Showing posts with label Budiman Mohd. Zohdi. Show all posts
Showing posts with label Budiman Mohd. Zohdi. Show all posts

Tuesday, April 14, 2015

'selective amnesia' atau buat-buat lupa oleh YB Budiman Mohd Zohdi

DALAM sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 7 April lalu, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali secara sinis dalam menyindir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah menghidap penyakit hilang ‘selective amnesia’ atau kehilangan daya ingatan dan hanya mengingati serta menyimpan apa yang dimahukan.

Sindiran Mohamed Azmin itu dilihat seolah-olah merujuk tindakan Abdul Khalid yang ketika membahaskan usul titah Sultan Selangor pada 2 April lalu mengkritik tindakan Menteri Besar itu yang didakwa tidak konsisten dalam memuktamadkan perjanjian penstrukturan industri bekalan air Selangor sebelum ini yang membuktikan kelemahan sebenar pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
Dalam perbahasan itu, Abdul Khalid turut menyatakan gesaan­nya supaya Mohamed Azmin berundur dari jawatannya sekiranya gagal memuktamadkan perjanjian utama itu dengan memberikan kepada individu yang layak.

Namun kritikan Abdul Khalid terhadap pentadbiran negeri itu tidak terhenti setakat itu apabila beliau sekali lagi mengeluarkan kenya­taan menerusi akaun Facebook miliknya pada 6 April lalu membuat sindiran bahawa amat mudah menjadi pemimpin oportunis dengan membuat keputusan popular tanpa memikirkan impak dalam segala segi dan gambaran sebenar situasi dan kemampuan hakiki.

Penulis tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai perbalahan di antara Abdul Khalid dengan Mohamed Azmin ini. Namun, satu perkara yang amat menarik perhatian adalah tentang sindiran Menteri Besar terhadap Abdul Khalid itu yang mengaitkan dengan penyakit ‘selective amnesia’.
Barangkali Mohamed Azmin juga mungkin tidak sedar beliau mungkin mengalami simptom penyakit tersebut apabila lupa mengenai janji untuk menaikkan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM1,500 sebulan. Barangkali terlalu teruja dengan jawatan Menteri Besar yang disandang, janji itu mungkin dibuat-buat lupa.

Jika Menteri Besar sukar untuk mengingati janji itu kerana mungkin menghidap ‘selective amnesia’, penulis mungkin boleh mengambil peluang ini dengan mengingatkan bahawa janji untuk menaikkan elaun guru KAFA adalah antara yang terkandung dalam manifesto bersama PKR, DAP dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Kenaikan elaun guru KAFA sebanyak RM1,500 sebulan itu adalah sebahagian daripada rancangan peningkatan gaji melibatkan seluruh warga kerja sekolah agama di negeri ini yang turut disusuli de­ngan strategi memperbanyakkan aktiviti pengajaran yang setimpal dengan gaji yang dibayar.

Bagaimanapun, hampir dua tahun lebih PRU-13 berlalu, kerajaan negeri seolah-olah hilang ingatan untuk melaksanakan kenaikan elaun guru KAFA sebagaimana yang dijanjikan sedangkan kerajaan ne­geri telah membentangkan dua Bajet Negeri masing-masing pada 2014 dan 2015 melibatkan peruntukan kewangan yang besar yang bernilai berbilion ringgit.

Pada 20 November 2013, kerajaan negeri mengumumkan Bajet Selangor 2014 melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM1.8 bilion yang mana dari segi pecahannya 66.2 peratus atau RM1.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus yang terdiri dari perbelanjaan bekalan dan perbelanjaan tanggungan manakala selebihnya iaitu 33.78 peratus diperuntukkan untuk per­belanjaan pembangunan dengan nilai sebanyak RM624.9 juta.

Peruntukan kewangan dalam Bajet negeri itu bagaimanapun bertambah pada 2015 kepada RM2.42 bilion yang mana RM1.28 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM1.13 bilion adakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Malah, Menteri Besar ketika membentangkan Bajet Selangor 2015 pada 24 November tahun lalu turut mengumumkan kutipan hasil negeri pada tahun ini dianggarkan meningkat pada kadar 6.49 peratus kepada RM 1.97 bilion berbanding RM1.85 bilion pada tahun 2014.

Melihat dari angka-angka kewang­an bajet kerajaan negeri bagi kedua-dua tahun tersebut, seolah-olah Se­langor begitu gah dari segi kedudukan kewangannya. Namun, amat malang sekali apabila kedua-dua bajet negeri itu tidak dimasukkan dengan janji pakatan pembangkang untuk menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,500 sebulan.

Ketika ini, guru KAFA di Se­langor menerima elaun sebanyak RM1,300 setiap bulan yang mana RM800 daripadanya adalah dibiayai oleh Kerajaan Pusat manakala bakinya RM500 bayar oleh kerajaan negeri. Jika mengikut Pendapat­an Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan kerajaan negeri, seramai 6,742 orang guru KAFA di Selangor berada di bawah kategori miskin.

Mengenai insiden seorang guru KAFA dari Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Klang, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang dilaporkan dihalang daripada menyerahkan surat untuk mendapatkan pertimbangan kerajaan negeri menaikkan elaun itu pada 8 April lalu, penulis merasa simpati atas kepayahan yang dialaminya dek kerana sikap pentadbiran Selangor yang seolah-olah ‘hanya tahu berjanji tetapi tidak ditunaikan’.

Nasib yang dialami oleh Ekhsan Bukharee itu mungkin turut dirasai sebilangan besar guru KAFA lain di negeri ini apatah lagi beliau me­nyatakan ada rakan seperjuang­an terpaksa melakukan kerja lain seperti tukang cuci dan sebagai­nya untuk menampung kehidupan mereka.

Namun, penulis amat kesal de­ngan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi ketika sesi pertanyaan dalam DUN Selangor pada 9 April lalu yang menyatakan kenaikan elaun RM1,500 kepada guru KAFA di negeri ini masih lagi dalam pe­ringkat kajian termasuklah masih meneliti kesesuaian penambahan peruntukan untuk tujuan itu.

Persoalannya, mengapa kerajaan negeri mengambil tempoh masa yang terlalu lama untuk melaksanakan kajian kenaikan itu sedangkan pada masa sama pentadbiran Selangor difahamkan mendabik dada mengumumkan pertambahan dalam hasil kerajaan negeri. Apakah kerajaan ne­geri merasakan guru KAFA ini taraf­nya tidak sama dengan guru tetap di Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) yang ada di Selangor ketika ini.

Jika demikian, ini satu pengabai­an serta diskriminasi yang serius dalam sistem pendidikan agama di Selangor. Penulis menolak sama sekali jika perkara ini benar-benar berlaku kerana guru KAFA ini juga memainkan peranan besar dalam pembangunan insan yang berteraskan agama Islam di negeri ini. Apakah sebenarnya tumpuan kerajaan negeri dalam membela nasib para guru KAFA ini?

Ternyata penyakit ‘selective amnesia’ dihidapi oleh mereka yang benar-benar memilih tindakan. Dalam kes guru KAFA ia menyerlahkan sikap sebenar kerajaan negeri yang bersifat selektif dalam soal membela rakyat. Apakah ini dasar kepedulian yang sering dibanggakan oleh kerajaan negeri selama ini?

PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Panjang dan Setiausaha ADUN BN Selangor.

Tuesday, February 3, 2015

Apabila anak 
dipangku dilepaskan oleh YB Budiman Mohd Zohdi

BARU-baru ini kira-kira 1,000 orang Melayu berhimpun di tapak projek Datum Jelatek, Taman Keramat bagi membantah keputusan kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan projek berkenaan. Itu bukan kali pertama mereka berbuat demikian.
Sebelum ini beberapa siri bantahan dibuat, tetapi ia ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Sebab itu bantahan kali ini kelihatan agak keras berbanding sebelum ini kerana rakyat tidak puas hati de­ngan respon kerajaan negeri Selangor.
Isunya cukup mudah untuk difahami. Mereka hanya mahukan kerajaan negeri menghentikan projek mewah itu yang difahamkan dibina di atas tapak tanah yang sebelum ini menempatkan empat blok Rumah Pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Taman Keramat yang didiami 100 peratus orang Melayu, dirobohkan kerajaan negeri pada tahun 2011.
Sebelum ini Badan Bertindak Datum Jelatek mendakwa projek Datum Jelatek di atas tanah seluas 2.2 hektar dikatakan sebagai projek pembangunan semula termasuk kawasan perumahan kos rendah kepada penduduk tanpa perlu mereka keluar daripada kawasan berkenaan.
Sebaliknya, cadangan baharu melibatkan pembangunan empat bangunan eksklusif merangkumi unit kediaman, pejabat, hotel dan pusat beli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat. Impian para penduduk untuk mendapatkan rumah mampu milik dan terus kekal di kawasan itu lenyap sama sekali.
Itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh sebahagian daripada penduduk Keramat yang terlibat. Mereka diibaratkan seperti ‘sudah kering terjemur, sudah garing diramas pula’ lebih-lebih lagi unit kediaman di bawah projek Datum Jelatek terlalu tinggi antara RM700,000 hingga RM11.6 juta seunit mengikut jenis dan keluasan.
Penduduk mendakwa, pampasan ditawarkan untuk rumah pangsa adalah RM130,000 bagi dua bilik dan RM166,000 bagi tiga bilik. Sementara pampasan rumah kedai RM155,000 bagi satu bilik dan RM197,000 bagi dua bilik.
Persoalannya, bagaimana mungkin para penduduk asal mahu membeli unit kediaman itu sekiranya pendapatan bulanan mereka sebanyak RM4,000 sebulan, dan pampasan diterima amat rendah.
Sudah tentunya mereka hanya mampu tengok sahaja kerana tidak berkemampuan untuk membe­linya.
Sebagai contoh pengiraan kasar, jika seorang penduduk mahu membeli unit kediaman projek Datum Jelatek yang paling rendah iaitu RM700,000 selepas ditolak diskaun tujuh peratus Bumiputera harganya pun masih lagi tinggi iaitu RM651,000 seunit.
Harga itu tidak termasuk empat peratus kadar faedah tahunan yang dikenakan oleh institusi kewangan dan jika mereka membuat pembe­lian kediaman itu menerusi pinjaman selama 35 tahun ini bermakna jumlah keseluruhan pinjaman yang terpaksa ditanggung mereka ialah sebanyak RM1.5 juta.
Secara bulanannya, seorang pembeli perlu membayar ansuran bulanan pinjaman untuk rumah tersebut ialah sebanyak RM3,720 sebulan. Apakah jumlah itu setara dengan pendapatan mereka RM4,000 sebulan, sudah tentunya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mereka. Sekurang-kurangnya seorang pembeli memerlukan gaji RM20,000 sebulan.
Itu belum masuk bayaran kos peguam, duti setem dan sebagainya. Mana mungkin mereka mampu membelinya. Inilah isu yang mendukacitakan penduduk yang terlibat memungkinkan membuat bantahan terhadap projek Datum Jelatek ini.
Sedangkan kawasan itu dahulu adalah kawasan perumahan rakyat. Kawasan itu juga menjadi tanah tumpahnya darah mereka. Penduduk membantah projek Datum Jelatek kerana ia seolah-olah merupakan cubaan untuk menghalau mereka daripada kawasan yang telah mereka diami sejak sekian lama.
Dari perspektif lain khususnya berkaitan masa depan penduduk asal, projek Datum Jelatek ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Sebaliknya ia lebih bermatlamatkan mendapat keuntungan komersialberbanding keadilan sosioekonomi, dengan menjadikan masa depan penduduk di Taman Keramat sebagai taruhan untuk mencapai maksud itu.
Apalah gunanya pembangunan dan kemajuan jika ia memudaratkan rakyat lebih-lebih lagi dengan projek Datum Jelatek ini yang terang-terangan dikira sebagai projek mewah. Apakah rakyat Selangor ini semuanya kaya-raya, bergaji tinggi serta berkemampuan seperti Menteri Besar dan barisan Exco yang bekerja di kerusi empuk, mempunyai pemandu peribadi sendiri dan mendapat elaun itu-ini.
Sepatutnya, sebagai kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang mendakwa peduli rakyat, Mohamed Azmin Ali perlu mendahulukan kepentingan rakyat dalam membuat sebarang keputusan atau pembangunan di Selangor ini.
Keutamaan itu pula perlulah dituruti oleh setiap agensi atau anak syarikat di bawah kerajaan negeri, bukannya ghairah mahu mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.
Isu pokok yang wajar dilihat ialah soal keadilan sosial dan ekonomi penduduk asal. Mereka seharusnya dipastikan tetap mendapat tempat dalam penyertaan ekonomi melalui hak pemilikan hartanah di kawasan bandar.
Tidak guna mahu menarik pembeli untuk sesuatu projek mewah, apatah lagi melibatkan orang asing sedangkan rakyat sendiri mende­rita sebagaimana peribahasa Me­layu, ‘anak dipangku dilepaskan, beruk di hutan disusukan’.
Hakikatnya, isu bantahan penduduk terhadap projek Datum Jelatek ini tidak harus dipandang remeh oleh Menteri Besar dan konco-konconya yang mentadbir Selangor pada hari ini. Sewajarnya ia dibawa ke sesi pendengar awam seperti Jawatankuasa SELCAT Dewan Negeri Selangor agar penyelesaian yang adil dapat dicari kerana ia melibatkan rakyat serta anak syarikat negeri.
Penulis tidak mahu membuat spekulasi, namun keputusan kerajaan negeri mengutamakan serta mempertahankan keputusan me­laksanakan projek mewah se­perti Datum Jelatek dilihat seolah-olah menafikan hak sebahagian golo­ngan Bumiputera dalam mendapatkan hak pem­belaan yang sewajar­nya.
Ia juga bertentangan dengan prinsip negeri berkebajikan yang kononnya menjadi perjuangan pakatan rakyat.
Walaupun tapak projek Datum Jelatek itu bukan melibatkan tanah rizab Melayu, namun kerajaan ne­geri perlu mempunyai pertimbangan yang adil memandangkan penduduk di Taman Keramat yang difahamkan adalah sebahagian usaha pentadbiran Selangor di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk mewujudkan Melayu bandar selain mengimbangi bilangan penduduk serta taraf sosial antara kaum.
Hakikatnya, siapakah yang sebenarnya mendapat keuntungan tersebut? Yang pastinya, bukan kepada penduduk-penduduk Taman Keramat yang membuat bantahan terhadap projek Datum Jelatek terbabit.
PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Selangor

Monday, December 22, 2014

Melihat belang sebenar DAP oleh BUDIMAN MOHD. ZOHDI | 22 Disember 2014


Budiman Mohd Zohdi Setiausaha BN Selangor.

MESYUARAT Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berlangsung pada 24 November hingga 4 Disember lalu dilihat telah membuka mata banyak pihak mengenai perjalanan politik serta pentadbiran di negeri itu.

Daripada pembentangan Bajet Selangor 2015, memperlihatkan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah wang yang agak besar iaitu sebanyak RM2.42 bilion untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan pembangunan berbanding pada tahun sebelumnya sebanyak RM1.85 bilion.

Bajet Selangor untuk tahun 2015 secara faktanya menunjukkan nilai defisit yang tinggi sebanyak RM450 juta yang mana ia seakan-akan sudah menjadi ‘legasi’ pakatan rakyat sejak mereka mula merangka bajet negeri sejak tahun 2009 lagi.

Ini kerana, dalam Bajet Selangor 2009, ia dicatatkan mengalami defisit sebanyak RM120 juta diikuti RM194 juta (2010); RM210 juta (2011); RM167.1 juta (2012) dan RM761.4 juta pada tahun 2013.

Setiap tahun kerajaan negeri membentangkan bajet dan memberikan alasan bajet negeri adalah bajet berimbang, namun setiap tahunlah juga dalam tempoh itu kerajaan negeri mengemukakan permohonan di Mesyuarat DUN Negeri untuk kelulusan peruntukan tambahan.

Bagaimana pula dengan Bajet Selangor 2015 ini? Apakah benar-benar tiada permohonan peruntukan tambahan sebagaimana yang diucapkan oleh Menteri Besar?

Kita agak skeptikal dalam soal ini lebih-lebih lagi dengan peruntukan pembangunan yang melibatkan 46.81 peratus iaitu RM1.13 bilion daripada keseluruhan bajet negeri tahun depan.

Kita tidak menolak usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan pembangunan di Selangor dengan memperuntukkan jumlah yang besar untuk tujuan itu, cumanya kita tidak mahu peruntukan RM1.13 bilion itu dijadikan alasan untuk menaikkan kos kerja-kerja pembangunan sedangkan kerja-kerja yang dilaksanakan tidak setimpal.

Malah, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sendiri menerusi laporan sebuah portal berita pada 15 November lalu pernah menyebut bahawa kerajaan negeri tidak akan menggunapakai amalan sebelum ini (ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar) yang mengambil kontraktor paling murah untuk menjalankan kerja-kerja kutipan sampah di Selangor.

Sebaliknya, Menteri Besar ketika ini sedia membayar lebih bagi mendapatkan kontraktor berwibawa untuk tujuan tersebut.

Sungguhpun apa yang dinyatakan oleh Mohamed Azmin itu tidak menyalahi peraturan kewangan, namun kita khuatir dengan peruntukan pembangunan yang besar ditambah dengan amalan sedia membayar lebih kepada kontraktor, ia sudah tentunya menimbulkan banyak persoalan khususnya cara pelantikan kontraktor yang dibuat supaya ia benar-benar berwibawa sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Besar itu.

Menteri Besar perlu memberikan penjelasan mengenai perkara ini termasuklah mekanisme yang diguna pakai kerajaan negeri dalam pelantikan kontraktor-kontraktor yang terlibat untuk kerja-kerja pembangunan di Selangor selain bebas daripada amalan pemberian kepada syarikat-syarikat kroni yang mempunyai kaitan kepentingan politik.

Selain Bajet 2015, mesyuarat DUN Selangor baru-baru ini turut menyaksikan ‘belang sebenar’ DAP yang secara terang-terangan menuntut satu lagi jawatan Timbalan Speaker DUN dilantik dari kalangan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) mereka.

Seolah-olah berselindung di sebalik nama demokratik, tindakan DAP itu dilihat tidak menghormati undian pemilihan jawatan itu yang dibuat pada 24 November lalu dalam mesyuarat DUN yang menyaksikan ADUN Bangi daripada Pas, Mohd. Shafie Ngah mendapat 28 pencalonan sekali gus melayakkan memegang jawatan itu manakala DAP menerusi wakilnya, ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim hanya menerima 14 pencalonan.

Namun, DAP seakan-akan bersikap ‘talam dua muka’ di sebalik ‘tahaluf siyasi’ parti itu dengan Pas yang mana mereka bukan sahaja tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, bahkan parti itu dilihat seolah-olah menunjukkan sifat tamak yang melampau susulan tindakan Ng Suee Lim yang juga Timbalan Setiausaha DAP Selangor mengeluarkan kenyataan pada 2 Disember lalu yang menuntut supaya kerajaan negeri mewujudkan jawatan Timbalan Speaker DUN II.

Sudahlah jawatan Speaker DUN itu diwakili oleh DAP yang diisi oleh ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh, jawatan Timbalan Speaker pun mereka mahukan juga.

Kasihan kepada Pas, sudah dapat jawatan, rakan sebantal pula tidak puas hati.

Apakah sikap DAP dalam isu jawatan Timbalan Speaker DUN itu disebabkan parti itu mahu membalas dendam kepada Pas yang tidak menuruti DAP dan PKR dalam kemelut Menteri Besar Selangor sebelum ini?

Apakah juga perlakuan DAP itu sebagai tindak balas terhadap Pas susulan pendirian Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang dilaporkan sering menyerang Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini terutama berkaitan isu ketidakhadiran Presiden Pas itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pakatan?

Selain isu jawatan Timbalan Speaker DUN Selangor, DAP juga dilihat seperti cuba menggunakan mesyuarat DUN untuk meraih kepentingan politik dengan mengusulkan gesaan supaya Kerajaan Persekutuan memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Malah, ADUN Kampung Tunku daripada DAP, Lau Weng San yang mencadangkan usul tersebut ketika mesyuarat DUN jelas melabelkan akta tersebut sebagai zalim.

Namun, tindakan DAP membangkitkan usul tersebut dengan memberikan pelbagai alasan supaya akta itu dimansuhkan bukan sahaja tidak berasas sama sekali, bahkan ia seolah-olah menggambarkan betapa ceteknya pengetahuan mereka mengenai soal perundangan serta bidang kuasa pentadbiran di negara ini.

Ini kerana, sebarang perbahasan atau pindaan melibatkan akta Hasutan 1948 perlulah dibuat melalui Dewan Rakyat, kerana akta itu adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan bukannya kerajaan negeri atau DUN Selangor.

Jadi apakah niat sebenar DAP ini, apakah mereka cuba gunakan platform DUN Selangor untuk memberi fakta yang tidak tepat mengenai pelaksanaan akta itu?

Apakah mereka cuba menggunakan kekebalan DUN untuk menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap akta itu?

Jika DAP sering menjadikan negara jiran kita, Singapura sebagai ‘kiblat’ mereka apabila sering cadangkan kerajaan Malaysia mencontohi itu dan ini yang dilakukan oleh republik itu, mengapa pula mereka tidak mempersoalkan Akta Hasutan yang masih lagi digunapakai oleh negara berkenaan?

Mengapa DAP perlu takut dengan Akta Hasutan 1948 ini, apakah kerana parti itu sememangnya berniat mahu melanggar undang-undang?

Apakah juga kerana DAP mengamalkan pendekatan menghasut sebagai strategi politik atau kempen mereka?

Ini yang perlu diperjelaskan. Sekiranya DAP mematuhi undang-undang, menghormati sensitiviti rakyat dan Perlembagaan Persekutuan, maka sepatutnya mereka tidak perlu bimbang atau gusar dengan pengekalan akta ini.

PENULIS ialah Setiausaha ADUN BN 
Selangor.

- See more at: http://www.utusan.com.my

Thursday, November 13, 2014

MB Selangor sebelum 100 hari - BUDIMAN MOHD. ZOHDI

YB Budiman Mohd. Zohdi, ADUN Sg Panjang merangkap Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional Selangor 

PADA 12 November lalu telah lebih 50 hari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamad Azmin Ali memegang jawatan Menteri Besar (MB) Selangor setelah mengambil alih daripada penyandangnya sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Satu peralihan kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri yang boleh dianggap sebagai paksaan kerana Abdul Khalid dipaksa meletak jawatan setelah dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan parti itu.

Mungkin sesetengah orang menganggap tempoh itu tidak memberi apa-apa signifikan. Ada yang menganggap masih terlalu awal, terlalu muda untuk melihat keberkesanan kepemimpinan Mohamed Azmin.

Namun, bagi sebilangan besar rakyat Selangor tempoh berkenaan menjadi kayu pengukur terhadap prestasi, keberkesanan dan keikhlasan Mohamed Azmin sebagai MB selain mahu melihat apakah limpahan kemakmuran yang boleh dirasai di bawah pentadbiran negeri yang baharu ini.

Dalam tempoh tidak sampai 100 hari itu apakah nikmat kemakmuran yang dibawa dan dilaksanakan oleh Mohamed Azmin kepada rakyat Selangor? Apakah program-program khusus yang telah diumumkan oleh MB berkenaan yang mampu memberikan berita gembira kepada seluruh rakyat setakat ini? Nampaknya tidak ada lagi.

Walaupun masih baharu memegang jawatan itu, tetapi sekiranya benar Mohamed Azmin ada idea dan wawasan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Selangor, dalam tempoh 50 hari ini sudah tentunya beliau sudah dapat memberi bayangan mengenai corak pembangunan yang mahu dilaksanakan yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat Selangor di bawah kepimpinannya.

Apabila Abdul Khalid berundur, rakyat sudah tentu mahu melihat idea yang lebih bersinar, yang lebih terang serta yang lebih mantap daripada Mohamed Azmin.

Jika tidak, apa gunanya PKR bersusah-payah menyingkirkan Abdul Khalid. Apa yang jelas dapat dilihat, MB sekarang ini hanya meneruskan pelaksanaan program sedia ada. Mohamed Azmin hanya meneruskan perancangan dan idea-idea daripada pentadbiran Abdul Khalid sebelum ini.

Ini termasuklah meneruskan perjanjian air dan pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex). Sedangkan kedua-kedua perkara itu telah dijadikan sebagai alasan oleh PKR untuk menggulingkan Abdul Khalid sebagai MB sebelum ini.

Kita tidak tahu apakah keputusan Mohamed Azmin meneruskan kedua-dua projek tersebut kerana wujudnya kesedaran MB itu terhadap masalah sebenar rakyat Selangor ataupun sekadar hipokrasi politik untuk menjatuhkan bekas MB sebelum ini.

Tidak ada siapa boleh menafikan bahawa Mohamed Azmin telah terlibat secara langsung dalam pentadbiran Selangor setelah menjadi ADUN Bukit Antarabangsa.

Beliau menang kerusi tersebut dalam dua pilihan raya umum masing-masing pada tahun 2008 dan 2013. Malah, beliau juga merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor yang sudah tentunya mempunyai saluran terus dalam menyuarakan pandangannya dalam pentadbiran negeri ini sebelum ini.

Ini bermakna, Mohamed Azmin sudah sedia maklum mengenai pentadbiran Selangor termasuklah masalah-masalah yang sebenar dihadapi oleh rakyat negeri ini. Beliau ada pengalaman, ada pengetahuan dan tahu selok-belok dan masalah dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada itu sepatutnya telah menyediakan asas yang cukup baik untuk beliau merancang projek dan program sebaik sahaja dilantik menjadi MB.

Sekarang beliau menjadi MB dan tidak ada alasan bagi beliau menunggu terlalu lama apatah lagi membuat penilaian keadaan bagi melaksanakan dasar baharu untuk rakyat negeri ini.

Walaupun MB yang baharu ini cuba menggambarkan dirinya serta mahu bekerja seperti Presiden Indonesia, Joko Widodo atau ’Jokowi’ dengan mengambil pendekatan lebih banyak turun padang, namun beliau sebenarnya tidak boleh lari atau terlepas daripada ‘dibelenggu’ dengan janji-janji pada pilihan raya umum sebelum ini.

Sebagai contoh dalam soal pendidikan, pada pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang memancing hati rakyat supaya menyokong mereka dengan menawarkan pendidikan percuma selain membatalkan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditanggung oleh graduan lepasan pengajian tinggi.

Adakah janji itu ditunaikan? Atau sekadar menanam tebu di bibir pada musim pilihan raya? Kenapa janji ini tidak dibangkitkan lagi oleh pakatan pembangkang yang telah memenangi beberapa negeri termasuklah di Selangor ini Mengapa janji ini tidak dilaksanakan di Selangor khususnya melibatkan para pelajar di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, Universiti Selangor (Unisel) ataupun membiayai yuran setiap anak-anak Selangor yang melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Akhirnya, persoalan itu terjawab dengan sendirinya setelah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 5 November lalu mengakui sendiri bahawa bukan mudah untuk menyediakan pendidikan percuma seperti yang dijanjikan oleh parti yang diwakilinya sebelum ini.

Hujah Nik Nazmi dengan pendapatan kerajaan negeri sekitar RM2 bilion maka kerajaan negeri tidak mampu memberikan pendidikan percuma berdasarkan implikasi kewangan.

Melihat daripada jawapan Nik Nazmi itu mungkin bolehlah dianggap bahawa janji pendidikan percuma pakatan pembangkang kepada rakyat Selangor sebelum ini hanyalah omong-omongan kosong sekadar mahu mendapat undi semata-mata tanpa ada asas perkiraan yang tepat. Memang tidak bertanggungjawab.

Nampak sangat para pemimpin PKR ini membuat janji tanpa menilai adakah mereka mampu menunaikannya. Mereka ini sekadar cakap lepas.

Apabila membicarakan mengenai manifesto pakatan rakyat pada pilihan raya umum yang lalu, ia mungkin boleh dikira sebagai garis panduan dasar pentadbiran pakatan pembangkang yang mana dalam konteks Selangor, maka MB sedia ada sudah tentu secara automatiknya tertakluk kepada dasar-dasar serta janji-janji yang digariskan dalam manifesto tersebut.

Begitu juga dalam soal pengangkutan awam, berdasarkan manifesto pakatan pembangkang untuk Selangor pada pilihan raya umum lalu, mereka menjanjikan untuk membina Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu di Shah Alam.

Malah, janji itu termasuklah menyediakan pengangkutan awam percuma dan mesra pengguna di kawasan Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Petaling Jaya dan Kajang.

Hakikatnya, janji-janji itu sama nasibnya dengan pendidikan percuma, kelihatan tiada satu pun dilakukan oleh kerajaan negeri. Justeru, Mohamed Azmin dalam saat-saat kegembiraannya menduduki jawatan MB, jangan sesekali buat-buat lupa akan janji itu.

Jangan ingat rakyat Selangor ini pelupa, mereka mungkin tidak bersuara sahaja. Pentadbiran negeri tidak boleh berlandaskan pada pendekatan retorik semata-mata. Jumpa di Sidang DUN Selangor bermula 24 November 2014.
PENULIS ialah Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional Selangor

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/mb-selangor-sebelum-100-hari-1.24083#sthash.OQRUCM2a.dpuf