Thursday, February 23, 2012

Kepimpinan Itu Suatu Amanah

Selalu berlaku, golongan yang diberikan Tuhan kelebihan daripada saudaranya sesama manusia, menjadi pemimpin, memegang kuasa dan kekuasaan sesuatu negara, setelah telapak tangannya teguh menggengam kuasanya itu, dia melakukan kezaliman dengan sewenang-wenangnya dimukabumi Allah ini.

Dia menghimpit menindas sesama manusia dan menumpah darah, maka berusahalah golongan yang tertindas tadi melepaskan diri daripada himpitan itu, usaha yang kadang-kadang memakan masa dan tempoh yang lama, berpuluh-puluh tahun, permulaannya penindasan itu diterima dengan hati yang terbuka dan reda, penuh sabar oleh rakyat. Penindasan itu dipandang sebagai suatu takdir atau azab yang tidak dapat dielakkan, diterima penuh reda sebagai qada dan qadar Allah.

Namun kerana penindasan itu berterusan, maka rakyat tidak tertahan lagi, maka timbullah sekumpulan manusia yang berani menyatakan fikirannya, meluahkan segala isi hati nalurinya dan mencela tiap-tiap perbuatan yang tercela dan ketidakadilan, mereka menyeru kepada reformasi atau perubahan yang baru.

Maka sangatlah murka pihak yang berkuasa kepada nya,dia dituduh hendak mengembangkan kekuasaan, gila kuasa, hendak menganggu gugat aturan dan peraturan yang telah lazim, hendak mengubah adat lama pusaka usang.

Bukan sahaja pihak berkuasa amat marah kepada nya, tetapi juga semua golongan yang menyokongnya, dan mereka dituduh sebagai pengacau dan penganggu keamanan.

No comments: