Monday, February 22, 2010

UiTM berikrar penuhi hasrat PM

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) berikrar memastikan hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan institusi berkenaan menyediakan 5,000 tempat untuk pelajar miskin dan anak yatim setiap tahun menjadi kenyataan.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, ia penting kerana idea Perdana Menteri itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib para pelajar miskin dan anak yatim.

"Melalui program ini kita dapat memberi peluang kepada anak-anak kaum bumiputera yang miskin untuk mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta berjaya dalam hidup mereka kelak," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri mencadangkan perkara tersebut semasa merasmikan Kampus UiTM Puncak Alam Fasa Satu di Shah Alam, semalam.

Menurut Najib, jika ia dapat dilakukan, 20,000 pelajar miskin terdiri daripada anak pekebun, anak yatim, nelayan dan anak kakitangan pembantu am rendah akan berpeluang belajar di IPTA.

Ketika ditanya apakah tindakan susulan UiTM, Sahol berkata, pihaknya akan mengadakan kempen di setiap negeri bagi mengenal pasti dan mencari calon yang bebar-benar layak.

"Kita sendiri akan mencari mereka (pelajar miskin) di seluruh pelosok negeri, manakala soal pengambilan dan penempatan di UiTM, kita tidak ada masalah," katanya.

Jelas beliau, jumlah pelajar yang dicadangkan oleh Perdana Menteri tersebut amat relevan dan tidak mendatangkan sebarang masalah terhadap UiTM untuk memenuhinya.

Tambah Sahol, UiTM sememangnya dalam usaha untuk meningkatkan pengambilan para pelajarnya daripada 130,000 sekarang kepada 200,000 pada tahun 2015.

"Kita mempunyai kakitangan yang cukup untuk kempen itu dan akan memastikan hanya yang benar-benar layak akan dipilih," katanya.

Katanya, kebanyakan pelajar miskin ini amat berpotensi jika diberikan peluang yang betul.

"Jika ada yang tidak cukup syarat kemasukan kita akan ambil juga tetapi akan diletakkan dalam program Kursus Peralihan selama enam bulan agar mereka berupaya meningkatkan syarat yang dikehendaki.

"Kita juga akan menumpukan kepada pelajar miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir ke dalam lulusan diploma dan setanding dengannya," katanya.

Menurut beliau, UiTM akan memberikan tumpuan secara individu terhadap setiap kes pelajar ini untuk memastikan mereka tidak tercicir.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang berkemampuan agar tidak mengambil kesempatan itu untuk 'menangguk di air yang keruh'.

"Kita ada cara dan sistem untuk mengenalpasti pelajar yang benar-benar miskin, tolong bagi peluang kepada golongan miskin untuk belajar tinggi seterusnya mengubah nasib keluarga mereka," katanya.

Utusan Malaysia Online - Kampus

No comments: