Showing posts with label Husam Musa. Show all posts
Showing posts with label Husam Musa. Show all posts

Sunday, April 14, 2019

RAJA MANGGA

The  Guinness Book of World Records  pada tahun 1995,  telah menabalkan Carabao dari Filipina sebagai mangga termanis dunia!

Mangga Filipina rupanya.

Mangga Carabao sendiri mempunyai 14 jenis.
Ukuran Brix kemanisannya adalah berbeza antara setiap jenis. Pilihan Guinness Book of World Record adalah Sweet Elena dari   Zambales, Pulau Luzon.  Catatan kemanisannya menggunakan  Refractometer adalah 18.98 °Bx atau °Brix. Sweet Elena dimahkotakan tiga tahun berturut-turut sebagai mangga termanis.

Ukuran Brix adalah untuk mengukur kandungan gula dalam buah-buahan menggunakan alat yang dipanggil Refractometer.

Namun, adik beradik Sweet Elena dalam keluarga Carabao iaitu Guimaras Super (Galila) mempunyai  22.3 °Bx, lebih manis sebenarnya dari Sweet Elena. Itu mengikut ukuran dibuat oleh Bureau of Agricultural Research of the Department of Agriculture pada tahun 2003.

Tetapi mangga bukan hanya diukur keenakannya semata-mata dari kandungan gula. Kandungan rasanya yang lain sama ada lemak, unsur masam, keharuman, tebal nipis fiber dan lain-lain juga menjadi ukuran.

Dari sudut kandungan gula atau TSS (Total Solubal Solid), manga tempatan kita Chakonan tidak jauh ketinggalan sebenarnya. Tetapi keenakan mangga lebih dari sekadar manisnya saja.
 
Saya membuat catitan tentang kemanisan  Manggang Kalabaw/Mangga Kalabaw - dalam sebutan bahasa Tagalog -  ini untuk menunjukkan kedekatan kemungkinan negara kita boleh menghasilkan mangga terbaik dunia. Filipina sangat serumpun dengan kita.

Kalabaw atau carabao semakna dengan kerbau dalam bahasa kita. Orang Thai juga menggunakan perkataan yang sama untuk kerbau mereka. Pengertian yang sama untuk ternakan pesawah - Kalabaw/Carabao/Kerbau - ini menunjukkan sekali lagi kedekatan itu.

Ia mengingatkan saya kepada  Carabao Dang Energy Drink - iaitu minuman kedua popular di Thailand dengan penguasaan 21% pasaran minuman segera Thailand.

Carabao Dang menggunakan kepala kerbau bertanduk panjang sebagai simbol minuman mereka dan ia bermaksud semangat jagoan seperti gagah dan beraninya kerbau atau carabao. Pengasas minuman ini ialah bintang rock  Yuenyong Opakul dengan gelaran popularnya  Aed Carabao. Kini minuman ini telah memasuki pasaran Amerika, Australia, Cina, India dan lain-lain.

Kembali kepada mangga Sweet Elena, sejarahnya menarik.

Keenakannya menyebabkan ia pernah menjadi hidangan White House dan Buckingham Palace.

Pokok mangga yang ada sekarang berasal dari sebatang pokok induk  berusia  108 tahun yang masih hidup dalam taman persendirian Penida Moselina Malabed seluas 5 ha, terletak    di Sabang, Sta. Cruz, Zambales.

Ini mengingatkan kita, usaha persendirian dalam penghasilan BENIH TERBAIK juga  boleh mencapai kejayaan menakjubkan.

Oleh itu, jangan malas menjadi PENGGILA BENIH!

Moyang Sweet Elena dari keluarga besar Carabao telah menjadi kegilaan orang Sepanyol sekian lama. Mangga bernama  Ataúlfo - dan di Mexico, ia mempunyai banyak gelaran - bayi, muda, kuning, madu, Adaulfo, Adolfo atau  Champagne - sebagai bukti populariti mangga ini di sana, adalah berketurunan Carabao.

Baka asal Carabao ini telah dipaksa belayar oleh Sepanyol menaiki kapal  Manila Galleons menyeberangi lautan  Pacific sejak abad ke 16 lagi. Manila Galleons adalah nama bagi pelayaran kapal dagang Sepanyol dari Acapulco ke Manila dan patah balik sebanyak dua kali dalam setahun sepanjang   1565 hingga 1815.

Sepanyol kemudian membawa ibu mangga  Ataulfo dengan nama  Manila Mango atau Manilita  ke Mexico pada tahun  1779 dan dikembang biak di sana. Dari  Mexico, ia menjejak kaki ke Amerika dan dipilih sebagai tanaman hiasan halaman rumah kerana saiz pokoknya kecil dan warna buahnya bila masak.

Fairchild Tropical Botanic Garden's 2010 International Mango Festival di  Miami, Florida telah memilih mangga ini sebagai tanaman hiasan taman pilihan. Saya sengaja menyebutkan ini semua untuk menunjukkan keluasan spektrum isu berkaitan.

Dalam menunjukkan kebanggaan terhadap mangga mereka , Guimaras telah mengadakan Manggahan Festival setiap tahun dengan sambutan menggalakkan dan Guimaras sampai digelar sebagai Bandaraya Mangga atau Mango City.

Hari ini, Filipina menduduki tempat keenam tertinggi dalam jumlah eksport mangga dan keluaran mangga dengan nilai keseluruhan sebanyak  USD 41 jua.

73 % pengeluar mangga Filipina adalah pekebun kecil sahaja dengan keluasan kebun di bawah 3 ha.  Kebun berkeluasan  3  hingga  9.99 ha pula menyumbang 24% dari keluasan keseluruhan kebun mangga.

Ini menunjukkan ekonomi mangga boleh diusahakan oleh petani kecil.
Mangga membantu menjana ekonimi kepada 2,5 juta petani Filipinan. Angka yang signifikan.

Dalam rangka ekonomi masa hadapan mangga, mungkin  pengumuman penemuan The National Mango Board of Orlando, Florida, bahawa mangga mampu melawan sel  kanser paru-paru,   leukemia,  prostate dan lebih berkesan untuk melawan sel kanser payu dara dan   colon, akan melonjakkan lagi permintaan mangga.

Saya memulakan tulisan ini pagi ini selepas saya selesai ‘berbual mesra’ dengan Himsagar, Chaunsa, Banganapali, Langra dan Dehseri dalam taman kecil saya. Meniru usaha Penida Moselina Malabed dari Zambales.

Satu-satunya keturunan Carabao yang saya ada hanyalah Davao. Dikirim oleh rakan dari Manila. Ditanam bersebelahan Sien Ta Lone dari Myanmar.

Mana satu lebih lazat?

Mungkinkah satu hari di Kuala Lumpur, akan diadakan pertandingan mangga terlazat dunia?

Untuk menentukan mangga mana sebenarnya Raja Mangga Dunia?

HUSAM MUSA
Jumaat, 12 April 2019.

NENAS STALIN PALING MANIS oleh YB Husam Musa

NENAS STALIN PALING MANIS

Jika diktator Rusia Joseph Stalin masih hidup, saya yakin beliau akan memesan Nenas MD 2 terbang ke Kremlin.

Saya terbaca sebuah buku mengenai Sejarah Makanan yang mencatitkan makanan kegemaran pemimpin dunia, termasuk Stalin, Shah Iran, Karl Marx dan lain-lain.

Puas saya mengeledah, saya terlupa tempat letak buku ini, tajuknya dan pengarangnya juga.

Apa yang masih ingat adalah catatan penulis buku ini tentang surat Joseph Stalin kepada Mao Tse-Tung, rakan komunisnya di Beijing.

Sebagai rakan satu ideologi, mungkin Stalin tidak segan berkongsi masalahnya - mendapatkan bekalan nenas yang cukup!  Khususnya nenas yang sudah di tin kan.

Agak silu jika didengar oleh pihak Barat yang menjalani Perang Dingin dengan Stalin dan Mao. Isunya hanya nenas?

Stalin meminta Mao meluluskan sebidang tanah di bahagian selatan Cina untuk kerajaan Rusia menanam nenas dan seterusnya membina kilang mengetin nenas. Ini untuk membolehkan bekalan nenas Stalin tidak terganggu!

Mao malangnya menolak cadangan itu.

Mao nampaknya tidak menjadikan kehendak perut Stalin sebagai hitungan polisi negaranya dan hubungannya dengan Rusia.

Stalin, agak saya, sangat kempunan.

Jika Stalin boleh mendapat jaminan bekalan itu dari Malaysia, sudah tentu beliau akan berbuat demikian. Enam bulan diliputi cuaca sejuk, bukan mudah untuk masyarakat Rusia, termasuk pemimpin sekeras Stalin.

Menikmati keenakan buah tropika boleh merawat kemurungan dikurung cuaca sebegitu.

Rahsia selera Stalin itu agak saya sama dengan selera keseluruhan masyarakat Rusia.

Keghairahan terhadap buahan tropika seperti papaya, nenas, jambu, manggis dan rambutan, tertanam dalam selera mereka.

Jika Stalin sukakan nenas yang sudah diproses, tentunya beliau juga akan sukakan nenas segar seperti MD 2.

Cuma, pada waktu itu, ketiadaan  rangkaian dan kemudahan pengangkutan seperti sekarang, khususnya kargo udara, meninggalkan Stalin tanpa pilihan.

Jika panggilan keenakan buah tropika boleh membuka pintu selera rakyat Rusia, ia adalah satu peluang pasaran yang besar untuk Malaysia.

‘Nenas Stalin’ dari negara kita harus segera mencari pintu memasuki pasaran Rusia dengan iklan besar terpampang dalam surat khabar Rusia esoknya : Stalins Pinneapple From Malaysia!

Di bawahnya, satu muka penuh iklan mengenai 17 manafaat kesihatan memakan nenas seperti link ini :17 Nutritional Benefits of Pineapples | Organic Facts
https://www.organicfacts.net/health-benefits/fruit/pineapples.html

Menteri Pertanian Salahudin Ayub tentu akan semakin sibuk mencari ladang dan peladang baru untuk nenas kegemarannya MD 2.

HUSAM MUSA
Ahad 14 April 2019.

Monday, April 8, 2019

WALI DAN KOPI oleh YB Husam Musa

WALI DAN KOPI

Dua Wali (masyarakat setempat mempercayai mereka adalah Wali) pemaju kopi yang menarik perhatian saya. Baba Budan dari India yang hidup di abad ke 16 dan Ahmadou Bamba dari Senegal yang meninggal pada tahun 1927.

Baba Budan diingati jasanya membawa pulang TUJUH BIJI KOPI pertama ke India dari Yaman. Dari benih yg ditanam oleh Baba Budan, kini Karnataka menjadi wilayah pengeluar kopi utama India.

Berbeza dari kebanyakan negara pengeluar  lain, kopi Karnataka di tanam di bawah teduhan pokok lain. Ia dikatakan menjadikan kopi Karnataka lebih istimewa berbanding kopi lain.

Itali menjadi negara utama mengimport kopi Karnataka, selain German, Russia, Sepanyol, Belgium, Slovenia, United States, Jepun, Greece, Netherlands  dan Perancis. Itali mengimport 26% dari keluaran kopi mentah India.

Semuanya bermula dari TUJUH BIJI KOPI dibawa pulang Baba Buldan dari perjalanan hajinya.

Kini, India mengeluarkan 8,200 tan kopi mentah setiap tahun. 71% dari pengeluaran ini adalah dari Karnataka, khususnya dari Lereng Bukit Baba Buldan!

India kini mempunyai 250,000 pekebun kecil kopi. Terhasil dari minat PEMUNGUT BENIH/SEEDS COLLECTOR - Baba Buldan.

Inilah dikatakan KEKUATAN BENIH/THE POWER OF SEEDS.

Ulama sufi se orang lagi yg memajukan kopi adalah Sheikh Ahmadou Bamba.

Ulama kurun ke 20 ini dikenali kerana pendekatan amannya dalam memperjuangkan kemerdekaan Senegal dari Perancis.

Kali pertama saya mengenali ulama konstruktif dan berwibawa tinggi ini menerusi buku bertajuk Shaykh Ahmadou Bamba - A Peacemaker for Our Time - tulisan Michelle R Kimball,  yang dijual di kedai buku Kinokuniya di KLCC.

Sekalipun dibuang negara beberapa kali oleh Perancis, Ahmadou tetap meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan negaranya menerusi jalan damai dan diplomasi.

Mempunyai pengikut yang ramai menerusi gerakan pendidikan dan pembaharuannya -  Mouride Brotherhood atau Muridiyyah.

Selain berpolitik, beliau turut membangunkan bandar dan perkampungan baru serta pusat-pusat pendidikan bersepadu.

Hingga kini, gerakan  yang diasaskannya masih aktif.

Lalu, apa hubungan Sheikh Ahmadou Bamba dengan kopi?

Ketika Baba Budan hidup di kurun ke 16, Shaykh Ahmadou hidup di awal kurun ke 20. Ketika Baba Budan tidak meninggalkan sebarang potret kecuali sejarah, Ahmadou meninggalkan foto tunggal yang dirakamkan oleh SB Perancis - memakai jubah putih, berserban dan menutup sebahagian mukanya. Berwajah tenang dan berkarisma - potret satu-satunya ini sampai sekarang menimbulkan getaran pengaruh di kalangan penduduk Senegal.

Ketika Baba Budan mengusahakan penanaman kopi, Ahmadou menjadi pencetus memberi nilai tambah kepada kopi.

Kini kopi ciptaannya yang dikenali sebagai Kopi Touba atau Cafe Touba - menjadi minuman yang satu-satunya menyebabkan jualan Nescafe di beberapa negara sekitar Senegal menurun!

Kopi Touba semakin digemari. Baik di Senegal mahu pun negara sekitar seperti Gabon dan Guinea-Bissau. Di Guinea-Bissau, kopi ini sudah menjadi minuman utama negara.

Ahmadou mencampurkan biji kopi dengan sejenis rempah di kenali sebagai GRAINS OF SELIM. Grains of Selim atau   Guinea pepper (buah kering dari pokok renek Xylopia aethiopica YANG  dikenali oleh penduduk tempatan dengan panggilan DJAR).

Saya tidak tahu sama ada herba ini boleh tumbuh atau tidak di negara kita. Jika Baba Budan berani mencuba menyemai kopi di benua baru lima kurun yang lalu, mengapa tidak kita cubakan biji Grains of Selim ini disemai di tempat kita.

Jika ia tak tumbuh, kita import saja buah rempah pelik ini untuk dicubakan sebagai produk baru kopi kita. Cafe Touba versi Malaysia.

Ini mengingatkan kepada kedudukan pengusaha kita yang  pandai menghasilkan produk hiliran kopi - sampai-sampai kita sebagai pengimport kopi boleh mengeksport semula produk kopi yang telah ditambah nilai menjadikan eksport kopi Malaysia melebihi nilai import.

Kita mengimport kopi dengan jumlah yang agak besar.  Dari berjumlah RM 51.59 juta pada tahun 1988 kepada lebih dari  RM 972.3 juta pada tahun 2013. Kenaikan purata tahunan jumlah import pula adalah sebanyak 17.8 %.

Namun ia diatasi oleh eksport bernilai RM 1.3 billion pada tahun 2013.

Ia adalah hasil tambah nilai. Kita mengeksport semula kopi mentah yang telah diolah.

Pada masa yang sama, pengeluaran kopi mentah tempatan terus berkurang dari tahun ke tahun untuk beberapa tahun kebelakangan.

Dari anggaran keluasan  7,500 ha pada tahun 2007 kepada separuh angka itu -  3,760 ha -  pada tahun 2013. Jumlah pengeluaran berkurang dari   21,213 tan  pada tahun 2007 kepada 14,739 tan pada tahun 2013. 

Menjadikan kita semakin bergantung kepada kopi import untuk menampung keperluan negara.

Saya terbaca -  Nor Amna A’liah Mohammad Nor dan Mohd Amirul Mukmin Abd. Wahab, dua orang penyelidik Mardi menerusi kertasnya bertajuk  ‘Exploring the Potentials of Coffee Industry in Malaysia’ - mencadangkan negara menambahkan keluasan penanaman kopi kepada 10,000 ha menjelang 2020. Bagi mengurangkan kebergantungan import.

Kepelikan kopi berbanding beras ialah, di kebanyakan tempat, semakin maju sesebuah negara,  purata penggunaan beras  semakin merosot. Sedang penggunaan kopi pula semakin meningkat.

Sekali lagi saya menunggu, di mana benih Grains of Selim?

Siapa pula pengilang Kopi Touba Ahmadou Bamba pertama Malaysia?

Jangan lupa royalti untuk saya, jika anda orangnya.

Husam Musa
Ahad, 7 April 2019

Saturday, April 6, 2019

Mana Manis Keledek Cilembu atau Keledek Jepun oleh YB Husam Musa

Mana Manis Keledek Cilembu atau Keledek Jepun?

Keledek Jepun atau Japanese Sweet Potato semakin mendapat tempat bagi pengguna Malaysia. Di kebanyakan pasar raya besar, terjual ubi keledek ini dengan harga yang jauh lebih lumayan.

Pasaraya Jaya Grocer mengiklankan harga se kg ubi ini pada RM22. Keledek kita, disebut  berharga  RM2.50 sekilogram di pasaran!

Jepun dianggarkan mengeluarkan 860,000 metrik tan Keledek Manis Jepun setiap tahun, dengan harga purata USD 9 se kg di pasaran dunia.

Pengeluaran Malaysia, mengikut statistik Jabatan Pertanian, adalah sekitar 50,000 tan keledek biasa. Bukan Keledek Manis Jepun.

Dengan jumlah pengeluaran itu, Jepun menduduki tempat ke 12 dalam ranking eksport keledek dunia.

Japanese Sweet Potato atau nama Jepunnya Satsuma-Imo, mendapat nama kerana rasanya luar biasa manis dan textur fiber atau serat yang lembut dan halus.

Bagaimana Jepun boleh menghasilkan ubi berkualiti dunia ini?

Saya terbaca sebuah buku yang mendakwa benih asal Satsuma-Imo  adalah dari Cilembu, Bandung, Indonesia! Bukan asal Jepun pun.

Wah! Ini sudah lebih!

Ia dibawa pulang ke Jepun oleh seorang tentera Jepun yang bertugas di Bandung semasa Perang Dunia Kedua. Ia kemudian ditanam di Jepun dan dikembangkan. Dengan kuasa perdagangan Jepun yang meluas, ubi itu masuk ke periuk atau oven kita di Malaysia. Menjadi makanan istimewa di restauran ternama. Enak sekali dimakan dengan daging steak.

Malangnya, ubi ini hanya menembu pasaran kita tetapi tidak ke kebun dan ladang-ladang kita.

Mungkin dengan anggapan, kita tidak mampu meniru mutu Jepun, sekalipun hanya keledek.

Sesiapa yang pernah melintasi Kampung Cilembu, Sumedang, Bandung, Jawa Barat Indonesia - sudah pasti terpandang gerai-gerai ubi keledek dan ubi kayu sepanjang jalan. Tapai ubi kayu tergantung di palang gerai, isinya kental dan rasanya sangat manis.

Di atas gerai pula, longgokan ubi keledek dua warna kulitnya. Merah perang dan kekuningan pucat. Ada yang mentah, dan tersedia juga yang sudah dipanggang dan boleh segera dimakan. Berduyun kereta berhenti di tepi jalan kerana singgah menikmati Ubi Cilembu asli.

Ubi Cilembu panggang dengan jelas menunjukkan jalur  dan tompok seakan gula melaka cair atau madu terdapat di dalam isi ubi ini.

Kali pertama saya menemuinya, saya menyangka ubi ini  dimasukkan air manisan. Rupanya, ia adalah kemanisan asli ubi ini dan perubahan isinya selepas dipanggang.

Ia dianggap ubi keledek termanis di dunia! Jauh lebih manis dari Japanese Sweet Potato.

Enaknya tidak tertandingkan. 

Tetapi apakan daya. Nasib Ubi Cilembu tidak seberuntung keturunannya yang tumbuh di Jepun. Selain rasa yang lebih isitimewa, sejarahnya juga lebih tua. Ia sudah dikenali sejak zaman Belanda, se awal 1914.

Selain itu, ubi yang juga dikenali sebagai Ubi Madu Cilembu, tidak pun dikenali oleh kebanyakan pengguna negara kita. Ia jauh ketinggalan dari cucu cicit bakanya Satsuma-Imo di pentas dunia.

Ini sudah tentu tidak adil. Tetapi kekuatan pasaran, promosi dan daya profesionalisma yang berbeza memberikan nasib yang berbeza.

Lalu, di mana kedudukan pekebun kita dalam isu ini?

Saya tertarik dengan penemuan oleh  Agustina Monalisa Tangapo menerusi kajian untuk tesis Phd beliau di  Institut Teknologi Bandung (ITB).

Rahsia kemanisan Ubi Madu Cilembu terletak pada MIKROBES!

Tesis bertajuk ‘Dinamika Populasi Bakteri Rhizosfer dan Endofit Pada Budidaya Ubi Jalar Cilembu’  berjaya merungkai misteri kemanisan madu sebuah ubi.

Dengan kuasa Allah, bakteria RIZOSFERA dan ENDOFIT yang kaya di bumi Cilembu telah bekerja secara senyap memberikan rezki kemanisan ubi yang luar biasa itu.

Mengikut Dr Augustina, jika bakteria ini dikembang biakkan di bumi yang lain juga, kemanisan Ubi Madu Cilembu tetap terhasil.

Mikrobes ini nampaknya perlu dihijrahkan segera ke Malaysia, khususnya Bacok, Kelantan untuk muncul  sebagai Jelapang Keledek Madu Malaysia pada masa akan datang!

Kita menunggu, siapa cepat.

Husam Musa
Sabtu, 6 April 2019