Tuesday, October 21, 2014

Kenyataan Media Menteri Belia & Sukan Berkenaan Ujian Doping Seorang Atlet Malaysia

Saya boleh sahkan laporan dalam berita bahawa seorang atlet kebangsaan telah gagal ujian doping di satu kejohanan antarabangsa.

Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) telah dimaklumkan tentang perkara ini dalam surat daripada persekutuan antarabangsa sukan berkenaan bertarikh 1 Oktober. Persatuan kebangsaan sukan berkenaan dan juga atlet terbabit juga dimaklumkan melalui surat pada hari yang sama.

Mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), atlet yang gagal ujian doping diberi peluang untuk sampel kedua dikenali sebagai B sampel diuji. Dalam kes ini atlet terbabit telah diberi hingga 17 Oktober untuk memohon ujian B sampel. Beliau telah melakukan permohonan tersebut dan sedang menunggu maklum balas daripada persekutuan sukan antarabangsa berkenaan tentang tarikh ujian B sampel.

Sejak saya diberi tahu tentang keputusan ujian tersebut, saya telah minta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dato' Dr Ramlan Abd Aziz, dibantu oleh Ketua Unit ADAMAS, Nishel Kumar, untuk melaksanakan siasatan rapi berkenaan dengan segala rawatan dan perubatan yang diberi kepada atlet terbabit. Ini dilakukan untuk membantu kita mendapat penjelesan lebih lanjut tentang keputusan ujian tersebut.

Buat masa ini kita masih menunggu tarikh untuk ujian B sampel. Sebarang tindakan dan kenyataan selanjutnya akan dibuat berpandukan keputusan ujian B sampel.

Khairy Jamaluddin
Menteri Belia dan Sukan
Malaysia.

21 Oktober, 2014

No comments: