Tuesday, April 24, 2012

Semalaman Bersama Dato' Dr Abdul Razak Kechik Di Surau Pos Raya, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Perak.

Saya selalu mendengar nama Dato' Dr. Abdul Razak Kechik, President MRA tapi saya belum pernah menemui beliau secara bersemuka. Pada 23 April 2012 (semalam) saya berkesempatan bersama beliau kerana beliau bermalam di Surau Pos Raya, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Perak kerana beliau  akan merasmikan majlis penutup program bersama orang asli yang kami sama-sama anjurkan pada esok hari. Beliau sampai ke S.K. Pos Raya sekitar jam 12.15 malam. Difahamkan beliau menaiki bas dari Kuala Lumpur dan turun di Simpang Pulai, setibanya di Simpang Pulai beliau dijemput dan diambil oleh Hj. Hani Yang Kassim, Timbalan President 2, MRA Perak. 

Dato' Dr. Abdul Razak Kechik mengambil keputusan untuk bermalam bersama kami di Surau Pos Raya secara kebetulan kami baru balik dari program "Malam Kebudayaan Bersama Orang Asli" di balai rakyat kampung Orang Asli di Pos Slim. Program tersebut mendapat sambutan hangat seluruh kampung, dari anak-anak kecil, remaja, dewasa dan orang tua. Lebih 150 orang memenuhi ruang luar dan dalam balai rakyat Pos Slim. Bagi kami sambutan hangat yang diberikan oleh penduduk orang asli menunjukan penerimaan mereka menerima kehadiran kami walaupun pada peringkat awal saya sangat kuatir kami tidak diterima oleh mereka. Maklumlah untuk pengetahuan, hampir 98% penduduk Orang Asli di Pos Slim adalah beragama kristian.

Sebaik sahaja beliau memasuki ruang surau saya mengumumkan kepada semua mahasiswi peserta OPKIM tentang ketibaan VIP program OPKIM bersama orang asli yang kami anjurkan. Saya menjemput Dato' Dr. Abdul Razak berucap dan berkongsi pengalaman dengan kami pengalaman beliau terlibat dalam kerja-kerja amal dan sukarela di dalam dan luar negeri. Sambil bersila dan dikelilingi para mahasiswi peserta OPKIM beliau memperkenalkan diri beliau dan berkongsi pengalaman dengan kami. Beliau menyeru mahasiswa supaya terlibat dengan kerja-kerja sukarela dan dakwah supaya hidup kita lebih bermakna terutamanya berbakti kepada anak yatim, orang miskin dan orang yang memerlukan pertolongan termasuk kepada orang bukan islam.

Selepas sesi perkongsian pengalaman, kami menjamu beliau dengan nasi yang kami tanak sendiri (nasi tersebut agak lembik) dan kari yang kami masak tengah hari tadi (tapi telah dipanaskan pada petang hari), sambil berbual-bual tentang pelbagai hal luar dan dalam negara. Pingan yang digunakan oleh beliau untuk menjamu makanan kami lincin bersih Tiada sebiji nasi pun tertinggal didalam pinggang tersebut. Perbualan kami berhenti sekitar jam 2.30 pagi. Beliau hanya tidur beralaskan lantai surau yang keras dilapik dengan karpet nipis. Hati saya berkata, demikianlah betapanya zuhud Dato' Dr. Abdul Razak Kechik.

No comments: