Wednesday, December 4, 2019

Lima Universiti Awam tubuh Unit Perkhidmatan OKU

KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Sebanyak lima Universiti Awam (UA) telah menubuhkan Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah Dasar Inklusif OKU yang dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada awal September lepas.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sudah menubuhkan unit itu dan akan disusuli oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) lain dalam masa terdekat.

“Antara saranan dilakukan semua UA itu telah meletakkan unit berkenaan secara langsung di bawah naib canselor universiti masing-masing untuk mereka memantau pelaksanaannya pada fasa awal ini.

“Kita akan pastikan kita meletakkan foundation serta dasar yang kuat dan kukuh untuk membentuk masa depan lebih baik kepada OKU di IPT,” katanya dalam soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin tahu inisiaitif KPM terhadap OKU bagi memudahkan mereka memasuki universiti serta menjaga kebajikan golongan itu.

Maszlee sebelum ini dilapor berkata, semua 20 UA di seluruh negara wajib melaksanakan Dasar Inklusif OKU dan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU bermula sesi kemasukan pelajar 2019/2020.

Menerusi garis panduan dibangunkan KPM, dasar itu dilaksanakan bertujuan menghapuskan pengasingan pelajar OKU daripada pelajar lain.

Sementara itu, Maszlee berkata, 466 calon OKU ditawarkan tempat pengajian di universiti awam bagi sesi kemasukan akademik 2019/2020 daripada 547 calon yang memohon.

Menjawab soalan asal Kesavan yang ingin tahu peruntukan untuk mengecualikan yuran pendaftaran golongan anak asnaf atau golongan B40 bagi kategori sekolah dan UA, Maszlee berkata peruntukan bantuan persekolahan bagi tahun 2020 meningkat kepada RM3.4 bilion berbanding RM3 bilion tahun ini. 

-- BERNAMA