Friday, May 29, 2009

Sifat Rahman dan Rahim ALLAH Melahirkan Rahmat dan Nikmat ILAHI - Petikan daripada Tafsir Al-Azhar (Part A)

(1). Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang (2). Segala Puji-Pujian untuk Allah, Pemelihara semesta alam (3). Yang Mempunyai Hari Pembalasan (4). Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan (5). Tunjuki kami jalan yang lurus (6). Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat atas mereka; bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah dimurkai atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang sesat.

Al-Fatihah artinya ialah pembukaan. Ia juga dinamai Fatihatul Kitab yang bererti pembukaan kitab, surah 7 yang diulang-ulang, dia adalah ibu Al-Quran, minimum 17 kali dibaca semasa pertemuan fardhu antara hamba dan Tuhan sekalian alam dalam satu hari.

Surah ini dimulai dengan (1). Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang Allah memulakan seruan dengan namaNya Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Nama Allah Ar-Rahman mengambarkan sifatNya Yang Maha Pemurah dan PerlakuanNya yang diselaputi kepemurahanNya. Dzat Yang Maha Pemurah kepada semua makhlukNya termasuk kita manusia.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang ertinya, aku mulai perkerjaanku ini, menyiarkan wahyu Ilahi kepada insan, di atas nama Allah itu sendiri, yang memerintahkan daku menyampaikannya, ini adalah contoh teladan yang diberikan kepada kita , supaya memulakan sesuatu pekerjaan penting dengan memulakannya dengan nama Allah.

Laksana yang teradat bagi sesuatu kerajaan bila menurunkan sesuatu perintah, menjadi kuatlah dia jika disampaikan di atas nama pemerintah yang tertinggi, umpamanya Perdana Menteri. Surat arahan yang memakai nama Perdana Menteri bukan sahaja mengandungi arahan tetapi juga pertanggungjawaban dari penerimanya.


Nabi Muhammad S.A.W disuruh menyampaikan wahyu itu kepada manusia dengan menyebut nama Allah. Dia, Rasulullah tidak lebih daripada manusia biasa, tetapi ucapan yang keluar daripada mulutnya bukanlah keluar semena-mena diatas kehendaknya sendiri tetapi Allah lah yang memerintahkan. Dari empunya nama itu, iaitu Allah, Nabi Muhammad mengambil kekuatan didalam menyampaikan wahyuNya.Allah adalah dzat Yang Paling Tinggi, Maha Mulia, Maha Kuasa. Dzat Pencipta seluruh alam, langit dan bumi, bulan dan matahari, dan seluruh yang ada.

Dengan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim iaitu Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Yang kedua sifat nama itu datang dari satu rumpun iaitu RAHMAT, yang bererti murah, kasih, sayang, cinta, santun, perlindungan dan sebagainya. Allah bukanlah Tuhan yang bengis, kejam, haus darah, pendendam dan pembenci. Maka apabila bacaan dimulai dengan menyebut nama Allah, dengan kedua-dua sifatNya Ar-Rahman dan Ar-Rahim, mulailah Nabi Muhammad menentukan perumusan baru yang benar mengenai Tuhan. Sifat utama Tuhan yang diketahui dan dirasai oleh manusia ialah Allah itu, DIA ialah Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

"Segala puji-pujian untuk Allah" (pangkal ayat 2) Hamdan, ertinya pujian, sanjungan. Alhamdu bermaksud mencakupi segala jenis pujian, pujian besar, pujian kecil, ucapan terima kasih, tahniah, atau puja-pujaan. ALHAMDULILLAHI bererti segala puji-pujian hanya untuk ALLAH. Tidak ada yang lain yang berhak mendapat pujian itu.

Meskipun misalnya ada seseorang yang berjasa baik kepada kita, meskipun kita memujinya, namum hakikat puji hanya kepada Allah. Sebab orang itu tidak akan dapat berbuat apa-apa kalau tidak kerana Tuhan Yang Maha Murah dan Penyayang tadi. Kita puji seorang engineer mekanikal kerana ilhamnya membina sebuah kapal terbang berkuasa tinggi yang laju dan hebat, tetapi kalau kita selidiki lebih dalam, dari mana dia mendapat ilham untuk membina kapal terbang tersebut kalau bukan bersumberkan ilham daripada Tuhan. Oleh sebab itu, jika kita dipuji oleh seseorang maka janganlah kita lupa bahawa yang empunya puji itu ialah Allah, bukan kita.

Nabi kitaMuhammad S.A.W. ketika dengan sangat jayanya menakluki negeri Mekah, baginda masuk ke ibu kota itu dengan menunggang untanya yang terkenal, al-Qashwa', sahabat-sahabat baginda gembira dan bersyukur disebabkan impian nabi telah menjadi kenyataan, namun baginda tidak mengangkat muka dengan angkuh kerana kemenangan tersebut, tetapi baginda merundukan wajahnya ke bawah, lekat dekat leher unta kesayangan baginda, mensyukuri nikmat Tuhan dan mengucapkan puji-pujian kepada Allah S.W.T

"Pemelihara semesta alam" ujung ayat 2. Atau Tuhan dari sekelian makhluk, atau Tuhan sarwa sekalian alam. Umumnya erti alam ialah segala yang ada ini selain dari Allah, kalimat 'alamin bererti segala yang ada, termasuk di alam jin,di alam malaikat dan di alam syaitan. Setelah terlebih dahulu kita dikenal kepada Allah yang Tunggal, sekarang kita dikenalkan kepada tuhan yang Rabbun.

Kata Rabbun meliputi segala macam pemeliharaan,penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Allah itu bukan sahaja pencipta tetapi juga pemelihara, bukan sahaja menjadikan tetapi juga mengatur, seumpama matahari, bulan,langit,bumi, bintang dan sebagainya,sesudah semuanya dijadikan, tidaklah dibiarkan begitu sahaja, melainkan dipelihara dan dikuasai terus menerus.

Betapa matahari, bulan, bintang dan bumi beredar begitu teratur dari tahun ke tahun, bulan ke bulan, hari ke hari, jam ke jam, minit ke minit dan detik ke detik, berjalan teratur telah berjuta-juta tahun, kalau bukan pemeliharaan daripada Allah sebagai Rabbun?

Manusia pun begitu, Dia bukan semata-mata dijadikan, bahkan sejak masih dalam nuthfah, sampai ke alaqah dan mudhghah , sampai muncul ke dunia, sampai menjadi manusia yang berakal, dan sampai meninggal kelak, tidaklah lepas daripada tilikan Allah sebagai Pencipta dan Pemelihara. Untuk semua pemeliharaan, penjagaan, pendidikan dan perlindungan itulah kita diajar untuk mengucapkan pujian kepada Nya "Rabbul Alamin".

No comments: