Saturday, December 7, 2013

UMNO Berani Lakukan Transformasi – Wakil Mahasiswa

Oleh : Azman Abas

KUALA LUMPUR 6 Dis – Pembahas Mahasiswa Nasional Mohd Afifi Mohd Aris melihat platform yang diberikan golongan itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 merupakan satu tanggungjawab yang besar.

Menurut beliau itu adalah gambaran kepada keberanian UMNO melakukan transformasi terhadap parti dengan mengiktiraf mahasiswa dalam usaha mendapatkan pandangan serta input daripada golongan tersebut.

“Saya kira UMNO hari ini iktiraf mahasiswa. Sebelum ini siapa yang memperjuangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti…dan selepas pindaaan AUKU, UMNO parti pertama yang tampil bersama kami malah memberikan peluang untuk lontarkan idea.

“Kita nampak UMNO mengikut rentak semasa. Ini juga merupakan peluang untuk lahirkan pemimpin pelapis…bukankah mahasiswa juga yang akan mewarisi Pemuda dan Puteri…kalau pada hari ini UMNO dah berani lakukan transformasi ayuh teruskan.

“Jangan toleh ke belakang kerana kami akan sentiasa menyokong perjuangan UMNO,” katanya kepada UMNO-online, di sini, hari ini. Beliau merupakan pembahas usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2013.

Mohd Afifi yang merupakan mahasiswa UiTM Jengka Pahang seterusnya menambah Persidangan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) telah memberikan input yang berguna kepada mereka.

“Sebelum kami lontar idea untuk berbahas, persidangan PEMANAS telah diadakan bagi kumpul idea pelajar luar dan dalam negara bagi mencari perkara yang dekat dengan mahasiswa khususnya orang muda.

“Apa pun saya bersyukur dan bangga setelah terpilih untuk berucap dan diberikan peluang untuk lontarkan apa kehendak kami, keinginan kami, rintihan kami,”

Menerusi ucapannya yang membahaskan ususl ekonomi, beliau menganggap isu penganguran siswazah perlu dilihat secara serius memandangkan limitasi ruang bagi mereka yang keluar selepas tamat pengajian adalah terhad.

“Tindakan kerajaan dalam menangani isu terbabit termasuklah skim siswazah sangkut perlu dibuat dengan lebih serius agar ia tidak menjadi sekadar melepas batuk di tangga,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Badan Bukan kerajaan (GLC) turut memainkan peranan dalam membantu golongan mahasiswa misalnya menempatkan tempat untuk para mahasiswa terbabit membuat latihan industri dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada UMNO yang memberi ruang dan peluang kepada golongan mahasiswa tempatan untuk terlibat secara langsung dalam Perhimpunan Agung UMNO 2013 – MediaUMNO

(Sumber -  http://www.umno-online.my)



No comments: