Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR - Terdapat pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya iaitu untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamed.
  
Beliau berkata sebagai contoh, Khazanah Nasional Bhd ditubuhkan berikutan keupayaan Bumiputera, terutama orang Melayu, lemah dari segi ekonomi dan pemilikan ekuiti.
  
"Oleh itu kita tubuhkan badan yang dikuasai oleh kerajaan (Khazanah) supaya mereka memegang saham-saham ini sementara kita memperkaya Bumiputera, dan kemudian kita agihkan kepada mereka (Bumiputera)," katanya kepada pemberita pada Kongres Ekonomi Melayu 2012 (KEM2012) di sini hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika mengulas peranan GLC dalam memperkukuh ekonomi Bumiputera.
  
Dr Mahathir yang juga Penasihat Petronas, berkata ada GLC yang telah terpisah daripada ikatan asal mereka sebagai pemegang amanah Bumiputera dan orang Melayu, malah tindakan mereka juga bertentangan dengan dasar penubuhannya.
  
"Sekarang dasar dah bertukar. Mereka jadi peniaga utama dan kadang-kadang diagihkan kepada bukan Bumiputera, orang asing dan sebagainya.
  
Malah, katanya kadangkala GLC turut berlumba-lumba dengan syarikat kerdil Melayu yang sama sekali tidak mampu menandingi keupayaan GLC.
  
Dr Mahathir turut menyeru orang Melayu agar bersatu-padu dalam memperjuangkan hak kesamarataan dalam pembahagian hasil kekayaan negara.
  
"(Kita) tak rampas hak orang lain, kita nak bahagian kita sahaja.
  
"Kita merupakan penduduk majoriti 60 peratus, tapi kita hanya minta 30 peratus (pemilikan ekuiti), ambillah yang lain bagi mereka," katanya.
  
Beliau turut menyarankan kerajaan memberi pertimbangan terhadap permasalahan yang dihadapi oleh peniaga Bumiputera.
  
Antaranya, peningkatan mendadak sewa di kompleks-kompleks perniagaan termasuk kompleks yang dimiliki oleh kerajaan secara tidak langsung.
  
Kenaikan ini kata beliau telah memaksa peniaga Bumiputera keluar dari kompleks-kompleks ini kerana tidak mampu membuat keuntungan.
  
KEM2012 yang dianjurkan oleh Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), berjaya mengumpulkan lebih 500 peserta untuk membincangkan hala tuju serta menjaga kelangsungan ekonomi orang Melayu.
  
Kongres dua hari itu yang berakhir hari ini, meluluskan 18 resolusi bagi mengukuhkan ekonomi orang Melayu selain pelancaran Tabung Usahawan dan Pelaburan Bumiputera Bhd sebagai skim pelaburan kolektif daripada ahli, usahawan Bumiputera serta individu, kerajaan dan agensi. - Bernama