Friday, November 21, 2014

13 pelajar UiTM sesat di Gunung Datuk

Foto Sitie Nurhajatulzeimah Mohd Noor


REMBAU: Seramai 13 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban, sesat ketika menuruni Gunung Datuk di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, berkata mereka, termasuk enam pelajar perempuan, mendaki gunung itu pada jam 7.30 pagi, tanpa melaporkan kepada renjer Jabatan Perhutanan.
Katanya, mereka dipercayai tidak mengikut laluan sepatutnya ketika menuruni gunung itu pada jam 11.30 pagi dan menghubungi renjer berkenaan pada jam 2 petang selepas gagal menemui laluan sebenar.
"Renjer berkenaan kemudian memaklumkan kepada polis mengenai kejadian itu pada jam 3.30 petang. Selepas berhubung dari semasa ke semasa dengan mereka menggunakan telefon bimbit, lokasi mereka berjaya dikenal pasti pada jam 6.40 petang, iaitu di laluan ke Gunung Gagak," katanya.
Ibrahim berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang disertai oleh 50 orang, termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung, ditubuhkan untuk mengesan pelajar berkenaan.
Katanya, pelajar berkenaan yang berumur antara 20 hingga 23 tahun berada dalam keadaan selamat dan usaha sedang dilakukan untuk pergi ke lokasi mereka.
Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ridwan Abd Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.13 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 5.39 petang.
Katanya, operasi mendaki dimulakan pada jam 6.40 petang dan percaya pelajar berkenaan akan dapat dijumpai.

No comments: