Monday, June 23, 2014

MUTAKHIR Badlisham mula tugas hari ini sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airports

SEPANG: Datuk Badlisham Ghazali memulakan tugas sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini. 

Mengikut MAHB, Badlisham adalah calon tepat untuk menerajui syarikat itu selepas mencatat rekod cemerlang menyuburkan inovasi di Multimedia Development Corporation (MdeC) hingga meningkatkan pelaburan ke MSC Malaysia kepada sejumlah RM35 bilion. 

Industri penerbangan sentiasa berada dalam persekitaran yang berubah berikutan perubahan minat warga dunia kepada gaya hidup baru serta arah aliran teknologi yang menyebabkan sektor perniagaan perlu tampil dengan model perniagaan baru yang lebih inovatif untuk bergerak seiring perubahan itu. 

“MAHB yang berusaha menjadi pemain utama global dalam pembangunan bandar raya lapangan terbang, memerlukan pemimpin yang mampu memacu syarikat dalam persekitaran yang bersandar inovasi berterusan,” kata MAHB dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), MAHB menarik minat pelbagai pihak. Bukan hanya perlu berurusan dengan pemegang kepentingan seperti syarikat penerbangan, kerajaan, pelabur dan pemegang saham tetapi turut mendapat perhatian orang ramai yang memantau isu berkaitan yang dianggap sebagai isu nasional. 

Justeru, pengalaman Badlisham dalam persekitaran sama sebelum ini akan banyak membantu beliau memacu MAHB. 

MAHB mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia, merangkumi lima lapangan terbang antarabangsa, 16 domestik dan 18 lapangan terbang kecil. Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), lapangan terbang utama kendalian MAHB sudah tiga kali dipilih sebagai Lapangan Terbang terbaik (15-25 juta penumpang setahun. 

No comments: