Tuesday, March 12, 2019

MENGAPA KERAJAAN MALAYSIA MENERIMA STATUT ROM SEDANGKAN BANYAK NEGARA MENOLAKNYA?

MENGAPA KERAJAAN MALAYSIA MENERIMA STATUT ROM SEDANGKAN BANYAK NEGARA MENOLAKNYA?
Oleh: ISHAM JALIL
Baru-baru ini Kerajaan Malaysia telah menandatangani dan menerima Statut Rom.
Sebelum ini Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail ada mengulas berkenaan perkara ini.
Dan semalam Perdana Menteri Tun Mahathir berkata Tunku Ismail bukan wakil rakyat, oleh itu tidak ada sebab untuk beliau mengulas perkara ini.
Sebenarnya tidak perlu wakil rakyat untuk ulas perkara ini, isu Statut Rom ini adalah suatu isu yang penting yang memberi kesan kepada semua rakyat, oleh itu sesiapa sahaja boleh ulas berkenaannya.
Terdapat banyak permintaan untuk saya ulas perkara ini daripada netizen.
Pertama sekali, saya bukan wakil rakyat dan saya juga bukan seorang peguam hubungan antarabangsa.
Namun demikian, saya pernah belajar dan mengkaji undang-undang dan hubungan antarabangsa di Harvard University di peringkat sarjana dan pernah menulis beberapa kertas berkenaan konflik dan keadilan antarabangsa termasuk yang melibatkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, oleh itu saya faham sedikit sebanyak berkenaan hal ini.
Saya cuba huraikan berkenaan Statut Rom ini dan kesannya kepada Malaysia dengan bahasa yang mudah difahami ramai.
Saya telah membaca Statut Rom ini dari awal sehingga ke akhir dan mendapati ada beberapa masalah berkenaan perlaksanaannya di Malaysia.
Statut Rom adalah satu undang-undang antarabangsa yang membenarkan dan memberi kuasa kepada pihak luar atau pertubuhan antarabangsa iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk campurtangan di dalam urusan undang-undang dalam negara.
Biasanya undang-undang antarabangsa digunapakai dalam kes-kes yang melibatkan pertikaian dua atau lebih negara dalam isu-isu seperti peperangan antara negara, konflik perdagangan antarabangsa, pertelingkahan maritim dan sebagainya.
Namun dalam kes Statut Rom ini, ia memberi ruang kepada badan antarabangsa untuk mencampurtangan dalam kes-kes domestik dalam negeri yang melibatkan kes pertuduhan-pertuduhan jenayah pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah perang, jenayah hak asasi manusia, dan jenayah kekerasan.
Jika kita menerima Statut Rom ini, tidak bermakna kita menolak jenayah-jenayah di atas dan sebaliknya jika kita menolak Statut Rom tidak bermakna kita menerima jenayah-jenayah di atas.
Sekiranya berlaku pembunuhan beramai-ramai (genocide), sesuatu negara tidak perlu menyertai Statut Rom untuk pihak antarabangsa mengambil tindakan seperti di Bosnia dan Rwanda sebelum ini.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) boleh mengambil tindakan tidak kira sama ada negara yang terlibat menandatangani Statut Rom atau tidak.
Oleh itu isu berkenaan Statut Rom ini bukanlah berkenaan jenis jenayah yang disiasat dan dijatuh hukuman, tetapi ianya berkenaan bidangkuasa dan kedaulatan: siapa yang berkuasa menyiasat dan menjatuhkan hukuman ke atas jenayah-jenayah ini.
Dalam Artikel 17 Statut Rom ini dinyatakan bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhak dan mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menjatuhkan hukuman ke atas kes-kes berkaitan di mana mahkamah tempatan dalam negeri tidak mahu (unwilling) atau tidak berupaya (unable) untuk menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman ke atas sesuatu kesalahan jenayah.
Menteri Luar Negeri Malaysia melalui kenyataan Wisma Putra menggunakan alasan ini dan mengatakan bahawa rakyat tidak perlu risau kerana Statut Rom tidak akan mengganggu-gugat kuasa dan imuniti Yang Dipertuan Agong kerana campurtangan asing dalam penyiasatan dan hukuman hanya akan dibuat sekiranya mahkamah tempatan dalam negeri tidak mahu (unwilling) atau tidak berupaya (unable) untuk menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman ke atas suatu kesalahan jenayah berkaitan, dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa ini adalah mahkamah pilihan terakhir.
Menteri Luar melalui Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam juga berkata bahawa Perlembagaan tidak perlu dipinda untuk menandatangani atau meratifikasi Statut Rom ini.
Terdapat dua perkara yang amat janggal dalam pemahaman dan keterangan Menteri Luar melalui kenyataan Wisma Putra ini.
PERTAMA, Mahkamah tertinggi dan terakhir di Malaysia adalah Mahkamah Persekutuan dan bukannya mahkamah asing atau mahkamah antarabangsa.
Ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang membawa maksud bahawa kuasa tertinggi dan terakhir hukuman undang-undang di Malaysia adalah di tangan Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 121 sehingga 131 Perlembagaan Persekutuan.
Kuasa ini tidak boleh diserah kepada kuasa asing tanpa meminda Perlembagaan.
Oleh itu kenyataan Menteri Luar atau Kerajaan bahawa Perlembagaan tidak perlu dipinda untuk menandatangani atau meratifikasi Statut Rom adalah kenyataan yang dangkal, tidak tepat atau salah sama sekali.
Negara-negara seperti Peranchis, Belgium, Luxembourg, Chile, Ukraine dan lain-lain telah mengkaji secara mendalam dan mendapati bahawa mereka perlu meminda perlembagaan mereka sebelum meratifikasi Statut Rom ini.
Malah kebanyakan negara yang telah menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ini telah meminda perlembagaan mereka.
Terdapat perbezaan antara perlembagaan-perlembagaan negara-negara ini, namun asasnya tetap sama iaitu negara yang berdaulat dan merdeka tidak boleh menyerahkan kuasa perundangan mereka kepada kuasa asing. Perlembagaan Malaysia tidak terkecuali daripada asas ini.
Oleh kerana perkara di atas, sekiranya apa-apa kuasa perundangan yang melibatkan hukuman ke atas tuduhan jenayah ke atas rakyat Malaysia yang dilakukan di negara ini ingin diserahkan kepada kuasa luar atau badan asing maka Kerajaan perlu meminda Perlembagaan terlebih dahulu sebelum menandatangani statut atau meratifikasinya, bukan sesuka hati mendatangani Statut Rom ini seperti yang telah dilakukan oleh Kerajaan baru-baru ini sebelum ia di bawa ke Parlimen.
Untuk meminda Perlembagaan dan meratifikasi Statut Rom ini, perlu mendapat majoriti 2/3 di Parlimen dan sebab yang kukuh.
Namun demikian sebab-sebab yang ada oleh kerajaan untuk menandatangani Statut Rom ini adalah lemah dan merugikan negara malah mengancam kedaulatan negara dan keluhuran Perlembagaan.
Kerajaan berkata bahawa dengan menandatangani Statut Rom ini ia akan memudahkan kita untuk membuat kerja-kerja kemanusiaan di negara-negara lain.
Namun demikian, hujah ini amat lemah kerana gagal menilai keutamaan dan kepentingan negara.
Kita tidak boleh menggadaikan walau seinci kedaulatan negara hanya kerana kita ingin membuat kerja di negara lain.
Apabila kuasa perundangan di bawah Perlembagaan diserahkan kepada pihak asing, maka ia juga melemahkan kuasa Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Sebelum Merdeka dan semasa zaman penjajahan, kuasa tertinggi hukuman undang-undang di Malaysia (Malaya) adalah di tangan penjajah iaitu mahkamah dan hakim-hakim di England, yang mana kebanyakan atau hampir semua daripada mereka tidak pernah tinggal di Malaya lantas jauh sekali memahami kehidupan dan nilai-nilai budaya dan cara hidup masyarakat tempatan.
Namun mereka menjatuhkan hukuman terakhir ke atas tertuduh-tertuduh tempatan berdasarkan maklumat dan laporan-laporan atas kertas daripada pelapor-pelapor yang beribu batu jauhnya ke atas tertuduh yang mereka tidak pernah jumpa yang tinggal dalam masyarakat dan budaya yang mereka tidak kenal.
Ini mendatangkan masalah apabila hukuman yang dijatuhkan adalah tidak adil kerana maklumat dan laporan yang tidak betul atau kesalahfahaman hakim asing ke atas konteks kes tempatan.
Selepas Merdeka, kuasa menjatuhkan hukuman kepada warganegara Malaysia terhadap tuduhan jenayah yang berlaku di negara ini adalah diserahkan kepada institusi keadilan tempatan atau mahkamah dan hakim tempatan yang lebih memahami undang-undang dan budaya tempatan dengan menggunakan undang-undang tempatan berdasarkan Perlembagaan supaya keadilan lebih dapat dicapai.
Kuasa ini juga adalah di atas landasan moral dan falsafah “self-determination” untuk negara merdeka bermaksud setiap negara yang berdaulat mempunyai hak menentukan untung nasib, halatuju atau hukuman undang-undang ke atas rakyat sendiri dan tidak bergantung kepada campurtangan kuasa asing.
Selepas Merdeka, Malaysia tidak perlu lagi merujuk atau berserah kepada kuasa luar untuk menjatuhkan hukuman ke atas rakyatnya sendiri terhadap tuduhan jenayah yang berlaku di dalam negeri.
Namun apabila kerajaan menerima dan menandatangani Statut Rom ini, ia menggugat dasar “self-determination” dan kedaulatan undang-undang negara, dan umpama menyerah kuasa kepada kuasa asing yang sebenarnya tidak perlu.
Dalam sejarah, sesuatu negara yang merdeka hanya akan menyerahkan kedaulatan setelah kalah perang dan setelah ia tidak mempunyai pilihan lain.
Namun Kerajaan Malaysia kini umpama belum apa-apa telah serah kedaulatan tanpa melawan atau memikir panjang.
Banyak negara di dunia tidak menerima dan tidak menandatangani atau meratifikasi Statut Rom ini seperti negara India, China, Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Beberapa tahun lalu beberapa negara yang sebelum ini menandatangani Statut Rom seperti Afrika Selatan, Russia, Burundi dan Gambia telah mengambil keputusan untuk keluar dari kerjasama dengan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan membatalkan penerimaan Statut Rom tersebut.
Negara-negara yang tidak menandatangani atau menarik diri ini tentunya mempunyai sebab-sebab yang kukuh.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Statut Rom mempunyai masalah kredibiliti, legitimasi dan motif.
Sebelum ini reputasi mereka telah tercemar dengan tuduhan memilih kes yang dijadikan alat geopolitik kuasa besar untuk menekan dan membuli negara-negara kecil dunia ketiga terutama di Afrika dengan tuduhan jenayah hak asasi manusia.
Kini terdapat 11 kes di bawah siasatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa menggunakan Statut Rom dan hampir kesemua kes-kes ini adalah ke atas negara-negara kecil dan membangun terutama di Afrika seperti Burundi, Georgia, Central African Republic, Mali, Cote D’Ivoire, Libya, Kenya, Sudan, Uganda dan Congo.
Terdapat juga kes di mana Statut Rom dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dijadikan alat oleh pemimpin Kerajaan untuk menjatuhkan dan menghukum pemimpin pembangkang.
Di Côte d’Ivoire sebagai contoh, Presiden Alassane Ouattara telah meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menggunakan Statut Rom untuk menghukum seteru politiknya iaitu ketua pembangkang dan bekas Presiden Laurent Gbagbo.
KEDUA, keputusan sama ada mahu atau tidak mahu untuk membicarakan sesuatu kes sepatutnya diserahkan kepada pertimbangan sistem Kehakiman Negara dan bukan kepada keputusan pihak lain terutama kuasa luar.
Jika Kerajaan menerima campurtangan asing melalui Statut Rom atas sebab mahkamah tempatan tidak mahu atau tidak mampu untuk membicarakannya seperti di atas, maka ianya seolah-olah kerajaan tidak percaya dengan sistem perundangan dan kehakimannya sendiri; ianya adalah suatu tamparan dan penghinaan kepada cabang Kehakiman negara.
Dalam Artikel 17 Statut Rom (ne bis in idem) menyatakan konsep ‘ne bis in idem’ atau maksudnya ‘tidak boleh dibicara dua kali atas perkara yang sama’ digunakan untuk menghalang mahkamah tempatan membuka, membicara dan menjatuhkan hukuman ke atas kes yang sedang disiasat atau telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Namun sebaliknya, berdasarkan Artikel yang sama, kes yang telah dibicarakan di mahkamah tempatan negara, boleh dibuka semula dan dibicarakan lagi di mahkamah antarabangsa pula.
Oleh yang demikian, konsep undang-undang ‘ne bis in idem’ membawa takrifan yang pilih kasih (double standard) atau songsang dalam Statut ini.
Jika mahkamah tempatan mahu dan mampu membicarakan sesuatu kes yang sedang atau telah dibicarakan oleh Mahkamah Tindakan Antarabangsa sekali pun, mahkamah tempatan tidak boleh berbuat demikian.
Ini tidak adil dan tidak masuk akal malah bertentangan dengan kenyataan dalam Artikel yang sama iaitu Mahkamah Antarabangsa hanya akan mengambil tindakan sekiranya mahkamah tempatan tidak mampu (unable) atau tidak mahu (unwilling) membicara kes tersebut.
Menteri Luar melalui kenyataan Wisma Putra juga mengatakan bahawa takrifan jenayah yang boleh diambil tindakan juga adalah jelas dinyatakan dalam Statut Rom ini.
Ini tidak betul. Takrifan jenayah mengikut Artikel 5 ke 9 Statut ini adalah terlalu umum dan subjektif dan bergantung kepada budibicara dan takrifan pendakwaraya antarabangsa.
Contohnya, dalam Artikel 7 menyebut ‘pemenjaraan atas sebab jenayah hak asasi manusia’; kenyataan ini adalah amat umum dan boleh ditakrif secara meluas.
Contohnya, sekiranya seseorang dipenjara oleh sebab jenayah sodomi mengikut undang-undang tempatan, namun undang-undang antarabangsa menakrifkan pemenjaraan sebab jenayah sodomi ini adalah bertentangan dengan hak asasi manusia, maka Statut Rom boleh digunapakai untuk mahkamah asing mencampuri dan mengubah keputusan mahkamah tempatan ini.
Dan mahkamah tempatan perlu akur dan tidak boleh buat apa-apa sebab Statut Rom yang telah ditandatangani perlu dihormati dan dilaksana (berdasarkan asas ‘pacta sunt servanda’).
Artikel 54 dan 98 Statut ini membawa maksud bahawa pihak pendakwaan dan penyiasat antarabangsa boleh menjalankan siasatan di Malaysia tanpa pihak berkuasa undang-undang tempatan.
Artikel 89 membawa maksud bahawa warganegara Malaysia yang dituduh atas sesuatu jenayah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa perlu diserahkan kepada pihak berkuasa antarabangsa untuk dibicarakan dan dijatuhkan hukuman.
Artikel-artikel dalam Statut Rom seperti di atas dengan jelas melemahkan kedaulatan negara dan keluhuran Perlembagaan.
Saya ingin persoal, Menteri dan Timbalan Menteri di Wisma Putra ini faham atau tidak apa yang telah mereka lakukan ini?
Malaysia bukan negara Afrika. Sistem Kehakiman negara kita adalah baik dan mampu untuk menegakkan keadilan.
Dan kita sudah Merdeka. Kita tidak perlu menyerahkan kedaulatan negara kita kepada kuasa asing lagi.
Biarlah kita menentukan untung nasib kita sendiri di sini.
ISHAM JALIL
Presiden SUKARELAWAN MALAYSIA
12 Mac 2019