Monday, August 2, 2010

Inisiatif VOGUE cegah gejala sosial: Rosnah

SHAH ALAM – Program Voluntary Group for Everyone (Vogue) anjuran Pergerakan Puteri UMNO dilihat dapat menghindari remaja wanita daripada terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti kes pembuangan bayi.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rasyid Shirlin berkata, usaha Puteri melancarkan VOGUE adalah menepis dakwaan masyarakat mengatakan golongan muda terutama anak-anak gadis tidak berminat dengan kerja-kerja sukarela.

“Program VOGUE ini dapat mendekatkan golongan muda supaya sama-sama menyertai aktiviti berfaedah, segar dan terkini yang mampu menarik minat golongan ini menyertainya sekaligus dapat menghindarkan mereka dari gejala sosial.

“Bukan mudah menarik minat golongan muda untuk menyertai aktiviti sukarelawan kerana pengaruh rakan sebaya, tarikan dunia hiburan dan kesibukan dalam kerjaya menjauhkan mereka dari cenderung untuk membuat kerja-kerja amal,” katanya dalam Majlis Pelancaran Vogue Sukarelawan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, semalam.

Rosnah berkata, Vogue dijangka dapat memberi satu tarikan kepada orang ramai bukan sahaja bentuk dan aktivitinya malah mewujudkan rasa teruja, seronok dan terkini untuk melibatkan diri secara langsung melalui pengajaran, kemahiran dan kenegaraan.

Konsep Vogue yang digerakkan dan disertai oleh golongan muda kepada orang muda diharap dapat menghindarkan mereka dari gejala yang tidak bermoral.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau yakin inisiatif Puteri UMNO menggerakkan kerja amal menerusi skuad sukarelawannya tidak akan mengambil masa lama untuk mengubah persepsi rakyat terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN).

(Source : Sinar Harian)

1 comment:

azzakwan said...

bagaimana dgn Kempen Anda Bijak Jauhi Zina? sy memberi cadangan perlaksanaan kempen ini di ipt sy mengaji namun amat terkilan apabila ada pihak di ipt menganggap kempen ini merupakan taktik parti pembangkang padahal ianya anjuran Raudathus Sakinah rumah yg menempatkan gadis-gadis yg hamil anak luar nikah.