Thursday, October 24, 2019

Harga maksimum rumah mampu milik RM282,000 - BNM

KUALA LUMPUR: Harga rumah mampu milik perlu ditawarkan pada kadar maksimum RM282,000 bagi pendapatan isi rumah berjumlah RM5,228, demikian menurut Buletin Suku Kedua 2018 oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, bank pusat berkata, harga rumah mampu milik sebenar dalam pasaran adalah 11 peratus lebih tinggi iaitu pada harga RM313,000.

Katanya, pemilikan rumah yang menjadi aspirasi dan impian setiap rakyat Malaysia dilihat semakin sukar untuk dicapai berikutan harga rumah terlalu tinggi di kebanyakan bahagian utama dalam negara.

“Situasi ini jelas memperlihatkan rumah kini sukar untuk dimiliki kerana ditawarkan pada kadar yang kurang mampu milik. Pada 2016, rumah di Malaysia secara purata berharga sekitar lima kali median tahunan pendapatan isi rumah menjadikannya lebih serius dan sukar untuk dimiliki.

“Ia adalah berbeza berbanding piawaian mampu milik antarabangsa iaitu tiga kali median tahunan saja,” katanya.

Bank pusat berkata, kemerosotan dalam pemilikan rumah mampu milik itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh ketidakpadanan dalam penawaran dan permintaan serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan.

Dari segi bekalan rumah, katanya pembinaan rumah jatuh secara konsisten berbanding permintaan isi rumah.

“Antara 2014 hingga 2016, secara purata terdapat 114,000 bekalan rumah baharu, yang jauh lebih rendah daripada pembentukan 154,000 isi rumah baharu.

“Kekurangan bekalan rumah mampu milik juga menjadi semakin parah berikutan pelancaran projek rumah segmen berkenaan merosot dan lebih terarah kepada segmen hartanah mewah,” katanya.

Selain itu, BNM berkata, ketidakseimbangan dalam penawaran dan permintaan bersama dengan keutamaan rakyat untuk memiliki rumah berbanding menyewa turut menjadi faktor terhadap tekanan ke atas harga rumah.

Malah, secara dasarnya ia berkata pertumbuhan pendapatan isi rumah turut tidak selari dengan kenaikan harga rumah.

Antara 2007 hingga 2016, harga rumah purata meningkat sebanyak 10 peratus, namun pendapatan hanya berkembang sekitar lapan peratus.

Jurang besar antara pendapatan dan harga rumah menjadi semakin buruk bersama persepsi peningkatan kos sara hidup memandangkan memiliki rumah dianggap sebagai suku perbelanjaan isi rumah.

No comments: