Monday, October 13, 2008

Jadilah Mahasiswa dan Mahasiswi UiTM Yang Mencintai Ilmu Pengetahuan....!

Saudara dan saudari telah berada dilandasan yang betul bila saudara/i mengambil keputusan memohon untuk melanjutkan pelajaran di UiTM suatu masa dahulu, kini, saudara dan saudari telah pun bergelar mahasiswa atau mahasiswi UiTM. Kalian telah berada dalam kancah pergelutan menimba ilmu pengetahuan. Disini, di UiTM anda telah dan akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran, pengetahuan dan latihan disepanjang melalui tempoh pengajaran dan pembelajaran dalam kursus yang anda ikuti. Semua bidang pengajian yang ditawarkan oleh UiTM melalui 24 buah fakultinya adalah fardhu kifayah. UiTM mengharapkan anda boleh dan berupaya menguasai bidang yang anda pelajari dan ceburi, seterusnya menjadi pemimpin yang menerajui bidang pengajian yang anda ikuti atau ceburi.

Objektif utama anda menjadi mahasiswa UiTM adalah untuk menuntut ilmu dan menjadi mahasiswa yang berjaya dalam bidang yang anda ikuti, justeru itu, tanamkanlah dalam diri anda sifat menyintai ilmu pengetahuan. UiTM mahu anda menjadi mahasiswa yang boleh BERFIKIR dan memahami sesuatu yang tersurat dan tersirat disebalik pemahaman sesuatu ilmu, UiTM mendidik anda supaya mampu menganalisa data dan maklumat untuk membuat keputusan yang tepat dan betul, menilai fakta bagi memantapkan hujah dan menghuraikan formula menjadi persamaan-persamaan yang boleh dileraikan, menyepadukan teori dan praktikal menjadi modus operandi. UiTM mahu anda memahami bahawa rahsia disebalik penemuan sesuatu ilmu pengetahuan itu tersembunyi sifat Rahman dan Rahim Allah S.W.T. Justeru itu, jadilah mahasiswa yang menyintai ilmu pengetahuan.

Jadilah Mahasiswa dan Mahasiswi UiTM yang Berakhlak Mulia....!

Semua orang ingin bersahabat dengan orang yang berakhlak mulia, seorang lelaki inginkan seorang wanita yang berakhlak mulia sebagai pasangan hidupnya, seorang mahasiswa atau mahasiswi inginkan pensyarah yang berakhlak mulia sebagai gurunya, seorang ayah inginkan anak yang berakhlak mulia, seorang ibu inginkan anak yang berakhlak mulia, begitulah seterusnya. Rahsia risalah kenabian adalah akhlak. Rasululah diutuskan dimukabumi ini adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak, justeru itu, kesempurnaan akhlak adalah asas kepada pembangunan insan dan modal insan.

Saya ingin menekankan persoalan mengenai akhlak pergaulan lelaki dan perempuan, lelaki dan perempuan dijadikan oleh Tuhan dengan sebaik-baik bentuk, kedua-duanya sama-sama manusia, namun terdapat perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam beberapa aspek. Contohnya dari segi fizikal, mental dan emosi. Lelaki lebih kuat, perempuan pula lebih lemah dan lembut. Kedua-duanya jika digabungkan boleh membina sinergi yang enigertik. Mereka saling lengkap melengkapi. Islam telah menetapkan salur galur dan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, kita diajar untuk menjaga pandangan antara lelaki dan perempuan, kita juga diajar menjaga aurat dan tidak bersentuhan jika bukan muhrim. Inilah prinsip asas yang wajar dipegang dalam etika perhubungan antara mahasiswa dan mahasiswi. Jika prinsip ini tidak dipelihara dikuatiri kita boleh terjebak dalam lembah kemaksiatan yang akan merosakan generasi manusia seterusnya.

Sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar Non-Resident saya selalu menerima aduan daripada Jawatankuasa Perwakilan Penduduk tentang akhlak mahasiswi dan mahasiswa NR UiTM, ada yang memberikan persepsi yang positif dan ada yang sebaliknya. Walaubagaimanapun, berdasarkan pemerhatian saya disekitar Shah Alam semasa menjalankan tugas sebagai PPPNR masih terdapat mahasiswa dan mahasiswi kita yang tidak menjaga adab dalam perhubungan lelaki dan perempuan sebagaimana yang dianjurkan oleh agama. Fenomena ini merisaukan saya kerana ia boleh menyebabkan masalah sosial yang lain seperti pergaulan bebas tanpa sempadan, kerosakan akhlak dan sebagainya berlaku.

Justeru itu, saya menyeru semua mahasiswa dan mahasiswi NR dan bukan NR supaya menjaga adab dalam perhubungan lelaki dan perempuan, jaga pandangan, jaga aurat dan jaga etika perhubungan sebagaimana yang dianjurkan agama.