Persuratan suatu bahasa itu terjadi terutamanya daripada karangan cerita-ceritanya dan syair-syairnya.Bahkan karangan-karangan jenis lain pun dibilangkan sebahagian daripada persuratan juga, tetapi yang dua jenis tersebut itulah sebenar-benar ramuan yang terbesar sekali dalam rampai-rampai ilmu persuratan dan ialah yang menjadi nyawa kepada sesuatu bahasa dan semangat kepada perbendaharaannya.
Ialah juga cermin kepada selok belok kesenian bahasa itu dan ia juga penyuara yang melafazkan semangat bangsa yang punya bahasa itu: Jika tinggi darjat cerita-cerita dan syair-syairnya maka tinggilah pula ukuran kesenian dan semangat bangsa yang dapat dilihat daripadanya, jika rendah maka rendah pula taraf kesenian dan semangatnya yang kelihatan.
Ada pun syaratnya yang menjadikan tinggi darjat cerita-cerita dan syair-syair itu hendaklah elok karangannya, terang bahasanya, sedap perkataanya, baik sosok ceritanya atau perbuatan isinya, kemas pertukangannya, dan tinggi tujuan maksudnya.
Karangan-karangan cerita itu memberi pengajaran dan tauladan dengan berselindung, syair-syair itu membangkitkan perasaan dan pengenalan akan perkara-perkara kesenian yang halus dan tinggi dan mulia
(1) Karangan cerita (Natsar)
Pada bab karangan cerita maka adalah kita pada masa ini sangat berhajat kepada menambah banyakan buku-buku cerita cara baharu dalam bahasa Melayu, terutama buku-buku cerita yang sebenar-benarnya cerita Melayu sendiri dikarang oleh pengarang-pengarang Melayu sendiri dengan memakai perkelilingan hal ehwal Melayu dan orang-orang yang diceritakan di dalamnya itu orang Melayu – bukan orang Hindustan atau orang Parsi, Arab, Mesir, Turki atau Orang Putih.
Ada pun yang telah biasa dibuat oleh pengarang-pengarang tua kita selama ini dari semenjak orang Melayu mula tahu bersurat, tahu menyurat dan tahu membaca surat kira-kira 500 tahun dahulu ialah kebanyakan sentiasa menyalin dan meminjam daripada cerita-cerita dalam bahasa asing, dan isi ceritanya berorangkan orang negeri asing dan menggambarkan pemandangan–pemandangan negeri asing, adat resam bangsa asing, dan serba serbinya asing – bukan Melayu: melainkan mula-mulanya dahulu mengambil dari India, kemudian dari Parsi dan Arab, dan sekarang semenjak lima puluh tahun yang lalu dari Eropah pula. Pendeknya sediakalalah kita meniru dan meminjam isi daripada orang lain dan hampir-hampir tidak ada langsung mengeluarkan isi hak sendiri yang tulen dan asli.
Kerapkali penyiasat-penyiasat dari bangsa asing bertanya apa ada karangan cerita-cerita dan syair-syair Melayu yang Melayu sendiri punya diri asli? Maka orang yang kena tanya itu berasa malu kerana tidak ada apa yang hendak ditunjukkan selain dari beberapa buah buku yang boleh dibilang pada anak jari sahaja, dan itu pun tidak pula ada yang tinggi mutunya pada ukuran keindahan bahasa dan keseniannya. Ada pun lain daripada beberapa buah itu maka yang banyaknya semuanya tiruan dan pinjaman dan salinan dan padanan daripada hak orang asing dan bahasa asing!
Sekarang ini pengarang-pengarang kita yang muda-muda telah mulai sedarkan kelemahan ini dalam medan persuratan kita dan telah mula berusaha mengarang cerita-cerita cara baharu yang berisikan gambaran perihal ehwal kehidupan Melayu sendiri, maka itulah sahaja baharu ada sedikit sebanyaknya yang boleh diaku sebenar-benarnya hak kita sendiri, tetapi oleh sebab cerita-cerita karangan baharu ini belum masyhur lagi kerana belum lama, dan belum pula cukup baik hendak dipilih yang baiknya – bahkan di antara yang telah ada itu belum ada sebuah pun yang boleh dihitungkan cukup elok sifat-sifat pertukanganya dan anyaman isinya – maka belumlah dapat mana-mana satu daripadanya meningkat datang ke muka dunia dan belum layak dibawa ketengah ditunjukan dengan megah kepada ahli-ahli ilmu bangsa asing yang menyiasat hal ehwal persuratan bangsa-bangsa bahkan oleh sebab beberapa banyak kecacatan dan kelemahan yang masih didapati di dalam pertukangan cerita-cerita Melayu karangan baharu sekadar yang telah ada ini maka belumlah layak ditandingkan dia dengan karangan-karangan cerita bahasa asing yang telah terkenal dan teraku tinggi mutunya dalam alam persuratannya.
Dalam pada itu walau bagaimanapun pengarang-pengarang muda kita telah mulai sedar bahawa kita orang Melayu tidak kekurangan “bahan” yakni perkara-perkara yang boleh dijadikan cerita. Perkara-perkara itu sentiasa berlaku di keliling kita hari-hari sama ada di kampung-kampung dan di bandar-bandar, dan yang berlaku di kampung-kampung itu terlebih jati dan tulen betul sifat-sifat kemelayuannya.
Umpamanya hal ehwal berkasih sayang dengan mencuri-curi di antara anak-anak muda di kampung, hal kahwin paksa, kahwin masih budak, kahwin dengan orang tua, adat nikah kahwin Melayu, hal bercerai-berai, hal membela anak-anak, asuhan yang rendah, sumpah seranah dan mencarut-carut apabila mengajar anak, berbohong kepada anak-anak, hal bercakap benar, hal mungkir janji, hal menggunakan waktu, hal jimat cermat, membuat aniaya dan kelakuan bengis kepada binatang, hal beremak tiri, adapt berpatih, adat temenggong, kekurangan pelajaran, kutu rumah tangga, kutu badan dan pakaian, semak samun kampung halaman, percayakan bahaya hantu syaitan, lain-lain kepercayaan karut dan bodoh, hal susah bersalin, orang mati bersalin, tak percayakan ubat doktor, perangai malas dan boros dan gemar berhutang.
Lemah kemahuan, kurang ikhtiar, kuat berserah kepada nasib dan janji tersurat, kerendahan ajaran agama, gemar berhutang, perangai tamak haloba, tamakkan faedah dan untung laba, tamakkan puji dan balasan jika berbuat baik, tamakkan pahala dan syurga, suka mengumpat dan mengata-ngata orang, perasaan kasih, benci, baik hati, busuk hati, hasad dengki, pemarah – dan beribu-ribu hal yang lain seperti itu, semuanya boleh diamkan ke dalam tubuh cerita dan digambarkan rupanya dan kedudukannya dalam percakapan orang-orang yang diceritakan, dijadikan sebagai rempah dan perencah dalam masakan cerita yang dihidangkan itu dengan yang demikian bolehlah cerita itu jadi iktibar dan pengajaran kepada pembaca-pembaca sekalian serta menyukakan hati mereka membaca dengan tiada perasaan yang mereka diberi nasihat pengajaran dan tauladan di dalamnya.
Begitu pula segala hal pemandangan dan perkelilingan yang disebutkan dalam cerita itu – awan berarak-arak matahari masuk, bulan mengambang, hujan ribut, ayam berkokok, murai berkicau, padi terhampar, orang menuai, mengerik, mengangin, mengemping, mengail, menangkap ikan, menggetah burung, menjerat ayam hutan, memerangkap pelanduk, memikat balam, musim buah, menunggu durian, menziarah buah-buahan orang, hidupan-hidupan kerbau kambing, itik ayam, bermain gasing, bermain layang-layang, mandi sungai, memungut taruk cempari dalam belukar, majlis nyanyi, majlis zikir, kenduri kendara, bulan puasa, berbuka puasa, sembayang terawih, tadarus di surau dan makan sahur.
Berbantai kerbau-kerbau, membuat lemang dan kuih-kuih hari raya, berhari raya, budak-budak berbaju baharu, membakar mercun, adat menyemah (simah), menghalau hantu jembalang, berpura, bersengketa batang keladi, “mengaji kitab” di surau, berbual-bual kosong di serambi, duduk-duduk kosong di kedai Cina. Berbahas-bahaskan hukum dan agama, anak dara berpingit, orang muda memanjat rumah orang, mengusik isteri orang, janda-janda muda, perihal cemburu, bapa yang tidak merasa ketanggungan memelihara anak-anaknya, ibu yang suka meminta wang pada anaknya “balasan membela dari kecil” – dan berbagai-bagai hal lain lagi yang tiada had hingganya, semua itu mencontohkan rupa kehidupan orang Melayu sendiri.
Cerita-cerita yang mengandungi gambaran kehidupan Melayu demikian inilah yang boleh diaku dikatakan hak Melayu betul, dan jika elok karangannya dan bawaan bahasanya dan binaan ceritanya dan hantaran isinya, serta bersulam pula di sana sini dengan pantun, syair, gurindam, seloka, pepatah dan perumpaan, maka itulah kelak jenis karangan yang akan kekal jadi pasak turun temurun dalam medan persuratan Melayu serta boleh disumbangkan oleh orang Melayu di muka dunia.
Sebagai lagi dalam cita-cita kita cara tua perkara yang diceritakan hanyalah hal raja-raja dan putera puteri sahaja – semuanya baik-baik paras dan memiliki ratna mutu manikam yang tiada habis-habis –kayangan dan keinderaan, dewa-dewa dan dewi-dewi Hindu, peperangan mereka berebutkan tunangan, mati hidup balik, kesaktian pertapaan, dan sebagainya! Mengapa?
Orang-orang kebanyakkan yang biasa seperti kita sekalian ini tidakkah ada hal ehwal hidupnya dan peperangan nafsunya hari-hari yang boleh dijadikan cerita dan syair-syair riwayat untuk memberi tauladan dan pengajaran?
Maka dari sekarang diharap pengarang-pengarang Melayu yang ada kecenderungan pada mengarangkan cerita-cerita rekaan akan menggandakan usaha dan cergas mereka mengarangkan hal ehwal Melayu sendiri melukiskan warna-warna kehidupan orang Melayu dan rakyat jelata Melayu, hati Melayu, fikiran Melayu, kepercayaan Melayu, adat Melayu, tingkah laku Melayu, budi pekerti Melayu, adab kesopanan Melayu dan serba serbinya Melayu.
Tidak dipadankan sentiasa dengan menyalin ke bahasa Melayu atau meniru daripada bangsa asing dan bahasa asing sahaja yang dagang pembawaan hidupannya kepada hati Melayu dan tiada nampak contohnya yang benar dalam kehidupan orang Melayu sendiri, seperti cerita-cerita daripada Hikayat Seribu Satu Malam atau cerita-cerita yang berorangkan orang-orang Turki, Arab, Mesir, dan Orang Putih. Keluarkanlah cerita-cerita dan buku-buku karangan yang boleh kita panggil hak kita sendiri dan boleh diperlihatkan kepada dunia bahawa iaitu kepunyaaan kita betul, bukan pinjaman atau salinan daripada kepunyaan orang lain.
Yang demikian akan lebih memberi bekas bagi mengkayakan isi perbendaharaan bahasa kita yang masih miskin dan kekurangan ayat dan bagi mencontohkan kepada orang-orang kita cara-cara hidup yang baik dan yang tidak baik dengan contoh tauladan daripada kehidupan bagsa kita sendiri dan di negeri kita sendiri. Buku-buku demikian biarpun sedikit bilangannya asalkan baik isinya dan bahasa dan lain-lain sifatnya: Jika banyak sahaja tetapi kurang baik maka tidak juga seberapa pertolongannya menghilangkan kemiskinan itu. Cerita-cerita rekaan dan cerita angan-angan yang boleh dikarangkan itu tidaklah ada had sempadannya.
Beribu-ribu macam boleh direka dan dibuat-buat asalkan asasnya terdiri dari di atas hal ehwal hidup kita Melayu yang sebenar terjadi hari-hari. Di antaranya boleh juga dibuat cerita-cerita sindiran melukiskan peri kelakuan dan budi pekerti berbagai-bagai orang pada segala yang baik dan yang tidak baik.
Umpamanya boleh dibuat suatu cerita yang dinamakan “dunia beruk” yang memisalkan semua manusia ini beruk atau monyet, tahu berkata-kata berfikir bersekolah dan beragama, tahu merebutkan harta kekayaan, kebesaran, kekuasaan dan kemegahan: Sekalian itu digambarkan dengan bahasa cerita merupakan berbagai-bagai keadaan kaum berupa ayat sekalinya dari puak raja-rajanya dan putera puterinya hingga kepada pegawai-pegawai pemerintah dan orang besar-besarnya, syed-syednya, orang-orang alimnya, haji lebainya, encik-encik puannya kanak-kanaknya dan lain-lainnya iaitu menunjukkan bermacam-macam fikiran dan perkataan bermacam-macam kegemaran dan kebenciannya.
Bermacam-macam kesenangan dan kesusahannya, bermacam-macam kesukaan dan kedukaannya, bermacam-macam pangkat kebenarannya dan tingkat kehinaannya, dan bermacam-macam pula tamak halobanya dan hasad dengkinya, dan bermacam-macam gila mabuknya hendak mendapat nama, puji, pangkat, gelaran dan bintang kemuliaan dan sebagainya yang mengongkong lehernya dalam kongkong perhambaan. Maka bolehlah dihiaskan ke dalam cerita itu berbagai-bagai jenaka dan kelakar serta pantun syair gurindam dan sebagainya akan menambahkan sedapnya.
Suatu cerita pula dinamakan “Kayangan Baharu” iaitu memisalkan negeri-negeri Eropah atau Amerika, London, Paris dan sebagainya itu ialah kayangan dan kenderaan dengan dewa-dewa dan dewi-dewinya, indera-indera dan cendera-cenderanya, pari-pari, (pari-pari) dan puteri-puteri mambangnya, serta dengan berjenis-jenis keindahan dan persediaan dan alatannya yang ajaib-ajaib. Kita sekalian orang-orang Timur yang masih memandang besar kepada Eropah dan alam Barat ialah orang “dunia” yang bukan daripada jenis dewa-dewa dan dewi-dewi, bukan bangsa indera dan cendera bukan mambang dan pari, hanya manusia yang duduk di dunia bawah.
Maka dari situ bolehlah dilaratkan rekaan itu kepada bermacam-macam cerita menggambarkan segala hal buruk baik yang terjadi di kayangan dan yang boleh dilihat di antara orang-orang kayangan itu sendiri, dan bermacam-macam cerita pula yang berasaskan di atas hal ehwal perhubungan hidup kita dan lain-lain orang dunia bawah ini dengan orang-orang kayangan itu yang sebenarnya terjadi sekarang, seperti perkahwinan dengan orang kayangan, asal kejadian orang Serani, huru hara kehidupannya siasat dan iktisad, peperangan yang tiada habis-habis berulang-ulang, tamak loba orang kayangan yang menyebabkan sekalian itu, senjata-senjata kesaktian orang kayangan, alam-alam kepandaian orang kayangan, pendita-pendita mereka dan siasatannya, dan lain-lain lagi – iaitu diceritakan dengan cara kiasan dan sindiran hingga boleh jadi beberapa jilid pun.
Satu lagi pula boleh direka dengan nama “Pak Pandir Moden” jadi penyambung cerita “Pak Pandir” kita yang telah sedia itu: Tetapi lain sekali isinya iaitu menggambarkan hal ehwal Melayu yang ada dihadapan kita sekarang – Melayu yang sudah tau bersurat khabar, bertelefon, bermotokar, berradio, bertutur Ingeris, Belanda dan Arab, Melayu yang telah mulai membebaskan anak-anak perempuannya dan lain-lain.
Maka bolehlah diperbuatkan daripada angan beratus macam cerita pendek berhubung dengan diri Pak Pandir itu tetapi berasas di atas kejadian yang benar – bagaimana fikirannya dan pemandangannya dan pengalamannya dalam hal kehidupan, serta berbagai-bagai hal serta berbagai-bagai hal pelik yang terjadi kepadanya dan kepada Mak Andir dari sehari ke sehari.
Maka di dalam sekalian itu disulamkan pula segala jenis jenaka dan kelakar seperti Aman Belon yang digelarnya “Saudagar Minyak Urat” dan pantun nyanyi syair, gurindam seloka yang setengahnya dipungut daripada pantun gurindam orang tua-tua dan setengahnya diambil daripada hidangan piring-piring peti nyanyi dan suara radio yang kita terdengar hari ini jika cerita ini dikerjakan bersambung-sambung oleh orang-orang kemudian nescaya boleh jadi beberapa jilid pula tiada tamat seperti Hikayat Alif Lailat wa Lilat dan seperti riwayat-riwayat Sirah Antarat dan tiada kurang sedapnya daripada itu. Demikianlah untuk contoh sahaja sebagai menunjukkan arahan, mudah-mudahan boleh jadi panduan kepada pengaranag-pengarang muda kita yang ada kecenderungan ke situ dan yang berusaha bekerja menjalankan Qalam mereka sekarang mengikut kecenderungan mereka itu. (Akan beriring dengan bahagian yang kedua: Karangan syair dan cerita wayang”).
(Sumber - Majalah Qalam, Bilangan 10 – Mei 1951)
No comments:
Post a Comment