Wednesday, September 11, 2019

Sejarah Ringkas DAP

Pada tahun 1965, sekumpulan rakyat Malaysia yang berpegang kepada prinsip "Malaysian Malaysia" - hak dan peluang saksama untuk setiap warganegara tanpa mengira kaum dan agama - telah duduk berbincang untuk menubuhkan sebuah parti politik. Mereka berpegang kepada prinsip dan ideologi sosialisme demokratik bagi membezakan perjuangan daripada parti-parti yang ada pada masa itu yang begitu eksterim di pihak kiri dan kanan.

Bagi kumpulan ini yang mana pengerusi penajanya adalah Dr Chen Man Hin, mereka tidak mahu dikaitkan dengan ideologi dan politik komunis yang dianggap terlalu ekstrim dan pada masa yang sama mereka juga menolak politik kaum yang diamalkan oleh UMNO dan Perikatan. Setelah berbincang, mereka mengemukakan permohonan untuk menubuhkan sebuah parti yang bemama Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diajukan kepada Pendaftar Pertubuhan pada 10 Oktober 1965.

Mereka terpaksa menunggu selama enam bulan sebelum permohonan diluluskan untuk menubuhkan DAP secara rasmi pada 18 Mac 1966. Tetapi proses menunggu itu tidak disia-siakan begitu sahaja. Apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang di Negeri Sembilan yang dimenangi oleh Perikatan dalam pilihan raya umum (PRU) 1964 dikosongkan, Dr Chen bertanding sebagai calon bebas pada 11 Disember 1965. Beliau mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya kecil (PRK) itu dengan memperolehi 3,576 undi iaitu majoriti 1,538 undi dalam pertandingan tiga penjuru di mana Perikatan mendapat 2,038 dan Front Sosialis 1,231 undi. Ini bererti kejayaan pertama DAP sebelum diluluskan pendaftaran adalah merampas kerusi milik Perikatan. 

Walau pun ia adalah menerusi pertama dimenangi dalam satu PRK, DAP sebenamya sudah mempunyai satu kerusi Parlimen yang dimenangi oleh C.V. Devan Nair yang bertanding atas lambang Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berpusat di Singapura dalam PRU 1964 sewaktu Singapura masih bersama Malaysia. Nair yang memilih untuk menetap di Kuala Lumpur selepas Singapura disingkirkan dari Malaysia telah dipilih sebagai Setiausaha Agung DAP dengan kerusi Parlimen Bangsar, Kuala Lumpur apabila parti diluluskan pendaftaran pada 18 Mac 1966. 

Antara matlamat perjuangan DAP yang digariskan atas landasan Malaysian Malaysia adalah:

1. Berjuang menerusi cara-cara berperlembagaan dalam menubuhkan satu masyarakat bercorak sosialisme demokratik di Malaysia;

2. Memajukan dan melindungi kekuatan dan kemerdekaan negara Malaysia;

3. Memelihara negara Malaysia yang demokratik berasaskan hak mengundi dewasa sejagat rakyat Malaysia;

4. Menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi dan peluang dalam sistem sedia ada; menubuhkan satu susunan ekonomi yang memberikan peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat dan pulangan ekonomi setimpal dengan usaha dan kemahiran mereka; memastikan kehidupan yang memuaskan dan keselamatan sosial kepada golongan tua dan kurang upaya; dan

5. Menyemai semangat perpaduan negara, beramanah dan berdikari di kalangan rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka dengan perasaan untuk berikhtiar dalam mewujudkan satu masyarakat yang makmur, stabil dan saksama.


No comments: