Friday, September 5, 2008

Bahagian A : Pengurusan Kalbu Untuk Meraih Kejayaan Abadi - Belajar Sehingga Ke Akhir Hayat Setiap Masa

3. BELAJAR SEPANJANG HAYAT DAN SETIAP MASA

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَارَكَاتُهُ
Asalamuu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh


Segala pujian bagi Allah S.W.T Pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjumgan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarganya, sahabat-sahabat r.a dan sesiapa yang mengikut mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari kiamat.

Allah S.W.T menjanjikan bahawa orang yang beriman dan berilmu akan diangkat darjatnya beberapa darjat, ilmu adalah jalan menuju kebahagiaan. Semua mahasiswa UiTM yang sedang mengikuti lebih 300 buah kursus yang ditawarkan daripada 24 buah fakulti di UiTM di seluruh negara adalah orang yang sedang menuntut ilmu.

Tindakan saudara dan saudari untuk belajar di UiTM ataupun mana-mana Institusi Pengajian Tinggi yang lain adalah suatu langkah terpuji kerana itu adalah salah satu daripada usaha anda untuk menaikan darjat anda dimata masyarakat, bahkan saudara dan saudari juga perlu bersedia jika saudara dan saudari telah beribadah dengan benar, saudara dan saudari mempunyai akhlak baik dan terpuji, maka, Allah akan mengangkat darjat anda mengikut kacamata Allah kerana itu janji Allah kepada mereka yang menuntut ilmu.

Rakyat Jepun, Amerika dan Eropah dinilai lebih maju jika dibandingkan dengan kita di Malaysia kerana mereka mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, mereka mengetahui banyak hal daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya, rahsia mereka ialah kerana mereka mempunyai hobi suka membaca. Membaca dijadikan aktiviti rutin harian mereka. Berbeza dengan kita di Malaysia ini, membaca belum menjadi budaya hidup kita. Mahasiswa membaca hanya semasa hampir dengan peperiksaan, murid-murid sekolah membaca bila dekat dengan peperiksaan. Kita tidak gemar membaca terutamanya bahan bacaan yang berat-berat, yang menuntut kita untuk berfikir.

Proses pembelajaran dan pengajaran perlu berlaku sepanjang hayat kita. Walaupun kita telah mempunyai Ph.D dan telah menjadi profesor atau profesor madya, kita tetap perlu terus belajar kerana perubahan di persekitaran kita berlaku sepanjang masa, ada perubahan yang berlaku secara mendadak dan ada perubahan yang berlaku secara evolusi. Hanya dengan ilmu sahaja kita boleh menangani perubahan yang berlaku dipersekitaran kita. Semua perkara boleh kita lakukan jika kita mempunyai ilmu. Jadi belajarlah pada setiap hari dan pada setiap masa.

Apabila kita mempunyai ilmu kita seharusnya boleh menggunakan akal kita untuk berfikir, kita belum dinamakan berilmu jika kita tidak boleh berfikir. Maksud berfikir disini ialah kita mempunyai kebolehan untuk menilai dan menganalisa setiap bahan bacaan atau bahan yang diajar kepada kita menjangkau lebih jauh daripada yang tersurat, dapat membezakan yang mana yang hak dan yang mana yang batil, mahasiswa harus mempunyai kebolehan berfikir untuk memberikan kebaikan dirinya sendiri, keluarganya dan masyarakat disekitarnya.

No comments: