Monday, January 14, 2019

Muhammed dilantik Penasihat Ekonomi PM Oleh Suhaila Shahrul Annuar

PUTRAJAYA: Ketua Sekretariat, Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Dr Muhammed Abdul Khalid dilantik sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 27 Ogos ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Muhammed adalah pakar ekonomi berpengalaman lebih 20 tahun dalam sektor ekonomi dan kewangan serta pernah berkhidmat sebagai Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Ketua Ekonomi di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Penganalisis Kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).

Di samping itu, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Penasihat Teknikal Kanan di Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia dan Majlis Penasihat Kerajaan atau Council of Eminent Persons (CEP).

Beliau juga pernah menjadi perunding untuk Bank Dunia, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) serta Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP).

Muhammed juga adalah Pengarah Urusan dan Ketua Ekonomi di DM Analytics Malaysia dan memegang ijazah kedoktoran (PhD) (magna cum laude) daripada Institut d’études Politiques de Paris, (SciencesPo Paris), Perancis.

Beliau juga memegang ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya dan ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Southern California, Los Angeles.

(Sumber - Berita Harian)

No comments: