
Jagalah waktu selagi pagi,
Banyakkan tunjuk kuat memberi,
Lembutkan lidah keraskan hati,
Sebelum nafas engkau berhenti.

Ingat diri makhluk yang lemah,
Jangan sekali sombong dan pongah,
Berjalan jangan lapah melapah,
Berkata jangan sergah menyergah,
Memberi jangan bergah-bergah,
Berlayar tahu tempat singgah,
Berlabuh tahu tempat memunggah.

Ingat hidup mencari bekal,
Menurunkan pusaka pada yang tinggal,
Tahu ke mana hujung dan pangkal,
Tahu di mana harta berasal,
Tahu tua tidak menyesal,
Tahu muda belum berakal.

Friday, January 18, 2013

Sajak 'Melayu' oleh Sasterawan Negara Allahyarham Dr. Usman Awang.


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Monday, March 5, 2012

Renungkanlah!

Rabiulawal selamat berjalan
Rabiulakhir merapat pengkalan
Menurut giliran purnama sebulan
Perginya tak balik wahai taulan

Apa yang balik hanyalah nama
Genap setahun kembali menjelma
Zatnya tak dapat dipandang roma
Menurut tahunnya pergi bersama.

Tahun yang pergi tak pernah balik
Menurut bilangan terus bergolek
Bekasnya tinggal hodoh dan molek
Di situlah iktibar siasah dan tilik.

Demikian perjalanan umurnya dunia
Begitu juga umur manusia
Siapa tak ingat kurang selia
Luput masa dalam sia-sia.

Lima waktu malam dan siang
Saralah hidup kerjakan sembahyang
Dirikan agama empunya tiang
Supaya hidup tidaklah bergoyang

Sembahyang itu tiang agama
Roh dan jasad berkerjasama
Mengadap hadrat Tuhan yang azima
Mengaku hamba tidak percuma.

Berdiri teguh tunduk kepala
Berpeluk tubuh kiblat dihala
Memuji Tuhan Subhanahu wa Taala
Mohon pertolongan segala perkara

Mohon pertunjuk jalan yang benar
Jalan nikmat terang bersinar
Bukannya jalan sesat melanar
Ataupun jalan derhaka yang mungkar.

Membongkok rukuk membesarkan Tuhan
Memohon rahmat dengan kasihan
Berharapkan ampun segala kesalahan
Dunia akhirat lepas kesusahan.

Sujud melekap dahi ke tanah
Merendahkan diri lemah dan punah
Kepada Tuhan berharapkan ihsanah
Dunia akhirat terlepaslah laknah.

Duduk tahiyat kaki berlipat
Naik saksi putus makrifat
MengEsakan Tuhan tidak bertempat
Membenarkan Muhammad rasulnya tepat.

Demikianlah sembahyang pun kelebihan
Caranya hamba membesarkan Tuhan
Merendahkan diri sebenar-benar kehambaan
Lemah dan daif setiap keadaan.

Tinggalkan sembahyang tidaklah harus
Dosanya lebih datang menjirus
Mengaku Islam tidaklah lurus
Hina daripada anjing yang kurus.

Tiap-tiap manusia ada sembahyangnya
Yahudi Nasrani sembahyang caranya
Hatta Majusi sembahyang berhalanya
Yang tidak sembahyang? Sendiri bertanya!!

Monday, February 27, 2012

Malaysia Tanahair Pusaka

Di atas robohan kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Inilah cogan kata mahasiswa
Segenap rakyat seiya sekata!

Semenjak dahulu zaman purbakala
Telah dinyanyikan lagu seloka
Melayu tidak membuang baka
Sedia membela tanah pusaka!

Sedia menentang fitnah merata
Ataupun curang, khianat celaka
Dari pihak seteru puaka
Kepada Malaysia tanah pusaka!

Demikianlah azam bukan direka
Pemuda pemudi jiwa merdeka
Negaraku Malaysia tanah pusaka!
Sekali merdeka! Tetap merdeka!!

Sunday, September 19, 2010

Dialog Antara Kepala Burung Dengan Temenggong Tentang Kehijauan Alam

Kepala segala burung mengusulkan agar kehijauan alam dipelihara kepada Temenggong,
Temenggong berjanji usul itu akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Granite Segunung,
Tapi realitinya kata cicit Kepala Burung "Semua pokok hijau telah ditebang sehingga kami tidak ada tempat untuk singgah ketika terbang",
"Cakap tidak serupa bikin" kata anak Kepala Burung,

"Pokok dan kehijauan itu perlu dimusnahkan di atas nama PEMBANGUNAN" Jawab anak Temenggong,
"Kita perlu gabungkan unsur-unsur air,angin,api,tanah dan alam hijau dalam PEMBANGUNAN" Kata rakyat Negeri Granite Segunung,
"Kita perlu gabungkan unsur-unsur utara,selatan,timur dan barat dengan alam semulajadi dalam PEMBANGUNAN" Kata rakyat tua Negeri Granite Segunung,
"Kita perlu gabungkan unsur-unsur matahari,bumi,bulan dan bintang dengan alam semulajadi dalam PEMBANGUNAN" Kata rakyat muda Negeri Granite Segunung,

Sudah! cukup! balas Temenggung murka,
Negeri Granite Segunung ini milik siapa? soal banginda,
Ini negeri milik beta! katanya,
Ikut sahaja samada suka atau tidak suka!
Jangan banyak cerita,
Kata tidak perlu dikota,
Janji hanya dibibir sahaja,
Dialog ini berhenti disini sahaja.

Tuesday, June 9, 2009

Syair 1 Malaysia Part 1

Memanda Menteri punya kata
Satu Malaysia punya cerita
Rakyat semua diberi pertama
Pencapaian terbaik diberi utama

Rakyat Malaysia ramainya bangsa
Melayu, Peribumi, Cina dan India
Mari kita semua bersama
Membangun negara Malaysia tercinta

Semua rakyat mesti bersama
Membina satu bangsa Malaysia
Tunjukkan kepada seanterio dunia
Kita mampu maju bersama

Semua Menteri perlu terbuka
Menerima kritik untuk membina
Jangan marah jangan terhina
Jika rakyat memberikan kata

Semua Menteri perlu membuka
Membina jalan untuk bersemuka
Berjumpa rakyat mengenal perkara
Semua masalah dihati membara

Memanda Menteri telah berkata
Rakyat dan Kerajaan perlu bersama
Rakyat memberi Kerajaan menerima
Kerajaan memberi Rakyat menerima

Kekayaan negara diagih bersama
Itu prinsip satu Malaysia
Miskin dibantu kaya menderma
Buang sifat tamak haloba

Dari rakyat kerajaan terbina
Kepada kerajaan rakyat bahagia
Baru bererti satu Malaysia
Semua bangsa muafakat bersama



Ahmad Rais Johari
UiTM
Syair - 1 Malaysia Part 1.

Thursday, May 7, 2009

Kalam Ilahi

Kalam yang menulis hukum alam semesta
Kalam yang melukis garisan orbit cakerawala
Kalam yang mengira seluruh perjalanan masa
Kalam yang boleh dibaca oleh minda manusia

Kalam yang boleh difahami oleh hati manusia
Kalam yang boleh dirasai oleh jiwa manusia
Kalam yang boleh dihayati oleh akal manusia
Kalam yang tertulis pada kitabNya

Monday, April 27, 2009

Bening Hati Yang Jernih

Bila hati semakin bersih
Fikiran pun jadi jernih
Semangat hidup pun jadi gigih
Prestasi pun mudah diraih

Bila hati sudah busuk
Fikiran jahat mula menusuk
Akhlak pun jadi buruk
Jadi makhluk yang terkutuk

Bila hati sudah bersih
Terpancar cahaya pada wajah
Bersinar memancar dari jauh
Membuat orang pun jadi kasih

Bila hati sudah gelap
Mata hati jadi ranap
Orang pun tiada harap
Kerana jiwa telah gelap

Suara Hati Naluri Suci

Dalam diri ada hati
Dalam hati ada cahaya
Cahaya kudus yang suci
Yang bersuara dan berbahasa

Suara naluri yang suci
Yang menyeru kepada kesucian
Dengan 99 nama Ilahi
Yang memanggil kepada kebaikan

Suara hati naluri suci ini
sering tenggelam dalam keriuhan
mazmumah yang melimpahi hati
maksiat yang menguasai tindakan

Friday, April 24, 2009

Segala Yang Hidup Memiliki Frekuensi.

Elektron mengelilingi proton
Proton mengelilingi neutron
Neutron menjadi pusat
Berpaksi suatu energi

Bulan mengelilingi bumi
Bumi mengelilingi Matahari
Matahari mengelilingi galaksi
Berpaksi suatu energi

Semua mengikuti orbit
Berjalan berulang-ulang
Tenggelam dan terbit
Menjadi frekuensi berulang

Minda mengelilingi Tubuh
Tubuh mengelilingi Jiwa
Jiwa mengelilingi hati
Hati yang tulusuci

Ahmad Rais Johari
Kolej Delima
UiTM