Monday, August 4, 2008

Forum Personaliti Anda dan Gaya Anda Sempena Program Knowing Yourself Anjuran JPK Delima UiTM Malaysia 4 Ogos Sehingga 10 Ogos 2008 Di Dataran Delima

Baru sebentar tadi berlangsungnya satu forum bertajuk Personaliti Anda, Gaya Anda di Dataran Kolej Delima. Majlis bermula jam 9.00 malam dan tamat pada jam 11.30 malam. Ahli forum ialah ustaz Mohd. Nor Mamat dan ustazah Khairiyah Ismail dari pada CITU. Saya terpegun dengan sambutanpositif yang diberikan oleh warga kolej delima khasnya dan warga UiTM amnya. Dataran Delima dipenuhi oleh hampir 500 orang mahasiswa yang sedang mengikuti forum tersebut. Kebanyakannya adalah mahasiswa fakulti perubatan , sains sukan dan rekreasi dan FTMSK.

Saya tertarik dengan pandangan utz Mohd. Nor Mamat mengenai personaliti siswi, pada beliau pelajar yang pakaian terdedah sana, terdedah sini, berbaju ketat, memakai seluar sendat, padat dan padu, pendek, singkat dan nampak pusat adalah bukan personaliti dan imej seorang pelajar, Itu imej pelaXXX kata beliau. Jadi beliau menyeru para pelajar membentuk personaliti, gaya dan imej seorang pelajar seperti suka berfikir, suka membaca, membudayakan ilmu, suka mencari ilmu untuk menghindarkan diri dari kebodohan, berpakaian menutup aurat dan sebagainya.

Ustazah Khairiyah Haji Ismail pula menceritakan bagaimana taraf wanita pada zaman jahiliah sebelum kedatangan islam. Wanita pada zaman itu hanyalah hamba kepada lelaki termasuklah menjadi hamba seks, wanita diperalatkan hanya sebagai bahan hiburan dan seks sahaja, sehinggakan ibubapa membunuh bayi perempuan mereka yang lahir pada zaman itu kerana tidak sanggup melihat penderitaan yang akan dialami oleh anak tersebut bila dewasa kelak. Kedatangan islam mengangkat martabat wanita. Ustazah mencadangkan supaya semua siswi dan siswa menghayati keindahan islam kerana islam itu indah. Islam tidak menyekat kemajuan. Islam itu syumul dan menyeru pelajar memperindahkan islam melalui perkataan, fikiran, perbuatan dan tindakan yang berasaskan kehendak islam.

Sebaik sahaja forum tersebut selesai saya menjemput ustaz dan ustazah menikmati jamuan ringan di Bilik Mesyuarat tetapi memandangkan masa sudah lebih 11.00 malam, Ustaz dan Ustazah menolak pelawaan kami dan saya mengiringi mereka ke kenderaan masing-masing yang diletakan di kawasan meletak kereta kompleks sukan. Saya memuji ustaz Nohd. Nor kerana membawa imej baru dan perspektif baru dalam konteks imej seorang ustaz. Beliau tidak berserban, berjanggut dan berjudah tapi boleh membicarakan soal islam daripada hal ehwal pokok sehingga hal ehwal ranting-rantingnya.