Monday, October 28, 2013

Sejarah Ringkas Negeri Sarawak




Sejarah Sarawak sebelum era Brooke pada hakikatnya merupakan sejarah Brunei. Catatan-catatan awal mengenai Brunei dalam abad ke-16 menyebut tentang sebuah kerajaan yang kuat dan kaya meliputi kawasan Sarawak di barat hingga ke Manila di sebelah utara. Oleh yang demikian Sarawak adalah di bawah kuasa takluk kesultanan Brunei. 

Pada awal abad ke-16 Brunei merupakan sebuah kerajaan yang gagah dan kaya. Walau bagaimanapun tidak berapa lama selepas itu kekuasaannya mulai goncang dan kelemahan mulai dirasai lebih-lebih lagi dengan kedatangan pengaruh Belanda. Secara beransur-ansur beberapa jajahan sekitar mulai jatuh apabila pengaruh Belanda merebak ke selatan Borneo. Sebahagian daripada jajahan Utara pula telah diserahkan kepada Kesultanan Sulu. 

Pada awal abad ke-19 Jajahan Brunei menjadi bertambah kecil dan terhad kepada kawasan-kawasan di Sarawak, Brunei dan di sudut timur laut yang sekarang dikenali sebagai Sabah. Kedudukan kerajaan Brunei menjadi tidak stabil dan terancam. Kacau-bilau berlaku di darat dan lanun bermaharajalela di laut. Malah dalam beberapa kes Sultan Brunei juga terlibat dalam perbuatan melanun dan ibu negeri Brunei menjadi pusat pemasaran orang-orang tawanan yang dijadikan hamba abdi. Demikianlah keadaan negeri Brunei yang menjadi huru-hara dan seterusnya pembesar-pembesar jajahan bertindak sendirian. 

Menjelang abad ke-19, Brunei menjadi lemah akibat daripada pertelingkahan sesama sendiri. Keadaan ekonomi menjadi lebih runcing dan hasil pendapatan negara tidak sampai ke tangan Bendahari. Pembukaan Singapura dan perkembangannya sebagai pusat perniagaan penting di Asia Tenggara telah menjejaskan Kesultanan Brunei. Saudagar-saudagar enggan membayar cukai dan ramai juga di antara mereka yang memutuskan hubungan perdagangan dengan Brunei. 

Sebagai pilihan yang lain mereka telah mengalih haluan ke Singapura yang dapat memberi keuntungan yang lumayan. Justeru itu sultan dan pangeran-pangeran terpaksa berpuas hati dan menerima hasil-mahsul yang kian berkurangan. Cuma daerah-daerah yang di sekeliling ibukota sahajalah yang menanggung beban perbelanjaan sultan. 

Sejarah moden negeri Sarawak bermula dengan ketibaan James Brooke di Kuching dalam tahun 1839. Pada masa itu, bumi yang sekarang dikenali sebagai Sarawak masih berada di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei. Aktiviti melombong ‘antimony’ telah bermula kira-kira satu dekad terdahulu daripada tarikh kedatangan Brooke di kawasan pendalaman Kuching. 

Sebagai salah satu daerah Brunei, Sultan telah memberi hak istimewa kepada Pangeran Mahkota yang mentadbir daerah tersebut bagi mengawal dan mengendalikan perusahan melombong. Beliau mengambil kesempatan memaksa orang-orang ‘Dayak Darat’ dan Melayu bekerja di situ. Dengan tindak tanduk Pangeran Mahkota, pekerja-pekerja merasa yang mereka telah ditindas dengan bayaran gaji yang amat rendah dan tidak seimbang dengan kerja yang disuruh. Selain daripada itu juga beliau mengutip yang ufti daripada pekerja; menjalankan perniagaan paksaan dan monopoli semua barang keperluan termasuk makanan dengan harga yang tetap. Beliau juga menjalankan pentadbiran sewenang-wenang dan sesuka hatinya. Pangeran Mahkota bukan sahaja mengutip cukai dengan secara yang tidak adil bahkan juga merampas harta benda rakyat. 

Oleh sebab itu dalam tahun 1836 rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum termasuk Melayu, Bidayuh dan Cina di bawah pimpinan Datu Patinggi Ali telah bangun memberontak dengan tujuan membebaskan Sarawak daripada belenggu kezaliman pembesar-pembesar Brunei. Sebenamya cara pemerintahan Pangeran Mahkota itu bukanlah dari restu Sultan Ali Umar Saifuddin H iaitu Sultan yang memerintah Brunei pada ketika itu. Setelah mendengar berita kekacauan yang berlaku di Sarawak, baginda Sultan menghantar ayah saudara baginda, Pangeran Muda Hashim (Pangeran Bendahara, Brunei) ke Sarawak untuk memadamkan huru-hara pemberontakan tersebut.

Beliau menjadi Bendahara atas nama sahaja setelah Raja Api dihukum bunuh kerana menjadikan Sultan Omar boneka padahal beliau (Raja Api) memegang teraju kuasa. Dengan sebab itu beliau (Pangeran Muda Hashim) perlu menunjukkan kebolehannya semasa dihantar ke Sarawak supaya dapat memulihkan kepercayaan Sultan. Pangeran Muda Hashim bagaimanapun telah gagal melaksanakan tugasnya dalam menghapuskan pemberontakan dan menghentikan kezaliman. 

Pangeran Mahkota di Kuching berdegil dan terus menganiaya rakyat tanpa memperdulikan perintah Sultan melalui Pangeran Muda Hashim Kekacauan dan huru-hara berterusan. Oleh kerana malu dan tidak mahu dianggap dirinya lemah, Pangeran Muda Hashim meminta pertolongan James Brooke yang kebetulan pada ketika itu berada di Sarawak; Beliau menawarkan daerah Siniawan dan Sarawak termasuk pemerintahannya sekali bersama- sama dengan perniagaan dan gelaran Raja jika ia bersetuju. 

Pada mulanya Brooke tidak berminat dan meneruskan perniagaannya ke Singapura dan lain-lain tempat. Brooke kembali semula ke Kuching dalam tahun 1840 dan mendapati keadaan di situ tidak berubah. Seterusnya beliau membuat keputusan untuk membantu Pangeran Muda Hashim. Setelah beberapa lama berperang akhirnya James Brooke telah berjaya menghapuskan pemberontakan dan mententeramkan keadaan. Sebagai membalas jasa dan seperti yang telah dijanjikan, beliau telah dilantik secara rasmi sebagai pemerintah di Sarawak bergelar “Raja Sarawak”. Tetapi perlantikan ini telah ditangguh oleh kerana Pangeran Mahkota masih membuat kekacauan dan enggan menerima keputusan Sultan. Perlantikan akhirnya dilakukan pada tarikh 24hb September 1941 setelah Pangeran Mahkota dihalau keluar. Bersama-sama dengan pengisytiharan tersebut beliau telah diberi sekeping jajahan seluas lebih kurang 3,000 batu persegi iaitu anggaran seluas Bahagian Pertama seperti yang ada sekarang. 

Kawasan ini meliputi sempadan di sebelah timur dan Tanjung Datu sampai ke Kuala Sungei Samarahan di sebelah barat termasuk Sungei dan Batang Kayan ke selatan pula ialah sejauh 60 batu dan pantai hingga ke sempadan dengan Kalimantan di bawah perintahan Belanda. Mengikut perjanjian di antara Brunei dengan Brooke, beliau (Brooke) akan memerintah Sarawak bagi pihak Sultan dan membayar baginda sejumlah $2,500 setahun. Pemberian ini kemudiannya telah disahkan oleh Sultan Omar Ali dalam tahun 1842. Pemerintahan Brooke, selain daripada motif perdagangan, beliau juga dikatakan mempunyai ciri-ciri kemanusiaan yang telah dicerminkan melalui dasar-dasarnya terhadap anak negeri. Beliau bertujuan untuk mempertingkatkan taraf hidup orang-orang Dayak dengan memperkembangkan sumber-sumber yang ada di negeri Sarawak. 

Beliau membentuk sebuah kerajaan yang sederhana tetapi berkesan yang boleh membuka perdagangan di kalangan suku kaum Bumiputera. Selanjutnya beliau bertujuan membebaskan mereka daripada belenggu kezaliman golongan bangsawan dan dengan itu berharap akan menambahkan nama baiknya lebih daripada menambahkan kekayaannya. Hubungan baik dengan pembesar-pembesar dikekalkan. Untuk mencapai cita-citanya, Brooke telah menggunakan pembesar-pembesar Melayu dengan memberi jawatan-jawatan penting walaupun pada hakikatnya beliau mempunyai kata putus. 

Dasar ini dilaksanakan dengan motif mendapatkan sokongan daripada pembesar-pembesar Melayu tempatan. Golongan pembesar-pembesar Melayu dikekalkan menjawat jawatan lama dalam sistem pentadbiran Brunei seperti Datu Patinggi, Datu Bandar, Datu Imam dan Datu Temenggung. Walaupun jawatan-jawatan lama itu masih ada tetapi peranan mereka telah berubah dan sehubungan itu sistem sosial dan politik tradisional bumiputera Sarawak juga turut berubah. Sepanjang pemerintahannya, James Brooke telah menghabiskan masa dengan menghapuskan lanun dan menstabilkan keadaan negeri Sarawak. Dalam pada itu jajahan Sarawak telah diluaskan sebanyak kira-kira 200 batu lagi ke kawasan timur dengan mengambil beberapa jajahan Brunei dalam tahun 1853 dan 1861. Untuk ini Sultan mendapat ganjaran sebanyak $6,000 setahun. Pengeluaran jajahan dalam tahun 1853 meliputi kawasan Batang Rejang hingga Ke Sungei Balingian iaitu Bahagian Kedua dan Bahagian Ketiga. 

Amerika Syarikat telah mengiktiraf Sarawak sebagai negara bebas dalam tahun 1854 manakala Britian telah menghantar seorang konsul dalam tahun 1864. James meninggal dunia dalam tahun 1868 di England dan tempatnya telah digantikan oleh anak saudaranya Charles Brooke sebagai “Raja Putih” Kedua. Dalam masa pemerintahan Raja yang kedua ini dua jajahan lagi telah ditambah untuk ditadbirkan olehnya. Dalam tahun 1881 jajahan dari Kendurung hingga Baram iaitu Bahagian Keempat, telah diambil oleh Charles dengan bayaran tambahan kepada sultan sebanyak $3,000 dan kepada Temenggung sebanyak $2000 setahun. Dalam tahun 1905 jajahan Lawas dan Limbang iaitu Bahagian Kelima telah ditambah kepada pentadbiran Sarawak dan dengan penyerahan itu negeri Sarawak telah memperolehi sempadan seperti yang ada pada hari ini. Sementara itu Sarawak telah memperolehi perlindungan Inggeris dalam tahun 1888 sebagai lanjutan kepada pengiktirafan yang telah diberikannya. Pada umumnya Charles memerintah mengikut dasar yang telah diasaskan oleh bapa saudaranya. 

Dasar perikemanusiaan diteruskan dan kerjasama pembesar tempatan tetap dikekalkan. Beliau memerintah dalam satu jangka masa yang agak lama iaitu dari tahun 1917 sehingga tahun 1912, Charles memerintah melalui kuasa mutlak tanpa disekat. Beliau mentadbir dengan cara mengeluarkan arahan atau perintah. Walaupun terdapat dua majlis, iaitu Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri, kuasa sebenarnya adalah di dalam tangan Raja. Peranan Majlis Tertinggi ialah untuk memberi nasihat kepada Raja mengenai undang-undang tradisi (customary laws), manakala Majlis Negeri pula berfungsi sebagai satu perhimpunan antara pemimpin-pemimpin Bumiputera dengan pegawai-pegawai Eropah; pemimpin-pemimpin rakyat ini datang hanya untuk menunjukkan taat setia kepada Raja. Mulai tahun 1912 beberapa perubahan perlembagaan mula diperkenalkan oleh Charles. 

Beliau menubuhkan Majlis Penasihat Negeri Sarawak di London untuk menasihati dan menyelia perkara-perkara berkaitan dengan kewangan. Dalam tahun 1915 beliau menubuhkan pula Jawatankuasa Pentadbiran yang diberi kuasa untuk menguruskan semua perkara mengenai pentadbiran negeri Sarawak. Jawatankuasa ini dianggotai oleh tiga orang Residen iaitu Ketua pentadbir di Bahagian 1, 3 dan 4 dan lima orang ahli biasa yang juga terdiri daripada orang-orang Inggeris. Charles telah meninggal dunia dalam tahun 1917 dan digantikan oleh anaknya Vyner sebagai “Raja Putih” Ketiga. 

Beberapa perubahan penting dalam bidang ekonomi telah berlaku ke atas negeri Sarawak pada awal pemerintahan Vyner Brooke. Getah dan lada hitam dieksport secara besar-besaran. Pendapatan daripada hasil minyak di Miri semakin bertambah. Penubuhan komuniti Foochow di Sibu telah mengeluarkan hasil pertanian (terutamanya getah) yang lumayan, dan memberi harapan yang Sarawak akan mendapat pengeluaran makanan yang mencukupi. Kesemua ini telah menyebabkan pentadbirannya menjadi lebih kompleks. Pada penghujung pemerintahan Vyner iaitu dalam tahun 1940, beliau menghadapi beberapa masalah khususnya masalah kewangan dan juga masalah mendapatkan ganti Raja yang menyebabkan beliau ingin menyediakan Sarawak ke arah pemerintahan sendiri. 

Beliau lakukan ini  dengan harapan untuk memperoleh bayaran sebagai ganti rugi. Perlembagaan yang diperkenalkan pada tahun 1941 itu, akan menggantikan pemerintahan Raja dengan satu bentuk kerajaan atas asas yang lebih luas yang memudahkan perkembangan kerajaan demokratik secara beransur-ansur. Pendek kata, perlembagaan yang baru ini akan mengakhiri zaman pemerintahan kuasa mutlak dan menyerahkan tanggungjawab memerintah kepada apa yang diperkenalkan sebagai ‘State Council’ atau Majlis Negeri. Walau bagaimanapun perlembagan yang baru mi tidak sempat dilaksanakan oleh kerana Jepun telah mendarat di Miripada 16 Disember 1941 dan terus menakluki seluruh negeri. 

Sebuah ‘Kerajaan Buangan” ditubuhkan di Australia di bawah Vyner Brooke sepanjang pendudukan Jepun di Sarawak hingga bulan Ogos 1945. Pada 11 September 1945 beberapa pasukan tentera Australia, Sekutu Britain dan Amerika Syarikat telah menyerang Kuching dan menerima penyerahan kalah daripada pegawai tertinggi tentera Jepun di Sarawak. Dan masa itu hingga tujuh bulan lamanya Sarawak telah diperintah oleh Pentadbbiran Tentera British (British Military Administration - B.M.A). 

Dalam bulan April 1946, Raja Vyner Brooke melalui wakilnya telah mula membincangkan cara-cara bagaimana Sarawak dapat diserahkan kepada kerajaan Great Britain yang boleh mentadbimya sebagai sebuah koloni British. Langkah ini diambil oleh kerana beliau sedar bahawa lebih banyak sumber-sumber kewangan serta kepakaran teknikal dan saintifik yang diperlukan bagi melakukan kerja-kerja pemulihan ke atas banyak kerosakan semasa pemerintah Jepun. Berikutan itu, Britain telah menghantar dua orang perwakilan untuk meninjau pendapat golongan Bumiputera Sarawak terhadap tindakan ini Mengikut laporan perwakilan, semua ahli Majlis Tertinggi telah bersetuju dengan penyerahan tersebut. Begitu juga pemimpin beberapa persatuan Cina yang utama telah menandatangani persetujuan mereka. 

Akan tetapi kumpulan yang keras membantah penyerahan tersebut ialah terdiri daripada Persatuan Melayu Kebangsaan (Malay National Union) yang mendakwa bahawa pendapat rakyat jelata tidak diperolehi sebelum keputusan ini dibuat. Mereka mendesak supaya  Perlembagaan Tahun 1941 dilaksanakan. Mesyuarat-mesyuarat dan perhimpunan raksasa telah diadakan membantah penyerahan tersebut. 

Guru-guru Melayu telah memulau sekolah-sekolah kerajaan dan seterusnya bersama kakitangan-kakitangan kerajaan meletakkan jawatan secara beramai-ramai. Bagaimanapun peristiwa pembunuhan wakil British iaitu Gabenor Duncan Stewart oleh Rosly bin Dhobie di Sibu pada awal bulan Disember 1949, telah menghancurkan Pergerakan Anti-Penyerahan (Anti-Cession Movement). Selepas peristiwa tersebut orang-orang Inggeris mengambil tindakan tegas terhadap persatuan ini dan terus mempercepatkan penyerahan. Semenjak itu Sarawak telah dijadikan sebuah koloni Inggeris yang sama taraf dengan koloni-koloni lain dalam Empayar British. Pentadbiran Sarawak diletakkan terus di bawah Menteri Tanah Jajahan British. Pada 16 September 1963, Sarawak bersama-sama dengan Sabah, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu telah bersetuju menubuhkan Malaysia.