Tuesday, June 25, 2013

Pelajar #UiTM Sertai Misi Zon Bergolak

Dungun: Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Dungun memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Aman Palestin bagi menghantar pelajarnya menyertai misi kesukarelawanan ke negara bergolak itu.

Rektornya, Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi, berkata kerjasama itu yang pertama seumpamanya membabitkan universiti di negara ini, bertujuan memupuk kesedaran mahasiswa terhadap penderitaan umat Islam di Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis Israel.
Hantar ke Gaza

Katanya, melalui MOU itu, kira-kira 100 mahasiswa akan dihantar ke Gaza untuk merasai sendiri pengalaman berada di bumi Palestin, termasuk lawatan ke Universiti Islam di Gaza dan Universiti Al Quds yang amat daif keadaannya berbanding universiti di Malaysia.

Beliau berkata, perjanjian berkenaan dimeterai atas rasa keinsafan terhadap kesengsaraan saudara sesama Islam di negara berkenaan.

“Tujuan kita menghantar pelajar ke sana (Palestin) adalah lebih kepada kesukarelawanan yang juga satu jihad untuk membantu membebaskan umat Islam kerana ia adalah tanggungjawab kita semua.

“Setiap inci bumi Palestin adalah milik umat Islam dan kita harap suatu hari nanti bumi berkat itu kembali menjadi milik kita (Islam),” katanya selepas majlis menandatangani MoU dengan Aman Palestin di Hotel UiTM, di sini kelmarin.
MoU itu ditandatangani Abdol Samad yang mewakili UiTM, manakala Aman Palestin diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Hasimah Salleh.

Sementara itu, Hasimah berkata pihaknya amat terharu dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh UiTM Dungun dengan menyokong melaksanakan misi Aman Palestin membantu umat Islam di sana.

Katanya, usaha itu menunjukkan kesedaran masyarakat Islam terhadap isu Palestin semakin mendapat perhatian, lebih-lebih lagi di kalangan mahasiswa yang mewakili golongan muda.

(Sumber - http://www.bharian.com.my)

No comments: