"Tuan  Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama Akta  Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dibacakan kali yang  kedua sekarang.”
  
 
Tuan Yang  di-Pertua,
Ahli-ahli Yang Berhormat, 1.    Di ambang hari Malaysia 16 September 2011 yang lalu, saya telah  mengumumkan inisiatif Program Transformasi Politik Negara atau PTP yang  melibatkan pembatalan 3 Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan  Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, Penggubalan  Akta Perhimpunan Aman termasuklah pemindaan Akta  Mesin Cetak dan  Penerbitan.
  
  2.    Serentak dengan itu, setelah tujuh bulan berlalu, bukan sekadar semua  komitmen ini sedang dilunaskan, kita juga meminda Akta Universiti dan  Kolej Universiti sebagai mengiktiraf kematangan juga hak perlembagaan  mahasiswa mahupun mahasiswi terlibat dalam politik berparti.
  
  Tuan Yang di-Pertua,
  
  3.    Menghalusi komponen-komponen Dasar Transformasi Nasional, Program  Transformasi Kerajaan atau GTP melalui Program Transformasi Luar Bandar  atau RTP lebih responsif kepada keutamaan massa bagi memastikan  masyarakat luar bandar memiliki kemudahan prasarana asas yang moden dan  mencukupi. Program Transformasi Ekonomi atau ETPbersesekali dengan Model  Baru Ekonomi atau NEM pula bertujuan mencapai matlamat nasional menjadi  sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
  
  4.    Sehubungan itu, sering kita sebutkan, seandai terkedepan dari segi  infrastruktur fizikal atau material semata-mata tanpa kematangan  institusi serta wacana politik nasional, mana mungkin mencerminkan  kemajuan sebenarnya.
  
  5.    Dalam kata lain, kita ingin merealisasikan potensi Malaysia, bukan  setakat menjadi negara demokratik, tetapi lebih daripada itu, untuk  melonjakkan tempatnya pada kedudukan disegani di kalangan komuniti  negara-negara yang menghormati hak asasi manusia. Lantaran itulah,  inisiatif PTP ini bermatlamat bagi memastikan proses pembaharuan dan  perubahan nasional dilaksanakan dengan tuntas.
  
  6.    Sememangnya ini adalah satu proses berterusan dan menuntut komitmen  semua rakyat Malaysia. Ia bukan misi singkat yang mengambil masa sehari,  seminggu, sebulan mahupun setahun, sebaliknya ia memerlukan iltizam  bersifat generasi ke generasi.
  
  Tuan Yang di-Pertua,
  
  7.    Jelas sekali, perubahan dan pembaharuan lanskap politik yang sedang  kita lakukan kini melalui PTP adalah bagi menangani kejayaan  membangunkan negara selama lebih separuh kurun semenjak merdeka. Ia  hasil usaha tidak kunjung jemu oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf  hidup dan sosioekonomi, menyediakan prasarana fizikal moden, membuka  akses kepada prasarana teknologi maklumat serta komunikasi yang  menyeluruh sekaligus pelaburan besar dalam bidang pendidikan.
  
  8.    Melalui pindaan, pemansuhan dan penggubalan undang-undang yang sedang  berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik mencukupi  disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea. Pucuk  pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia di mana prinsip hak asasi  manusia dijunjung, kebebasan individu untuk berhimpun secara aman dan  untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan  individu dan  komuniti diimbangi.
  
  9.    Berdiri di muka gerbang semua ini, segalanya kita mampu gemblengkan  kerana kita yakin dengan kematangan semua, kerana kita yakin dengan  kesediaan rakyat Malaysia, dan mustahaknya kita yakin bahawa ini adalah  perkara yang betul dan wajar untuk dilakukan. Apa yang penting, setiap  hak mahupun kebebasan mestilah bersulam dengan tanggungjawab, dengan  izin, “freedom with responsibility”.
  
  Tuan Yang di-Pertua,
  
  10.  Jika ditinjau, senario antarabangsa sekalipun, peristiwa dan waktu  menunjukkan untuk mencapai tahap demokrasi yang ada seperti hari ini,  Amerika Syarikat dan United Kingdom mengambil tempoh berabad lamanya  melalui proses perlembagaan, perang saudara, perundangan malah usaha  tanpa henti oleh masyarakat sivilnya.
  
  11.  Lain halnya, kita bersyukur kepada Tuhan bahawa usaha evolusi demokrasi  negara ini tidak melibatkan pertumpahan darah bahkan ia berkait rapat  dengan evolusi sosioekonomi. Seperti diimbas lebih lima dekad  yang  lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaya pada ketika itu, Allahyarham Tun  Abdul Razak, dalam dewan yang mulia ini juga telah membentangkan rang  undang-undang Keselamatan Dalam Negeri 1960 bagi menyediakan negara   dengan perkakasan perundangan yang perlu  bagi mempertahankan sistem  Raja Berperlembagaan,  Demokrasi Berparlimen, keluhuran Perlembagaan  serta kedaulatan undang-undang pasca tamatnya era darurat.
  
  12.  Jadinya, hari ini amat bersejarah dalam menyisir  susur galur   demokrasi Malaysia. Pentadbiran kini yang sentiasa prihatin merasai  denyut nadi rakyat, yang sentiasa mendengar keluh kesah mereka, dan  sentiasa mendakap aspirasi massa telah mengambil keputusan untuk  memansuhkan ISA. Kita hakikatnya telah memasuki era demokrasi yang lebih  matang di mana peranan kerajaan berubah daripada menjadi penentu dan  pengukur tahap kematangan rakyat kepada pelindung agar mereka dapat  menikmati hak-hak asasi  yang sepatutnya.
  
  Tuan Yang di-Pertua,
  
  13.  Tidak ada sesiapa pun mampu menafikan bahawa selama lebih setengah abad  kewujudannya, ISA berperanan bagi melindungi  cara hidup demokratik di  negara tercinta ini. Ironisnya, undang-undang yang dianggap “draconian”  ini telah memastikan demokrasi, hak asasi manusia dan “humandignity”  dilindungi di Malaysia berbanding alternatif lain jika negara ditadbir  oleh sistem kediktatoran komunis. 
  
  14.  Namun, masa telah beralih dan peranan ISA telah tiba ke penghujungnya.   Kerajaan menyedari hakikat ini dan komited bagi memacu Malaysia ke arah  masa depan yang lebih progresif.     
  
  15.  Hari ini sudah lebih dua dekad pemberontakan bersenjata Parti Komunis  Malaya  dan Parti Komunis Kalimantan Utara berakhir. Ideologi komunisme  sudah tidak lagi mendapat tempat sebagai asas pemerintahan negara-negara  di dunia. Namun, berakhirnya ancaman ideologi ini tidaklah membawa era  keamanan global yang diharapkan sebaliknya ia menyaksikan ancaman  komunisme diganti oleh ancaman keganasan  antarabangsa yang berteraskan  ideologi ekstrimisme.
  
  16.  Kedua-dua ideologi ini walaupun berbeza, namun mempunyai titik  persamaan matlamat, iaitu kedua-duanya mahu  merubah corak pemerintahan  negara yang berteraskan Demokrasi Berparlimen  dengan menggunakan  keganasan  dan cara-cara tidak berperlembagaan. Soalnya, matlamat ini  sama sekali tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia yang cintakan  keamanan dan kemajmukan.
  
  17.  Oleh yang demikian, menangani cabaran anti demokratik pasca komunisme  yang lebih kompleks dan canggih, negara bukan sahaja memerlukan perisai  iaitu kematangan politik rakyat tetapi juga pedang di dalam bentuk Rang  Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012. Rang undang-undang ini  mewujudkan  langkah-langkah khas diperlukan untuk menangani kes-kes  keselamatan seperti yang terkandung dalam Bab Enam Kanun Keseksaan.
  
  18.  Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012 digubal di bawah  lembayung  Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Keluwesan diberi kepada  kerajaan untuk menggubal  perundangan yang tidak selaras dengan  Perkara-Perkara  5 dalam hal kebebasan diri, Perkara 9 berkaitan  larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, Perkara 10 berhubung  kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan serta  Perkara 13 tentang  Hak terhadap harta.
  
  19.  Hendaklah diketahui bahawa, meskipun Rang Undang-Undang ini akan  memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Rang Undang-Undang ini  tidak akan menjejaskan penahanan orang yang sedang ditahan kecuali  perintah itu dibatalkan oleh Menteri Dalam Negeri.
  
  20.  Di bawah pindaan undang-undang ini, aktiviti “menjejaskan demokrasi  berparlimen” ditafsir sebagai suatu aktiviti yang dilakukan oleh seorang  atau kumpulan orang dengan tujuan untuk menggulingkan atau melemahkan  demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas dan tidak berlandaskan  Perlembagaan.
  
  21.  Secara mudahnya jika ada mana-mana rakyat Malaysia sama ada individu,  kumpulan atau parti politik berhajat merubah teras asas pemerintahan  negara iaitu Demokrasi Berparlimen kepada misalnya pemerintahan yang  bersifat teokratik, mereka haruslah menggunakan cara-cara yang  diabsahkan oleh Perlembagaan Persekutuan yakni melalui peti undi untuk  mendapat sokongan majoriti rakyat. Ini bersesuaian dengan prinsip bahawa  rupa bentuk Kerajaan hanya boleh ditentukan oleh rakyat itu sendiri.
  
  Tuan Yang di-Pertua,
  
  22.  Menyedari bahawa rang undang-undang ini digubal di bawah Perkara 149  dan ia membenarkan penahanan individu oleh pihak polis untuk tujuan  siasatan yang  luar dari norma kebiasaan tatacara jenayah dan  undang-undang keterangan yang lazim, maka, kerajaan telah mengambil  keputusan mengadakan beberapa lindung jamin atau “safeguards” seperti  berikut;
  
  23.  Pertama  melalui peruntukan Seksyen 4 Sub-Seksyen 3, “tiada seorang pun  boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas  kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya”. Ini membawa maksud  perlindungan kepada penglibatan dalam aktiviti yang sah di sisi  undang-undang melalui :-
  
  (a)       pernyataan pendapat atau   pengambilan tindakan yang dibuat  menurut rukun suatu parti politik yang pada masa yang berkaitan itu  berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] yang terbukti  melalui-
  
  (i)          keanggotaan atau  sumbangan kepada parti itu; atau
  
  (ii)        penyertaan terbuka dan aktif dalam hal ehwal parti itu;
  
              (b)       pernyataan pendapat yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau
  
               (c)      pengambilan tindakan yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan.
  
  24.  Kedua, pemansuhan kuasa Menteri Dalam Negeri  untuk menahan tanpa  perbicaraan mana-mana individu. Fasal 4 rang undang-undang baru ini  menyentuh tentang kuasa penangkapan dan penahanan. Di bawah fasal ini,  polis mempunyai kuasa khas untuk menangkap dan menahan mana-mana orang  yang polis mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang itu terlibat  dengan kesalahan keselamatan.
  
  25.  Perlu ditekankan disini bahawa, kuasa penangkapan dan penahanan ini  adalah untuk tujuan penyiasatan semata-mata. Orang yang ditangkap dan  ditahan di bawah fasal ini boleh ditahan untuk tempoh 24 jam bagi maksud  penyiasatan. Walau bagaimanapun, polis boleh melanjutkan tempoh tahanan  tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.
  
  26.  Selanjutnya, jika polis berpandangan bahawa, penahanan lanjut tidak  diperlukan selepas 24 jam atau pada bila-bila masa selepas itu, maka,  orang itu boleh dilepaskan tetapi boleh dipasang dengan peranti  pengawasan bagi maksud penyiasatan bagi suatu tempoh masa yang  tidak  melebihi baki tempoh tahanan yang dibenarkan.
  
  27.  Mereka yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di  mahkamah dan boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan.  Ringkasnya, kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada  Mahkamah bukan seperti peruntukan dalam ISA yang menghalang kuasa  semakan kehakiman kecuali dalam tatacara tahanan. Berkaitan itu, ingin  ditegaskan bahawa kerajaan dan pihak berkuasa akan menghormati apapun  keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Dalam erti kata lain, seseorang  yang telah dilepaskan, tidak akan ditahan semula, atas siasatan  kesalahan yang sama.
  
  28.  Ketiga, ialah “sunsetclause” bagi tempoh tahanan 28 hari hendaklah  disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa  melainkan, jika, apabila semakan dibuat, suatu ketetapan diluluskan oleh  kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa  peruntukan itu.
  
  Tuan Yang di-Pertua,
  
  29.  Lindung jamin keempat ialah Fasal 5 memperuntukkan bahawa apabila  seseorang ditangkap dan ditahan di bawah fasal 4, polis yang menjalankan  penyiasatan hendaklah memberitahu waris kadim atau “next-of-kin” orang  yang ditangkap dan ditahan itu  sesegera mungkin mengenai penangkapan  dan penahanannya. Pihak polis juga hendaklah memenuhi hak mengguami  atau, dengan izin, “right to attorney”, si ditahan tidak lewat daripada  48 jam.
  
  30.  Lindung jamin kelima, dalam jangka masa yang tidak lebih daripada  tamatnya tempoh tahanan, pegawai polis yang menjalankan siasatan itu  perlu menghantar Kertas Siasatan kepada pendakwaraya di mana beliau  hendaklah membuat keputusan sama ada mendakwa tertuduh di mahkamah atau  membebaskannya. Ini bererti, tidak akan ada tahanan selepas tempoh 28  hari.
  
  31.  Lindung jamin keenam ialah apabila Akta ini berkuat kuasa, Kerajaan  juga akan menubuhkan suatu Jawatankuasa secara pentadbiran untuk  menyemak keseluruhan Akta ini dari masa ke semasa dan Jawatankuasa ini  akan juga bertanggungjawab untuk meneliti pelaksanaan Akta tersebut dan  mengemukakan syor untuk penambahbaikan. Jawatankuasa ini akan dianggotai  bukan sahaja oleh agensi yang berkenaan tetapi juga Presiden Majlis  Peguam dan SUHAKAM.
  
  32.  Lindung jamin terakhir dan terbesar adalah kuasa dan kehendak rakyat.  Kita harus maklum bahawa, di tangan rakyatlah kuasa setiap lima tahun  untuk mengamanahkan parti atau gabungan parti mana yang hendak diberi  kuasa sebagai kerajaan. Itulah teras asas sistem demokrasi berparlimen.
  
  
  Tuan Yang di-Pertua,
  
  33.  Bahagian V rang undang-undang ini pula memperkatakan  perbicaraan kes  kesalahan keselamatan. Di bawah Bahagian ini terdapat 2 fasal iaitu  fasal 12 yang memperuntukkan bahawa kes yang melibatkan kesalahan  keselamatan akan dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi. Dengan mengambil kira  keseriusan kesalahan keselamatan, adalah dicadangkan supaya mahkamah  khas diwujudkan secara pentadbiran untuk mendengar kes-kes keselamatan  di bawah Rang Undang-Undang ini. Para Hakim yang berpengalaman akan  diberi pendedahan kepada semua bentuk kesalahan keselamatan dan  peruntukan undang-undang yang akan digunakan.
  
  Tuan Yang di-Pertua,
  
  34.  Pembentangan rang–rang undang kesalahan keselamatan 2012 ini, tidak  bermakna berakhirnya usaha yang telah dimulakan tujuh bulan lalu.  Pastinya, kerajaan akan meneruskan usaha perubahan dan pembaharuan  politik yang mulia ini. Untuk itu, suka saya mengumumkan bahawa kerajaan  akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Hasutan tanpa  mengenepikan apa-apa opsyen.
  
  35.  Paling utama, tiga prinsip perlu kekal dalam sebarang evolusi kerangka  perundangan baru ini adalah untuk menangani perbuatan dan perlakuan  berikut yang :-
  
  i)  mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan  tidak setia terhadap Yang di-PertuanAgong atau mana-mana Raja;
  
  ii) mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; atau
  
  iii)  mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan,  kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh  peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153  dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
  
  Tuan Yang di-Pertua,
  
  36.  Kerajaan juga akan menggubal rang undang-undang baru bagi menggantikan  Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Rang undang-undang baru ini akan  mengekalkan janji kerajaan untuk menghapuskan keperluan pembaharuan  tahunan lesen penerbitan serta menubuhkan Majlis Media yang akan  melaksanakan kawal-selia kendiri industri, atau denganizin, “self  regulatory”.
  
  37.  Sememangnya lagi, kita tidak takut dan gentar bagi bersaing dalam  gelanggang demokrasi, kita tidak takut berbanding  idea serta dasar  dengan sesiapa pun. Kerajaan bersikap terbuka kerana kita percaya era  kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir, dan kita akur bahawa  era kerajaan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah melabuhkan  tirainya.
  
  38.  Dari yang demikian, kita percaya kita telah melakukan yang terbaik demi  rakyat Malaysia. Kita akan terus melaksanakan yang terulung untuk  rakyat Malaysia. Memang ternyata, kerja kita masih belum selesai. Kita  perlu berikhtiar dengan lebih keras bagi memastikan anak-anak Malaysia  hidup dalam sebuah negara yang aman sejahtera, makmur lagi bebas  daripada ketakutan, kegundahan dan kebimbangan.
  
  39.  Pokoknya, kita sedang mencipta sebuah negara di mana keluhuran  perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi payung kepada setiap  individu, agar bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong,  berbeza pandangan, bersiasah, mahu pun menganggotai apa-apa pertubuhan.  Pendek kata, tidak ada sesiapa akan dihukum hanya-sanya kerana  menjalankan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta  undang-undang negara.
  
  40.  Akhirkalam, kita idam-idamkan sebuah Malaysia yang terbaik untuk  warganya sebagai tanah tumpah darah mereka. Demi itu, Kerajaan Barisan  Nasional akan tetap berdiriteguh, sesekali tidak akan berundur, bahkan  berkobar-kobar meneruskan proses tajdid dan islah nasional, menyongsong  nahdhoh keemasan demokrasi Malaysia. InsyaAllah.