Monday, July 15, 2013

Malaysia Adalah Sebuah Negara Sekular Liberalisme

Definisi Sekularisme

Istilah ‘sekularisme’ mula diperkenalkan oleh seorang penulis bernama George Holyoake pada tahun 1846 di United Kingdom. Dalam mencari definisi yang tepat tentang makna sebenar sekularisme, saya telah memilih untuk melihat pengertian yang diberikan oleh Barat sendiri tentang makna sekularisme. Untuk itu, saya telah merujuk kepada kamus  ‘World English Dictionary’. Kamus tersebut telah mendefinisikan sekularisme kepada beberapa pengertian, iaitu:-

1. Satu falsafah yang menolak semua agama dalam masyarakat.
2. Satu pemikiran (sikap) yang berpegang bahawa agama tiada tempat dalam kehidupan bermasyarakat.
3. Satu keadaan untuk menjadi sekular.
4. Sistem politik atau falsafah sosial yang menolak semua bentuk kepercayaan dan agama.
5. Berpendapat bahawa pendidikan awam dan perkara dasar lain mesti dijalankan tanpa pengenalan kepada elemen atau unsur keagamaan.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada pengertian di atas maka dapat disimpulkan bahawa  Barat mendefinisikan sekularisme adalah satu pemisahan antara unsur-unsur agama dengan kehidupan, sama ada daripada segi masyarakat, politik, pendidikan dan lain-lain.

Menurut Syed Muhammad Naquid al attas,perkataan sekular berasal daripada bahasa Latin, ‘saeculum’ yang memberi makna (merujuk) kepada masa dan tempat. Masa merujuk kepada masa (kehidupan) sekarang, manakala tempat merujuk kepada dunia atau duniawi (kehidupan nyata).

Dr. Ugi Suharto mengatakan di dalam penulisan beliau bahawa  apabila istilah sekularisme  di terjemahkan ke dalam bahasa Arab, telah mendapat perhatian yang khusus daripada dua orang tokoh di dalam Islam iaitu  Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas  dan Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi. Di kalangan orang Arab sendiri  ada yang menterjemahkan sekularisme sebagai 'ilmaniyyah, iaitu dari akar kata al-'ilm (ilmu) yang mendapat akhiran 'alif' dan 'nun' serta ‘ ya’ yang menunjukkan sifat kepada ilmu, seperti pada perkataan ruh yang menjadi ruhaniyyah atau rabb yang menjadi rabbaniyyah, maka 'ilm menjadi'ilmaniyyah. Sebagian yang lain menterjemahkannya sebagai  'almaniyyah yang berasal dari kata al-'alam (dunia), meskipun  daripada  akar kata ini lebih tepat menjadi  kata'alamaniyyah, namun yang umum digunakan ialah istilah 'almaniyyah.  Al Qaradawi lebih cenderung kepada 'ilmaniyyah, sedangkan al Attas lebih kepada 'almaniyyah. Perbezaan ini menunjukkan bahawa istilah sekularisme yang cuba diterjemahkan ke dalam bahasa Arab memang tiada pegangannya di dalam Islam.

Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi di dalam kitabnya “ al islam wa al ‘ilmaniah wajhan li wajhin (1987)” telah  menterjemahkan sekularisme sebagai  ‘ilmaniyyah adalah bukan saja satu terjemahan yang tidak teliti (ghayru daqiqah), tetapi juga satu terjemahan yang tidak betul  (ghayru sahihah), kerana perkataan  sekularisme itu tiada kaitan langsung dengan lafazal-’ilm (ilmu). Mereka yang menterjemahkannya tidak memahami perkataan al-din danal-’ilm melainkan hanya dengan  ide Barat Kristian, yang memang bagi orang Barat (al-insan al-gharbi) agama dan ilmu mereka itu adalah saling bertentangan. Beliau menyimpulkan bahawa menterjemahkan sekularisme dengan  ‘ilmaniyyah dan mengaitkannya dengan ilmu adalah suatu usaha untuk menjadikannya satu makna dengan istilah ‘ilmiyyah kerana, menurut beliau, penipuan tersebut patut dinyatakan (dijelaskan). Beliau menambah lagi bahawa pengertian sekularisme itu sinonim dengan konsepalladiniyyah (tidak ada agama) atau al duniawiyah (dunia tiada hubungan dengan agama).

Kesimpulannya, sekularisme adalah satu  konsep bahawa kerajaan atau entiti lain seperti sosial, ekonomi, politik, kebudayaan dan sebagainya harus wujud secara berasingan dari agama. 

Prinsip Asasi Sebuah Negara Islam.

Resolusi yang diputuskan oleh satu perjumpaan ulamak seluruh Pakistan yang melibatkan semua aliran pemikiran Islam pada 21-24 Jan 1951 di Karachi memutuskan diantara ciri-ciri sebuah negara Islam mempunyai ciri berikut :-

(a) Kedaulatan yang tertinggi di atas seluruh alam dan semua undang-undang berada di sisi Tuhan, iaitu Allah S.W.T , Tuhan sekelian alam sahaja.

(b) Undang-undang negara hendaklah berasaskan Al-Quran dan Sunnah. Sebarang peraturan atau tatacara pentadbiran negara tidak boleh bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah.

(c) Negara tidak boleh diasaskan berdasarkan kepada konsep geografi, bangsa, warna kulit atau konsep-konsep kebendaan lain kecuali berdasarkan konsep Islam sebagai cara hidup.

(d) Menegakkan al ma'aruf (amalan kebaikan) dan menghapuskan serta membendung al mungkar (keburukan) sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah. Serta mengambil semua langkah perlu untuk menyegarkan kebaikan dan membenam keburukan dalam aspek kebudayaan, pendidikan dan ekonomi menurut Al Quran dan Sunnah. 

(e) Memperteguhkan ikatan persaudaraan dikalangan semua umat Islam diperingkat lokal dan global.

(f) Bertanggungjawab terhadap semua keperluan asas rakyat seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pendidikan, perubatan dan sebagainya tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit dipenuhi.

(g) Setiap warganegara diberikan hak mereka sebagaimana termaktub dalam Al Quran dan Sunnah dalam aspek keselamatan jiwa dan harta benda, kesamarataan, kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan, kebebasan beribadat dan hak untuk mendapatkan manfaat semua perkhidmatan awam yang disediakan.

(h) Tidak seorang pun warganegara dijatuhi hukuman di atas sesuatu kesalahan tanpa dibenarkan membela diri mereka.

(i) Aliran-aliran pemikiran Islam yang diiktiraf dibenarkan untuk dikembangkan di dalam negara.

Ciri-Ciri Sistem Kenegaraan di Malaysia.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam diperhimpunan agung Parti Gerakan Malaysia beberapa hari selepas peristiwa bangunan World Trade Centre di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Pengisytiharan tersebut dianggap berani kerana ia dibuat dalam suasana sentimen anti-Islam, khususnya di negara- negara Barat kian terasa akibat peristiwa tersebut.

Berdasarkan kepada kajian-kajian dan rujukan-rujukan yang telah dibuat serta fakta- fakta lain, saya berpendapat Malaysia masih lagi belum boleh disytiharkan sebagai sebuah Negara Islam kerana negara ini masih lagi tidak mempunyai ciri- ciri Negara Islam yang menepati takrifan syarak.

Untuk menyatakan sebuah negara itu Negara Islam, ia mestilah dibuat mengikut takrifan syarak. Sungguhpun Malaysia diisytiharkan sebuah Negara Islam oleh Tun Dr Mahatdhir, bekas Perdana Menteri Malaysia, ia boleh dipertikaikan kerana perisytiharan itu dibuat tanpa sebarang perubahan dalam perlembagaan, undang- undang, dan dasar-dasar kerajaan.

Dalam membincangkan topik Negara Islam, majoriti ulama berpandangan, jika sebuah Negara ingin diiktiraf sebagai Negara Islam, unsur utama yang perlu ada bagi Negara itu ialah al-Quran dan Sunah menjadi teras kepada perjalanan pentadbiran, perundangan dan perlembagaan negara tersebut.

Tetapi aspek ini tidak ada di Malaysia. Saya tidak menafikan Malaysia adalah negara orang Islam, tetapi ia tidak memenuhi takrifan sebuah Negara Islam. Terdapat pelbagai perbezaan pendapat dikalangan ulama’ mengenai konsep Negara Islam. Secara jelas, ulama mengklasifikasikan Negara sebagai Dar al- Islam, Dar al- Kufr, Dar al- ‘Ahd.

Contohnya Al- Kasani menyebut, “zahirnya Islam dan zahirnya kekufuran itu bermaksud zahirnya dan menonjolnya hukum, undang- undang dan peraturan kedua- duanya. Maka apabila zahir hukum dan undang- undang kufur sebuah negara, maka jadilah ia Dar al- Kufr dan betullah tersebut (al- idhafah). Dan begitulah juga akan jadi sebuah Negara Islam apabila zahir dan menonjolnya undang- undang Islam didalamnya tanpa syarat yang lain.”

Jadi undang- undang syariah yang menggambarkan penyerahan secara mutlak kepada Allah s.w.t. mesti menonjol dalam sebuah Negara Islam. Adakah diMalaysia kita lihat penyerahan secara mutlak ini?

Jika ada pihak yang menyatakan Malaysia Negara Islam mengakui negara ini sedang melalui proses penyempurnaan, dengan melakukan proses Islamisasi secara sedikit demi sedikit, maka tidak wajar negara ini disytiharkan sebagai Negara Islam sekarang. Ini kerana ia masih belum memenuhi sepenuhnya ciri- ciri sebuah Negara Islam.

Malah beberapa ulama’ yang mendukung dan mempertahankan Malaysia sebagai Negara Islam berdasarkan hujah, definisi dan ciri- ciri tertentu, secara jelas mengakui bahawa ia tidak sempurna dan hanya mempunyai sebahagian daripada ciri- ciri tersebut. Bagi sesetengah Umat Islam fundamental Islam dalam semua perkara amat diutamakan. Asas mendirikan sebuah Negara Islam ialah berteraskan al- Quran dan Sunah, tetapi perkara fundamental itu tiada dinegara ini. Ia tidak termaktub samaada dalam perlembagaan, atau dilaksanakan secara praktikal.

Jika pun tidak tertulis dalam perlembagaan bahawa pentadbiran dan undang- undang negara ini berteraskan dua sumber utama Islam itu, ia hendaklah menjadi asas dalam amalannya. Walaupun didalam Perlembagaan Persekutuan termaktub bahawa Islam adalah agama rasmi dan kebebasan menganuti serta mengamalkan agama dijamin.

Takrif Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Malaysia bersifat ceremonial sahaja, dan tidak membawa maksud Islam diamalkan dalam semua perkara, terutama undang-undang. Kita sudah merdeka lebih 55 tahun dan percubaan agar Akta Kesalahan Jenayah Syariah dipinda dengan memasukkan kesalahan- kesalahan yang jelas termaktub didalam Al-Quran dan Sunah masih lagi gagal.

Saya mengakui terdapat banyak perkara yang boleh diijtihadkan, termasuk konsep Negara Islam dan undang-undang Islam, tetapi asas ijtihad tidak boleh lari daripada al-Quran dan Sunnah. Contohnya Rasulullah s.a.w. tidak meninggalkan satu kaedah yang statik untuk berperang, begitu juga dengan pembentukan sebuah negara, tetapi ia tetap berasaskan al- Quran dan Sunah.

Dari segi infrastruktur, Malaysia patut dipuji sebagai sebuah negara yang mengamalkan Islam bersifat syiar. Tetapi Negara Islam bukan hanya berteraskan kepada syiar, ia mesti juga berteraskan syariah. Sekarang jika pun ada beberapa enakmen jenayah dan pentadbiran undang- undang syariah dinegeri- negeri ia masih tidak menepati takrifan syariah yang bermaksud keseluruhan sistem berteraskan al- Quran dan sunnah. Jadi kita boleh berbangga bahawa Malaysia adalah sebuah negara umat Islam yang maju, tetapi bukan sebagai sebuah Negara Islam.

Saya berpegang kepada apa yang disebut didalam Al- Quran dalam surah al- Baqarah: 208:


يأيها الذين ءامنواادخلوا فى السلم كآفة ولاتتبعوا خطوت الشيطن انه لكم عدو مبين


Maksudnya: “ Hai orang- orang beriman, masuklah kamu kedalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah- langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Kita boleh membentuk apa juga bentuk Negara Islam, tetapi intipatinya mestilah Al- Quran dan Sunnah menjadi teras dalam perjalanan pentadbiran dan undang- undang negara.” Misalnya Malaysia dikatakan sebuah Negara Islam tanpa asas pelaksanaan al-Quran dan Sunnah. Dalam soal undang-undang contohnya, terdapat banyak undang-undang Malaysia yang bertentangan dengan undang- undang Islam contohnya, qisas dan takzir dalam kes bunuh.

Sungguhpun didalam undang- undang Negara sekarang seseorang yang didapati bersalah membunuh boleh dijatuhi hukuman bunuh (yang menepati hukum bunuh didalam Islam), tetapi hak untuk membalas bunuh perlu diperincikan lagi agar menepati hukum Islam. Undang-undang substantif dan prosedur Islam perlu dilaksanakan secara bersama dan menyeluruh. Tetapi dinegara ini, ia tidak dirujuk, malah undang- undang Islam seperti undang-undang jenayah sering digambarkan negatif. Seperti yang kita sedia maklum juga, Perlembagaan Malaysia yang merupakan undang- undang tertinggi negara ini, bersumberkan undang- undang British, bukan ilmu perundangan Islam.

Sebagai contoh, takrifan Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan adalah berkaitan adat istiadat rasmi. Ia tidak memasukkan sumber perlembagaan sebagai merujuk kepada al-Quran dan as-sunnah sebagai rujukan dan sumber ijmak dan ijtihad para ulama’. Ini bermaksud secara jelas peruntukan Islam sebagai agama rasmi itu tidak bermaksud Islam sebagai rujukan terhadap persoalan kenegaraan Malaysia. Artikel 121(a) pula dalah peruntukan bagi mengelakkan campur tangan Mahkamah Sivil yang mempunyai bidang kuasa lebih tinggi berbanding Mahkamah Syariah. 

Kedudukan Institusi perundangan Islam diletak sebagai tertinggi dan mengatasi Mahkamah Sivil disebabkan bidang kuasa perundangan Islam tidak diperluaskan oleh badan eksekutif. Bidang kuasa Mahkamah Syariah juga adalah terhad kepada hal ehwal pentadbiran orang Islam dan kekeluargaan Islam. Malah tidak ada peruntukan undang- undang yang jelas membela akidah Islamiah dan mencegah mereka daripada berlaku murtad. Hukuman bagi kesalahan-kesalahan berkhalwat, bersekedudukan, minum arak dan mencuri juga tidak menepati panduan al- Quran dan as- sunnah.

Peristiwa hijrah Nabi s.a.w. adalah salah satu nas yang kukuh. Saya melihat penghijrahan Nabi s.a.w. dari Mekah ke Madinah adalah asas pembentukan Negara Islam. Sekian lama baginda di Mekah, tidak timbul masalah pembentukan Negara, kemudian baginda diarahkan untuk berhijrah ke Madinah. Jadi peristiwa hijrah ini adalah satu nas yang mewajibkan umat Islam membentuk sebuah Negara Islam, sebab jika Islam hanya satu agama yang mementingkan ibadah semata-mata, umat Islam tidak perlu berhijrah kerana ibadah di Masjidilharam berlipat ganda pahalanya. Hijrah ke Madinah adalah tapak, satu nas daripada sunnah Rasulullah s.a.w. bahawa Islam adalah kuasa yang memerintah, bukan diperintah.

Kita pasti inginkan sebuah Negara Islam moden, yang berteraskan al- Quran dan sunah yang mampu bersaing di dunia dari segi ekonomi, teknologi, ilmu dan sebagainya.

Kesimpulan.

Saya tidak nafikan Malaysia sebuah Negara yang hebat dalam menegakkan syiar Islam, seperti juga dinegara-negara Arab. Tetapi, akan nampak lebih ‘cantik’ lagi sekiranya Syariat Islam juga didukung dan diletakkan ditempat yang sewajarnya. Kita tidak perlu menunggu sehingga orang ramai faham undang-undang Islam untuk melaksanakannya, kerana majoriti rakyat sekarang pun tidak faham undang-undang sivil yang diamalkan. Malah undang- undang Islam pernah pun diamalkan di Tanah Melayu dahulu, di Perak, Pahang, dan Melaka sebelum digantikan dengan undang-undang Inggeris. Maka kita sepatutnya berusaha untuk mengamalkan semula undang- undang Islam. Hakikatnya pada pendapat saya negara kita masih lagi dalam kategori sebuah negara sekular.

No comments: