Tuesday, July 16, 2013

Orang Dalam SPR Dedah Pembekal Rapat Dengan SPR

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan kepada Dewan Rakyat seorang usahawan bernama Mohamed Salleh Mohd Ali sebagai individu yang bertanggungjawab membekal dakwat kekal pada PRU13.

Beliau mendakwa, usahawan itu mendapat tender terus daripada SPR membekalkan topi, kemeja-T dan dakwat kekal.

Dakwa beliau lagi, Mohamed Salleh  pakar dalam rundingan terus apabila memperolehi banyak projek kerajaan termasuk bersama Kementerian Pertahanan.

"Pakar rundingan terus ini mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara, malah juga dikatakan rapat dengan Pengerusi SPR dan Timbalannya. Ada tiga syarikat dikawal oleh niagawan ini, salah satunya syarikat
Intergrated Challenger Malaysia Sdn Bhd.

"Sebab itu saya minta menteri sebut sebelum kami dedahkan, sebab selepas keluar (pendedahan) akan datang persepsi tidak baik.

"Ada dua syarikat lagi masuk dalam rundingan terus yang dikawal Mohamed Salleh ini," katanya pada sesi pembahasan perbekalan tambahan Kementerian Kewangan, hari ini.

Menurut Rafizi, maklumat yang diperolehi itu daripada orang dalam SPR sendiri.

"Saya minta menteri sahkan maklumat yang kami terima ini.

"Apa tindakan akan diambil kepada pakar rundingan terus ini?," soalnya.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang mencelah perbahasan itu, mempersoalkan pendedahan yang dibuat Rafizi.

"Di mana salahnya? Soal rundingan terus bukan menjadi amalan sekarang tetapi menjadi amalan dari pimpinan terdahulu termasuk ketika Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi Menteri Kewangan," katanya.

Membidas kenyataan itu, Khalid Samad (Pas-Shah Alam) berkata, ada banyak kelemahan melibatkan rundingan terus sehingga dakwat kekal yang dijanjikan tidak kekal.

"Kesalahan itu adalah bila rundingan terus dibeli pada harga jauh lebih tinggi dari harga pasaran dan kualiti barang yang sudah rosak," katanya.

Dakwat yang digunakan dalam PRU13 lalu mengundang pelbagai kontroversi apabila ia tidak mampu bertahan lama sepertimana yang diuar-uarkan SPR.

Ekoran itu, pelbagai siri bantahan dan petisyen difailkan PR dan BN kerana meragui keputusan PRU13 di beberapa kawasan Parlimen dan Dun yang didakwa berlaku penipuan pilihan raya.

#OSS (Open Source Software) jimat perbelanjaan kerajaan RM370j

Putrajaya: Kerajaan berjaya menjimatkan RM370 juta sejak lapan tahun lalu berikutan pelaksanaan Program Perisian Sumber Terbuka (OSS) bagi mengurangkan kos pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Omar Kaseh, berkata OSS kini sudah dilaksanakan 921 agensi kerajaan atau mewakili 99.6 peratus daripada keseluruhan agensi awam di pelbagai peringkat sejak 2004.

“Ia digerakkan melalui pelancaran Pelan Induk OSS Sektor Awam dan penubuhan Pusat Kompetensi Sumber Terbuka (OSCC). Seramai 7,300 kakitangan awam dilatih OSCC dari peringkat asas hingga tertinggi.

“Selain itu, 96 kakitangan menerima pensijilan OSS dan 16 penyedia latihan yang sah dari universiti dilantik bagi memperluaskan latihan kepada pelajar serta kakitangan di universiti awam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, OSS penyumbang utama kepada bidang ICT negara melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), manakala 10 produk generik dibangunkan OSCC untuk diguna pakai 724 agensi secara percuma, antaranya MySpamGuard, MySuftGuard, MyNetWatch, MyWorkSpace, MyDesktopManager, MySurveillance, MyTaskManager, MyMesyuarat, MyBooking dan MyDocManager.

“Pembangunan produk ini bertujuan menangani pertindihan usaha, sekali gus menjimatkan kos pembangunan kerajaan dan meningkatkan kecekapan kakitangan ICT sektor awam dalam usaha memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi spesifik di agensi,” katanya.