Thursday, December 4, 2014

BEBERAPA CATATAN TENTANG NORWAY: APA PENGAJARANNYA? oleh Dr Mohammad Agus Yusoff

Dr Mohammad Agus Yusoff
Norway hanya mempunyai 5.1 juta penduduk, tetapi banyak pencapaiannya adalah bertaraf dunia. Antaranya ialah negara terkaya di dunia, negara paling aman di dunia, negara paling selesa dan selamat, dan negara yang paling menjaga kebajikan rakyatnya.

Bukan hanya itu. Norway juga adalah negara yang pendidikannya percuma hingga ke peringkat universiti, negara yang memberi cuti selama 46 minggu bergaji penuh kepada ibu yang bersalin, negara yang mengharamkan anak-anak dipukul, dan negara yang melarang kedai makanan dibuka pada hari Ahad supaya keluarga dapat makan bersama di rumah.

Norway juga adalah negara bermulanya sukan ski, sesuai dengan cuacanya yang sejuk, hanya cerah selama 4 jam sahaja pada musim dingin.

Norway juga mempunyai kadar kemalangan jalan raya yang paling rendah di bumi. Ini berlaku kerana kesalahan trafik dihukum keras dengan sebulan penjara atau dihukum dengan denda 10 peratus gaji tahunan pesalah dan lesen memandu digantung.

Satu lagi hebatnya Norway ini ialah negara ini menganugerahkan Hadiah Nobel Keamanan yang cukup berprestij kepada tokoh yang menyumbang kepada keamanan dunia. Anugerah ini diberikan pada setiap 10 Disember sejak tahun 1901 lagi. Foto yang saya ambil ini adalah di Oslo City Hall, tempat anugerah itu dinobatkan kepada tokoh yang layak.

Walaupun hebat, Norway juga mempunyai kekurangan. Antaranya ialah negara paling tinggi kos hidupnya, negara yang paling mahal barangannya, negara yang paling tinggi cukainya, dan negara yang paling mahal minyaknya, biarpun Norway adalah negara pengeluar minyak.

Bagaimana Kita?

Norway pada musim sejuk menerima matahari empat jam sahaja, tetapi boleh maju. Mengapa negara kita yang cerahnya 12 jam sepanjang tahun tidak boleh maju?

Minyak dan gas menyumbang 35% kepada pendapatan Norway seperti mana juga negara kita, tetapi mengapa Norway boleh maju dan tidak kita?

Norway negara pengeluar minyak, tetapi harga minyaknya adalah termahal di dunia. Mengapa rakyat Norway boleh menerima harga ini, tetapi tidak rakyat kita?

Norway mempunyai cukai yang tinggi dengan cukai GSTnya sahaja 25 peratus, tetapi rakyat boleh menerimanya. Bagaimana pula rakyat kita?

Aduh!

(Sumber - https://www.facebook.com/mohammadagus.yusoff)

No comments: