Wednesday, November 5, 2014

UMNO SELANGOR PERLU BERUBAH - Tun Dr Mahathir Mohamad


Tun Dr Mahathir bin Mohamad

1. Sesungguhnya perubahan yang diperlukan oleh UMNO Selangor ialah pembubaran dan penyusunan semula. Pemimpin-pemimpin UMNO Selangor perlu terima hakikat bahawa mereka kalah dalam PRU 12 dan 13. Mereka perlu undur.
2. Hari ini untuk mendapat calon Menteri Besar di kalangan pemimpin UMNO pun tidak ada. Ini boleh diadakan dengan ramai jika UMNO Selangor sedia menerima ahli baru. Pemimpin UMNO biasanya tidak suka menerima ahli baru yang berbakat kerana takut mereka dicabar dan hilang jawatan atau tidak dapat jadi calon pilihanraya. Oleh itu usaha mereka bukanlah memperkuatkan UMNO tetapi memperkuatkan kedudukan mereka.
3. Penerimaan ahli baru dengan ramai termasuk yang berbakat adalah perubahan yang utama yang perlu dilakukan oleh UMNO Selangor.
4. Ahli baru perlu juga ditapis oleh badan yang terdiri dari veteran UMNO termasuk dan Bahagian lain. Tapisan diperlukan kerana ada makhluk perosak yang ingin peralat UMNO untuk agenda peribadi mereka.
5. Yang kedua ialah tumpuan kepada Gen-Y. Pada PRU 14, 2.5 juta pengundi muda akan mengundi.
6. Gen-Y tidak berminat dengan UMNO. Mereka, terutama yang terpelajar di Barat sudah menerap budaya dan nilai-nilai hidup Barat. Bagi ramai dari mereka penghargaan terhadap parti dan pemerintah yang memberi peluang kepada mereka mendapat pelajaran dan berjaya dalam kehidupan mereka tidak ada.
7. Jika disebut akan jasa parti UMNO kepada mereka, mereka menolak peringatan ini sebagai mengungkit. Lagi pun mereka berpendapat parti mana pun yang menjadi Kerajaan akan membuat perkara yang sama.
8. Pandangan cetek ini disebabkan mereka tidak membuat bandingan antara Kerajaan Malaysia pimpinan UMNO dengan Kerajaan-Kerajaan negara-negara lain. Jika bandingan dibuat oleh mereka, sudah tentu mereka akan lihat bahawa negara-negara yang mencapai kemerdekaan bersama kita tidak pun dapat dimajukan, jauh sekali daripada memberi pelajaran, biasiswa dan bantuan lain supaya rakyat mereka dapat menikmati taraf hidup seperti rakyat Malaysia.
9. UMNO Selangor perlu berusaha menarik pemuda Melayu menyertai UMNO dengan mendekatkan diri dengan mereka yang bukan ahli bahkan yang menentang UMNO. Untuk ini kepimpinan UMNO harus tahu sejarah UMNO dengan mendalam. Pemimpin yang mampu menjelas kedudukan orang Melayu dahulu dan sekarang tidak ramai. Mereka juga perlu diberi kursus.
10. Ketiga, kikis imej UMNO sebagai parti rasuah. Cara hidup pemimpin UMNO perlu lebih sederhana. Mereka perlu rapat dengan rakyat dan bukan sahaja dengan ahli UMNO. Jangan sekali-kali guna kereta mewah bila ke kampung.
11. Sesungguhnya banyak lagi perubahan yang perlu dibuat oleh UMNO Selangor. Tetapi jika yang tiga ini dibuat sokongan rakyat akan lebih kuat.

PPS diisytihar haram, akaun dibeku dan aset dirampas



PPS bukan pertubuhan yang sah kerana ia tidak pernah didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan.
4 NOV : Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram.

Perisytiharan itu dibuat Menteri Dalam Negeri sekaligus akaunnya dibekukan manakala aset dan harta PPS Pulau Pinang juga akan diserahkan dan digulung oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.
Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dalam  kenyataan berkata, deklarasi itu dibuat pada Isnin, 3 November, mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, peruntukan mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] adalah berkaitan kuasa menteri dalam mengisytiharkan sesebuah pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang.
“PPS Pulau Pinang merupakan pertubuhan yang menjalankan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam negara,” katanya.

Berikutan pengisytiharan itu, tiada mana-mana pihak boleh menggunakan semula nama, simbol, lambang atau logo PPS Pulau Pinang sebagai pertubuhan berdasarkan peruntukan Seksyen 7 (3) Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, ia juga menyebabkan tiada sesiapa boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil pasukan itu.

Mereka yang bertanggungjawab menjalankan sebarang aktiviti PPS Pulau Pinang akan disiasat dan boleh didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan mengikut Akta 335, antaranya Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 142 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak memberi kerjasama membantu kerajaan membanteras aktiviti-aktiviti PPS Pulau Pinang yang dianggap bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
Selepas lima tahun penubuhannya, PPS dengan lebih 9 ribu ahli dalam 296 kumpulan yang beroperasi di  40 kawasan diberi peruntukan RM20,000 hingga RM30,000 setiap tahun di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

(Sumber - http://www.bnbbc.my3)