Thursday, June 27, 2013

Ibu Kugan Menang Saman Anak Mati Dalam Lokap

Kuala Lumpur: Ibu A Kugan, tahanan polis yang mati di lokap Balai Polis Taipan, Subang Jaya, berjaya dalam saman terhadap Timbalan Ketua Polis Negara dan empat lagi, yang cuai ketika menjaga keselamatan anak lelakinya. 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk V T Singham yang membenarkan tuntutan saman N Indra (plaintif), memerintahkan lima defendan membayar ganti rugi serta kos RM851,700 kepada plaintif, selepas mendapati beliau berjaya membuktikan tuntutannya. 

Indra memfailkan saman itu pada 13 Januari tahun lalu dengan menuntut ganti rugi RM100 juta daripada Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Konstabel V Navindran; Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar; Ketua Polis Negara ketika itu dan Kerajaan Malaysia. 

Zainal Rashid sudah meninggal dunia, manakala Navindran tidak lagi berkhidmat dengan pasukan polis. 

Babit kepentingan awam 

Dalam penghakimannya, Singham berkata, tuntutan saman itu membabitkan kepentingan awam iaitu kebimbangan masyarakat berikutan tuduhan dilemparkan terhadap pasukan polis apabila berlaku kematian dalam lokap. 

Katanya, kematian dalam lokap jenayah serius dan apabila dilaporkan, polis perlu bertindak dengan memastikan siasatan segera dijalankan agensi siasatan bebas atau dengan mengadakan inkues.

Katanya, mahkamah mendapati ada bukti mencukupi mengenai tuntutan dikemukakan plaintif bahawa anak lelakinya dipukul polis sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang menyebabkan kematian mangsa. 

Dalam kes ini, mahkamah tidak boleh menerima hanya satu insiden berlaku sehingga menyebabkan kecederaan teruk pada si mati kerana keadaan kecederaan menunjukkan apa yang berlaku di antara 15 dan 20 Januari 2009 dilakukan polis yang bertanggungjawab menyoal siasat mangsa. 

Defendan lain tidak boleh mendakwa mereka tidak mengetahui apa yang berlaku kepada si mati sepanjang tempoh penahanannya, sebaliknya hanya meletakkan tanggungjawab kepada Navindran yang sudah didakwa dan disabitkan, seolah-olah hanya ada satu insiden, katanya. 

Singham berkata, skop kerja Navindran mendapatkan maklumat bagi faedah pegawai atasan ketika soal siasat dan mahkamah berpuas hati tindakannya itu dilakukan dalam bidang tugasnya. 

Sehubungan itu, katanya, defendan lain tidak boleh mengelakkan diri daripada menanggung liabiliti dengan menyatakan ia dilakukan atas tindakan defendan kedua sendiri yang melampaui bidang tugasnya.

(Sumber - http://www.bharian.com.my)

No comments: