Showing posts with label Pilihanraya. Show all posts
Showing posts with label Pilihanraya. Show all posts

Tuesday, July 16, 2013

Orang Dalam SPR Dedah Pembekal Rapat Dengan SPR

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan kepada Dewan Rakyat seorang usahawan bernama Mohamed Salleh Mohd Ali sebagai individu yang bertanggungjawab membekal dakwat kekal pada PRU13.

Beliau mendakwa, usahawan itu mendapat tender terus daripada SPR membekalkan topi, kemeja-T dan dakwat kekal.

Dakwa beliau lagi, Mohamed Salleh  pakar dalam rundingan terus apabila memperolehi banyak projek kerajaan termasuk bersama Kementerian Pertahanan.

"Pakar rundingan terus ini mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara, malah juga dikatakan rapat dengan Pengerusi SPR dan Timbalannya. Ada tiga syarikat dikawal oleh niagawan ini, salah satunya syarikat
Intergrated Challenger Malaysia Sdn Bhd.

"Sebab itu saya minta menteri sebut sebelum kami dedahkan, sebab selepas keluar (pendedahan) akan datang persepsi tidak baik.

"Ada dua syarikat lagi masuk dalam rundingan terus yang dikawal Mohamed Salleh ini," katanya pada sesi pembahasan perbekalan tambahan Kementerian Kewangan, hari ini.

Menurut Rafizi, maklumat yang diperolehi itu daripada orang dalam SPR sendiri.

"Saya minta menteri sahkan maklumat yang kami terima ini.

"Apa tindakan akan diambil kepada pakar rundingan terus ini?," soalnya.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang mencelah perbahasan itu, mempersoalkan pendedahan yang dibuat Rafizi.

"Di mana salahnya? Soal rundingan terus bukan menjadi amalan sekarang tetapi menjadi amalan dari pimpinan terdahulu termasuk ketika Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi Menteri Kewangan," katanya.

Membidas kenyataan itu, Khalid Samad (Pas-Shah Alam) berkata, ada banyak kelemahan melibatkan rundingan terus sehingga dakwat kekal yang dijanjikan tidak kekal.

"Kesalahan itu adalah bila rundingan terus dibeli pada harga jauh lebih tinggi dari harga pasaran dan kualiti barang yang sudah rosak," katanya.

Dakwat yang digunakan dalam PRU13 lalu mengundang pelbagai kontroversi apabila ia tidak mampu bertahan lama sepertimana yang diuar-uarkan SPR.

Ekoran itu, pelbagai siri bantahan dan petisyen difailkan PR dan BN kerana meragui keputusan PRU13 di beberapa kawasan Parlimen dan Dun yang didakwa berlaku penipuan pilihan raya.

Wednesday, April 4, 2012

Media Baru, Demokrasi dan Generasi Muda

Pilihan raya umum ke-12 telah mengubah lanskap politik di Malaysia. Buat pertama kali sejak merdeka, parti pemerintah Barisan Nasional gagal menguasai kerajaan di lima buah negeri dan juga tidak mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen persekutuan.

Selain daripada isu-isu yang dibangkitkan dalam kempen pilihan raya, pengaruh internet dalam kalangan generasi muda dikatakan sebagai di antara faktor yang mengayun undi generasi muda kepada parti pembangkang Pakatan Rakyat.

Globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dikatakan telah banyak mengubah pengertian kita mengenai peranan media dalam proses demokrasi. Media termasuk internet memberikan ruang baru dalam demokrasi bukan sahaja untuk mencapai maklumat tetapi memberikan ruang interaksi dalam komunikasi politik (Schulz, 2004; Schulz, Web dan Quiring, 2005; Papacharissi, 2004).

Tidak dapat dinafikan untuk proses demokrasi berjaya, ia memerlukan maklumat bagi membolehkan warga sesebuah negara membuat keputusan dengan bijak. Ini disebabkan dengan persaingan dan penswastaan media, banyak berita politik lebih menekankan negativisme disebabkan penekanan berlebihan kepada isu-isu konflik dan skandal (Kepplinger, 2000).

Dengan itu akses kepada maklumat yang sahih dan berkualiti daripada pelbagai media bagi setiap warganegara adalah penting. Kemunculan teknologi baru dikatakan boleh memberi ruang di mana individu bebas menyuarakan pendapat mereka kerana ruang siber tidak dikawal oleh mana-mana kuasa yang berdaulat.

Menurut Sassi (2000) Internet seperti juga media lain di mana peranannya dalam demokrasi akan ditentukan oleh orientasinya sama ada sebagai entiti awam atau swasta. Namun begitu Keane (2000) berpendapat internet berpotensi membentuk ruang awam mikro di mana ia boleh
meningkatkan jaringan di peringkat global atau regional. Begitu juga Hayes (2008) dan Abbe et. al (2003) berpendapat bahawa media boleh membantu calon pilihanraya mengetengahkan isu- isu tertentu untuk dijadikan agenda perbincangan dalam kempen pilihan raya dan jika pengundi bersetuju dengan isu tersebut ia akan mempengaruhi tingkah laku pengundiannya.

Teknologi komunikasi hanyalah sebagai wadah penyaluran maklumat. Teknologi komunikasi semata-mata tidak akan membawa apa-apa perubahan dalam proses demokrasi. Dewasa ini ramai yang beranggapan bahawa dengan perkembangan ICT ia akan mengubah pola dan proses demokrasi di kebanyakan negara, dan ada kemungkinan juga boleh menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Pendapat mengenai medium is the message (McLuhan, 2005) dan technological determinism (Jenkins dan Thorburn, 2003) telah kerapkali dicabar. Sebaliknya kesan teknologi media baharu adalah secara evolusi bukan revolutionari. Media baharu setidak-tidaknya akan membuka lebih ruang kepada pandangan yang bertentangan sama ada pandangan sedia ada dengan pandangan baharu; dan pandangan yang ingin perubahan dengan pandangan yang ingin kekal dengan keadaan sedia ada.

Satu aspek penting dalam demokrasi adalah mewujudkan warga yang bermaklumat, berpengetahuan dan terlibat dalam proses demokrasi. Menurut The McBride-Commission (1980, 131) “The right to communicate is an extension of the continuing advance toward liberty and democracy.” Begitu juga dalam United Nations Charter, the Universal Declaration of Human Rights. Article 19 menyatakan bahawa “freedom of information” is a fundamental human right: “Everyone has a right to freedom of opinion and expression; the right includes freedom to hold opinions... and to seek, receive and impart information and ideas through any medias and regardless of frontiers.”

Minat generasi muda terhadap demokrasi dilaporkan semakin menurun. Di negara maju peratusan mereka yang keluar mengundi dalam pilihan raya adalah rendah di mana hanya 50 peratus keluar mengundi dan di England pula hanya 69 peratus keluar mengundi (Mercurio, 2002: 48). Ini mungkin disebabkan sistem politik formal hari ini dianggap terpisah dengan diri generasi muda.

Menurut Hasebrink dan Hasebrink (2003) generasi muda sukar untuk mengidentifikasikan dengan isu politik semasa kerana mereka tidak mempunyai asas maklumat politik yang mencukupi. Ini disebabkan mereka bukan pembaca akhbar yang serius atau penonton berita di televisyen yang kerap. Ini disebabkan berita dalam media tidak banyak membincangkan perihal generasi muda. Jika generasi muda mendedahkan diri mereka dengan media, lazimnya pilihan mereka adalah terhadap berita ringan atau soft news berbanding dengan berita berat atau hard news. Seperkara lagi adalah generasi muda berhadapan dengan persekitaran yang kaya media iaitu terdapat pelbagai media untuk dipilih.

Adalah sukar bagi sesuatu media mendominasi sesuatu maklumat yang hendak disampaikan kepada orang ramai. Maklumat politik juga perlu bersaing dengan maklumat lain seperti hiburan, sukan dan lain-lain untuk mendapatkan perhatian generasi muda. Tetapi berbanding dengan media massa, laman web dikatakan dapat menyampaikan maklumat yang diperlukan individu jika ia disusun dan menggunakan reka bentuk yang sesuai (Colemen et al., 2008).

Internet seperti juga media massa berupaya membangkitkan agenda awam untuk dikupas oleh orang ramai. Tetapi dalam masa yang sama internet juga boleh meningkatkan penyertaan orang ramai dalam diskusi isu-isu politik kerana ia memberikan ruang sosial yang lebih untuk berinteraksi secara horizontal.

Walau bagaimana pun Graber (2003) menyatakan media dan demokrasi hanyalah satu mitos kerana budaya politik adalah lebih penting daripada kebijaksanaan warga dan media yang cemerlang.

Parti politik traditional dianggap sebagai mengongkong oleh generasi muda kerana ia menentukan terlebih dahulu peranan yang perlu dimainkan. Internet memberikan generasi muda lebih autonomi dan individualisasi. Internet memberikan ruang orang muda membentuk identiti mereka, mendapatkan kebebasan dan terlibat dengan masyarakat di sekeliling mereka. Internet memberikan nafas baru untuk mereka mencari cara baru terbabit dalam politik.

Menurut Livingstone (2007) generasi muda lebih bertindak balas kepada projek yang khusus, dengan memerlukan obligasi yang rendah tetapi aktiviti tersebut mempunyai profil tinggi yang dianjurkan oleh jaringan rakan sebaya.

Kajian menunjukkan akses kepada internet boleh meningkatkan penglibatan dalam kehidupan sivik dan politik (Shah et. al. 2005; Dutta-Bergermen, 2005). Menurut Gibson et. al. (2003) kebanyakan ahli politik menggunakan internet sebagai kelangsungan komunikasi top-down mereka untuk ‘bersemuka’ dengan orang ramai tetapi bukan sebagai alat untuk penyertaan melalui parti politik masih belum jelas. Kebanyakan aktiviti di internet adalah kesinambungan daripada aktiviti offline (Noris 2003;Tkach-Kawasaki 2003).

Kebanyakan maklumat yang tersebar dalam ICT adalah berbentuk maklumat mentah yang perlu diberikan tafsiran. Maklumat melalui media massa kebanyakannya telah diolah menjadi pengetahuan oleh penulis dan penganalisis berdasarkan ideologi atau kaca mata mereka sendiri.

Media cetak dianggap berupaya berhujah mengenai sesuatu isu. Penyiaran pula lebih menekan empati dan berjaya dalam membuat rayuan emosi daripada asas yang kukuh (Dehlgren, 2007). Berdasarkan populariti internet ada juga kemungkinan gergasi media yang ada pada hari ini akan cuba menguasai internet dan apa juga teknologi yang bakal dibangunkan. Jika ini berlaku suara rakyat, masyarakat sivil, NGOs tidak mungkin akan mendapat ruang yang sesuai dalam internet jika model pemilikan media sekarang ini diterapkan dalam internet.

Berdasarkan potensi internet dimasa hadapan, ada juga kemungkinan di mana fokus perkembangan internet adalah kepada hiburan kerana ia boleh membawa lebih banyak keuntungan. Jika ini berlaku maka akan berkuranglah ruang untuk mendidik, memberi inspirasi dan membantu masyarakat secara bersama (Schuler, 2003:70). Pada pendapat Coleman dan Blumer (2009), internet akan dapat meningkatkan kredibiliti dan dipercayai sekiranya ia tidak menunjukkan kecondongan atau motif yang memihak pada mana-mana entiti politik.