Tuesday, July 16, 2013

#OSS (Open Source Software) jimat perbelanjaan kerajaan RM370j

Putrajaya: Kerajaan berjaya menjimatkan RM370 juta sejak lapan tahun lalu berikutan pelaksanaan Program Perisian Sumber Terbuka (OSS) bagi mengurangkan kos pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Omar Kaseh, berkata OSS kini sudah dilaksanakan 921 agensi kerajaan atau mewakili 99.6 peratus daripada keseluruhan agensi awam di pelbagai peringkat sejak 2004.

“Ia digerakkan melalui pelancaran Pelan Induk OSS Sektor Awam dan penubuhan Pusat Kompetensi Sumber Terbuka (OSCC). Seramai 7,300 kakitangan awam dilatih OSCC dari peringkat asas hingga tertinggi.

“Selain itu, 96 kakitangan menerima pensijilan OSS dan 16 penyedia latihan yang sah dari universiti dilantik bagi memperluaskan latihan kepada pelajar serta kakitangan di universiti awam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, OSS penyumbang utama kepada bidang ICT negara melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), manakala 10 produk generik dibangunkan OSCC untuk diguna pakai 724 agensi secara percuma, antaranya MySpamGuard, MySuftGuard, MyNetWatch, MyWorkSpace, MyDesktopManager, MySurveillance, MyTaskManager, MyMesyuarat, MyBooking dan MyDocManager.

“Pembangunan produk ini bertujuan menangani pertindihan usaha, sekali gus menjimatkan kos pembangunan kerajaan dan meningkatkan kecekapan kakitangan ICT sektor awam dalam usaha memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi spesifik di agensi,” katanya.

No comments: