Thursday, June 27, 2013

Malaysia di Tempat ke -16 Dalam Senarai Ekonomi Dijangka Berkembang oleh UNCTAD

KUALA LUMPUR: Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke-16 pada Senarai Ekonomi Yang dijangka Berkembang Pesat bagi tempoh 2013 hingga 2015, dengan peningkatan tiga kedudukan, demikian menurut Laporan Pelaburan Dunia 2013 yang diumumkan oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

Kedudukan itu berasaskan peratusan dari responden yang memilih sesuatu ekonomi sebagai "ekonomi terbaik."

Laporan yang bertajuk "Global Value Chains: Investment and Trade for Development" itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada 2011, Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke-11 di kalangan 20 ekonomi teratas yang mencatatkan kadar pulangan Pelaburan Langsung Asing (FDI) tertinggi atau keuntungan FDI 17 peratus, yang membuktikan Malaysia sebagai lokasi menguntungkan untuk melakukan perniagaan.

Malaysia turut mengekalkan kedudukannya sebagai penerima FDI ketiga terbesar di Asean, kata laporan itu, sambil menyatakan bahawa aliran masuk bersih FDI negara ini pada tahun lepas menyaksikan penurunan pelaburan 17.4 peratus kepada US$10.1 bilion berbanding US$12.2 bilion pada 2011.

Sebahagian besar aliran masuk FDI Malaysia dicatatkan di dalam sektor perkilangan, yang tidak sama di negara-negara Asean yang lain di mana pelaburan dicatatkan di dalam sektor infrastruktur, perkhidmatan dan utama, kata laporan itu.

"Penurunan aliran masuk FDI ke Malaysia adalah sejajar dengan penurunan global di dalam sektor perkilangan, di mana menurut UNCTAD ia disumbangkan sebahagian besar kerana penurunan di segi nilai projek baharu," kata laporan itu.

Katanya, sektor perkilangan di Malaysia kini mengalami satu tempoh transformasi dan penstrukturan semula, di mana pemain industri dijangka mengurangkan pelaburan pada sektor bernilai rendah dan meningkatkan aktiviti di dalam industri penyelidikan dan pembangunan, berpengetahuan tinggi, bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi.

Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menggalakkan aktiviti bernilai tambah, yang termasuk menerima pakai satu kaedah ekosistem untuk menggalakkan pelaburan swasta, menggalakkan aktiviti penyumberan luar dan memperkenalkan inisiatif pelaburan domestik.

Katanya banyak syarikat multinasional (MNC) terkemuka telah memilih Malaysia untuk mewujudkan operasi serantau dan global masing-masing.

"Kebanyakan MNC ini telah mewujudkan program latihan berstruktur bagi memindahkan kemahiran utama masing-masing kepada warga kerja Malaysia.

"Dalam tempoh jangka panjang, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi bagi rakyat Malaysia di dalam sektor seperti perniagaan, perakaunan, kewangan, teknologi maklumat, kejuruteraan, teknikal dan perkhidmatan baharu yang lain," kata Mustapa.

Pada peringkat global, laporan itu menyatakan aliran masuk FDI global turun 18 peratus kepada US$1.35 trilion pada 2012 berbanding US$1.6 trilion pada 2011.

"Kedudukan global negara-negara penerima FDI terbesar mencerminkan bahawa negara-negara membangun mendahului di segi FDI pada tahun lepas, dengan catatan 52 peratus aliran FDI global meski pun aliran masuk FDI ke negara-negara membangun turun 4.0 peratus berbanding dengan 2011," kata leporan itu.

UNCTAD mengunjurkan aliran masuk FDI global tahun ini kekal pada paras 2012, dengan maksimum US$1.45 trilion dan mengunjurkan aliran masuk FDI 2013 dan 2014 meningkat secara sederhana, masing-masing kepada US$1.6 trilion dan US$1.8 trilion. - BERNAMA

Ibu Kugan Menang Saman Anak Mati Dalam Lokap

Kuala Lumpur: Ibu A Kugan, tahanan polis yang mati di lokap Balai Polis Taipan, Subang Jaya, berjaya dalam saman terhadap Timbalan Ketua Polis Negara dan empat lagi, yang cuai ketika menjaga keselamatan anak lelakinya. 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk V T Singham yang membenarkan tuntutan saman N Indra (plaintif), memerintahkan lima defendan membayar ganti rugi serta kos RM851,700 kepada plaintif, selepas mendapati beliau berjaya membuktikan tuntutannya. 

Indra memfailkan saman itu pada 13 Januari tahun lalu dengan menuntut ganti rugi RM100 juta daripada Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Konstabel V Navindran; Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar; Ketua Polis Negara ketika itu dan Kerajaan Malaysia. 

Zainal Rashid sudah meninggal dunia, manakala Navindran tidak lagi berkhidmat dengan pasukan polis. 

Babit kepentingan awam 

Dalam penghakimannya, Singham berkata, tuntutan saman itu membabitkan kepentingan awam iaitu kebimbangan masyarakat berikutan tuduhan dilemparkan terhadap pasukan polis apabila berlaku kematian dalam lokap. 

Katanya, kematian dalam lokap jenayah serius dan apabila dilaporkan, polis perlu bertindak dengan memastikan siasatan segera dijalankan agensi siasatan bebas atau dengan mengadakan inkues.

Katanya, mahkamah mendapati ada bukti mencukupi mengenai tuntutan dikemukakan plaintif bahawa anak lelakinya dipukul polis sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang menyebabkan kematian mangsa. 

Dalam kes ini, mahkamah tidak boleh menerima hanya satu insiden berlaku sehingga menyebabkan kecederaan teruk pada si mati kerana keadaan kecederaan menunjukkan apa yang berlaku di antara 15 dan 20 Januari 2009 dilakukan polis yang bertanggungjawab menyoal siasat mangsa. 

Defendan lain tidak boleh mendakwa mereka tidak mengetahui apa yang berlaku kepada si mati sepanjang tempoh penahanannya, sebaliknya hanya meletakkan tanggungjawab kepada Navindran yang sudah didakwa dan disabitkan, seolah-olah hanya ada satu insiden, katanya. 

Singham berkata, skop kerja Navindran mendapatkan maklumat bagi faedah pegawai atasan ketika soal siasat dan mahkamah berpuas hati tindakannya itu dilakukan dalam bidang tugasnya. 

Sehubungan itu, katanya, defendan lain tidak boleh mengelakkan diri daripada menanggung liabiliti dengan menyatakan ia dilakukan atas tindakan defendan kedua sendiri yang melampaui bidang tugasnya.

(Sumber - http://www.bharian.com.my)