Friday, January 4, 2019

Ekonomi Dunia Muram oleh Nik Hasyudeen

Krisis ekonomi dunia yang terakhir ialah dalam tahun 2008. Semenjak itu, bank-bank pusat di Amerika, Eropah dan Jepun menyuntik kecairan ke dalam sistem ekonomi dengan membeli bon-bon swasta. Akibatnya pasaran kewangan kembali cergas dan akhirnya ekonomi sebenar pun bertambah rancak.

Setiap pesta akan berakhir. Semenjak beberapa tahun kebelakangan, proses pembelian bon diterbalikkan. Wang diserap oleh bank-bank pusat. Rezab Amerika mula menaikkan kadar faedah.

Cakap-cakap berkenaan pengucupan 2 ekonomi terbesar dunia, Amerika dan China, mula kedengaran. Ini ditambah dengan peperangan dagangan di antara keduanya yang dimulakan oleh Trump. Mula-mula acah saja, kemudian tarif dinaikkan. Ini menyebabkan barangan bertambah mahal di kedua-dua belah pihak. Pengguna terpaksa bayar harga lebih tinggi. Kuasa beli berkurangan.

Bila ekonomi semakin perlahan, operasi kilang-kilang di China dan Amerika mula sejuk. Ada yang kurangkan aktiviti dan ada yang tutup. Ini akan juga mengurangkan kuasa beli pekerja yang terlibat. Maka, permintaan kepada barangan dan perkhidmatan lain akan terjejas. Apple pun dah kurangkan jangkaan jualan iPhone.

Apa akan terjadi kepada perniagaan di tempat-tempat lain? Mana-mana perniagaan yang terletak di atas rangkaian bekalan Amerika dan China akan terjejas sama. Permintaan berkurangan dan kena ambil tindakan mengurangkan kerugian. Kitaran ini akan berulang-ulang di atas rantaian bekalan masing-masing.

Bukan itu sahaja, bilangan pelancong, terutama dari China akan turun. Jika mereka datang pun mereka berbelanja lebih kurang dari biasa. Banyak perniagaan yang bergantung kepada mereka akan sejuk sama.

Suasana ini akan memaksa pelbagai kerajaan untuk berbelanja lebih bagi menggantikan ekspot. Masalahnya, jika hutang tinggi, ianya akan menjadi kekangan. Jika berbelanja dengan berhutang, penarafan kredit boleh terjejas, kos pembiayaan dan faedah naik, aliran tunai kerajaan akan terjejas kerana kena agihkan lebih dana untuk urus hutang.

Saya kongsikan senario ini supaya kita maklum akan putaran ekonomi dunia. Oleh kerana saiz ekonomi domestik Malaysia tidaklah besar sangat, kita bergantung kepada pasaran luar untuk berkembang. Bila mereka demam, kita pun kena selsema.

Sebab itu PM ke 4 mahukan orang Malaysia beranak banyak-banyak, nak sasarkan sampai 70 juta. Sekarang tak sampai dari separuh angka itu. Kenalah PM ke 7 fikirkan bagaimana nak hadapi suasana ini. Hampir nak sama dengan tahun 1997 kan? Mungkin dia serahkan cabaran ini kepada PM 8?

Selamat beribadah di hari Jumaat.

No comments: