Tuesday, January 21, 2014

Amanat Ketua Setiausaha Negara 2014 - Tan Sri Dr. Ali Hamsa


Ketua Setiausaha Negara - Tan Sri Dr. Ali Hamsa


Intipati ucapan pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2014.

1. Sebenarnya, apabila transformasi yang dilakukan berupaya meningkatkan daya saing negara, menjanakan kadar pertumbuhan ekonomi yang positif, Kerajaan akan dapat mempertimbangkan insentif dan kemudahan-kemudahan lain untuk kebajikan penjawat awam. 

2. Kita perlu menumpukan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Raja, Negara dan Kerajaan seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah penting demi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar dan kejayaan program serta inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan.

3. Membanteras rasuah dan menyuburkan budaya kerja penuh integriti adalah kewajipan kita bersama.

4. Sehubungan itu, saya menyeru supaya semua Ketua Jabatan agar dapat meneliti semula peraturan-peraturan, prosedur dan proses kerja sedia ada. Tindakan pembetulan adalah perlu supaya ketidakpatuhan tidak berterusan yang boleh membuka ruang kepada penyelewengan.

5. Semua Ketua Jabatan perlu sentiasa turun padang dan mengingatkan pegawai agar melaksanakan projek mengikut peraturan yang digariskan.

6. Rasionalisasi subsidi yang perlu dilakukan demi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dan mengurangkan bajet defisit negara, dilaksanakan secara beransur-ansur kerana Kerajaan prihatin kepada kebajikan rakyat.

7. Segala usaha transformasi Kerajaan, demi kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang, akan mengambil kira pandangan dan kepentingan rakyat supaya ia tidak akan mendatangkan beban kepada rakyat termasuk kepada penjawat awam.

8. Terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menangguk di air keruh. Mereka ini mengambil kesempatan daripada rasionalisasi subsidi yang dilakukan untuk mengaut keuntungan daripada rakyat dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya. 

9. Ini ditambah pula dengan tohmahan-tohmahan serta tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap Kerajaan yang didakwanya bertanggungjawab ke atas semua ini. 

10. Dalam keadaan beberapa negara menghadapi kemelesetan ekonomi, pengangguran dan ketidakstabilan politik, Kerajaan Malaysia masih mampu menyediakan pelbagai ganjaran dan insentif kepada penjawat awam. 

11. Untuk tahun 2014, seratus (100) lagi skim perkhidmatan akan dikaji semula dan ditambah baik.

12. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga menyatakan sekiranya kedudukan ekonomi bertambah kukuh, hasil negara makin meningkat, pelbagai insentif dan kemudahan untuk penjawat awam boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa.