"Dalam membela pendirian Laa Ilaha Illallah Allahu Akbar, tiada Tuhan melainkan Allah, beribu kesulitan yang harus kita tempuh. Jiwa murni kebetulan terletak dalam rangka tubuh yang terjadi daripada benda, dari air dan tanah. Dia minta makan buat hidup, dia minta air buat minum. Kalau tidak, dia mati. Dia pun meminta kediaman yang sederhana, sebab si tubuh ini tidaklah tahan ‘berhujan panas’. Dia pun meminta pakaian pembalut tubuh, sebab dia tidak tahan kedinginan dan kepanasan. Terlalu diperturutkan kehendak rohani, kita pun lapar. Terlalu diperturutkan kehendak jasmani, mundurlah nilai-nilai yang lebih tinggi dalam hidup dan bertukarlah insan jadi binatang".
Tuan Direktur (hlm. 35).
"Lihat olehmu orang yang menang loteri, iaitu ditimpa laba dengan tiba-tiba, ada yang putus nyawanya ketika itu juga, kerana kesangatan girang maka laba itu menjadi bala. Engkau tahu sendiri bahawa segala yang terlalu di dunia ini, wujudnya hanya mati. Terlalu sakit mati, terlalu riang mati, terlalu gelak mati. Terlalu menangis dan sedih mati. Terlalu dapat laba, mati juga".
Tuan Direktur (hlm.36)
"Niat bapa bermula hendak jadi orang kaya. Tetapi setelah sampai ke mari bapa lihat, kalau orang hendak jadi kaya mesti berlaku kejam kepada sesama manusia, undurlah bapa dari niat itu. Bapa ubah niat bermula, ialah biarlah jadi orang yang beroleh sesuap pagi dan sesuap petang saja, tetapi dapat tenteram dalam hidup, dapat membantu fakir dan miskin, dapat pula mempunyai tanah untuk beribadat di hari tua".
Tuan Direktur (hlm.15)
"Ia seorang tua yang bertabiat aneh terlalu pemurah dan ramah-tamah. Rumah-rumah petak itu didirikannya untuk dipersewakan, tetapi segenap penyewanya yang terdiri dari kalangan rendah itu, tidaklah memandangnya sebagai majikan atau tuan tanah tempat mereka menumpang - bahkan mereka anggap sebagai bapa".
Falsafah Hidup (hlm.163)
"Maka kalau sekiranya kita perturutkan sahaja kehendak nafsu, tidak kita beri batas perjalanannya supaya sederhana, tidaklah perjalanan nafsu itu akan berhujung. Pada hal jika kita terima sahaja apa yang ada, kita sabar dan tahan hati, kita berusaha hanya menghindarkan pengangguran di dalam hidup, maka nafsu itu akan menerima berapa pun yang ada".
Keadilan Sosial dalam Islam (hlm.87)
"Dasar kesederhanaan ialah rasa rahim. Rahim adalah satu pecahan daripada sifat Tuhan. Hambanya dianjurkan memakai sifat Tuhan ini. Nabi s.a.w. bersabda “Tidaklah beriman seseorang kamu, sebelum dia merasa rahim.” Lalu seorang sahabat berkata, “Semua kami berhati rahim”. Nabi s.a.w. menjawab, “Yang aku maksudkan bukanlah rahim seseorang kepada kawannya sahaja, melainkan merata kepada seluruh manusia.”
Tasauf Moden (hlm. 219)
Qana’ah, ialah menerima cukup. Qana’ah itu mengandung lima perkara - pertama, menerima dengan rela akan apa yang ada. Kedua, memohon pada Tuhan tambahan yang pantas dan berusaha. Ketiga, menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan. Keempat, bertawakkal kepada Tuhan. Kelima, tidak tertarik oleh tipu-daya dunia. Itulah yang dinamai qana’ah, dan itulah kekayaan yang sebenarnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak harta, kekayaan ialah kekayaan jiwa".
Keadilan Ilahi (hlm. 49):
"Melihat yang telah terkumpul di dalam tangan, timbullah nafsu buat menambahnya lebih banyak lagi, sampai lupa kepada kebersihan diri pun, lupa kepada makanan yang enak-enak, lupa kepada kediaman bersih, hanya ingat bagaimana supaya wang itu bertambah".
Pandangan Hidup Muslim (hlm.210)
"Yang mempunyai cahaya istimewa itu adalah dua rupa orang. Pertama, seorang saleh yang kuat hubungannya dengan Allah. Kedua, seorang berpangkat yang kuat hubungannya dengan orang yang memerintah. Yang pertama mendapat cahaya dari langit. Yang kedua mendapat cahaya dari bumi".
Pandangan Hidup Muslim(hlm. 211-212)
Ulama yang saleh. Ulama yang berani mengatakan yang benar, walaupun dunia menjadi lawannya. Ulama yang berani menegakkan yang hak walaupun lehernya akan putus. Perangainya lain benar. Dia laksana orang yang sombong apabila berhadapan dengan penguasa dunia. Tetapi dia sangat merendahkan diri apabila berhadapan dengan orang yang lemah. Baru saja anda duduk di hadapannya, sinar matanya telah menembus ke dalam hatimu, sehingga anda menerima segala sesuatu dengan hati ridza. Anda merasa tenteram melihat mulutnya yang komat-kamit menyebut nama Tuhan. Bila anda tinggalkan majlis itu, sinar matanya itu masih tetap melekat dalam ruang matamu dan menembus ke dalam sanubarimu. Berhenti fikiranmu dan subur perasaan halusmu. Berniat engkau hendak meniru jejak beliau".
Di Bawah Lindungan Ka’bah (hlm.5)
"Hidupnya sangat sederhana, tiada lalai daripada beribadat, tiada suka membuang-buang waktu kepada yang tidak berfaedah, lagi pula sangat suka memerhatikan buku-buku agama, terutama kitab-kitab yang menerangkan kehidupan orang-orang yang suci, ahli-ahli tasauf yang tinggi".
Tenggelamnya Kapal van der Wijck (hlm.151).
"Pertama, orang dengki, yang selalu merasa sakit hati melihat orang diberi Allah nikmat. Kesakitan hatinya itulah yang menyebabkan dia celaka, padahal nikmat Allah tak dapat dihapuskan oleh tangan manusia. Kedua, orang yang tamak dan loba, yang senantiasa merasa belum cukup dengan apa yang telah ada dalam tangannya, selalu menyesal, mengomel, padahal yang akan didapatnya tidak akan lebih daripada yang telah ditentukan Allah dalam kudrat- Nya. Ketiga, orang berdosa yang terlepas dari tangan hakim kerana pencurian atau pembunuhan, kerana memperkosa anak bini orang".
Menunggu Bedok Berbunyi (hlm.25)
Jangan kita tertawakan orang yang jatuh. Tapi marilah bersyukur sebab kita tidak jatuh. Memang sulit jalan yang kita tempuh, lebih sulit dari yang dapat dikira-kira. Marah ialah kebiasaan orang bersama. Tetapi belas kasihan adalah kebiasaan orang yang utama.
Lembaga Hidup (hlm.11)
Kita dituntut supaya mengemukakan tiap-tiap diri untuk kebaikan masyarakat dan pergaulan bersama. Lurus, jujur, tulus, dan ikhlas, boleh dipercayai, tetap hati, teguh janji, hormat dan khidmat yang semuanya itu bernama ‘akhlak’, adalah menjadi undang-undang yang asli daripada ketegakan masyarakat
Kerana Fitnah (hlm.28)
Tidaklah cukup kalau hanya perasaan saja yang mengungkung langkah manusia kalau tidak diiringi oleh pendidikan agama, kesopanan dan kemuliaan batin.
Di Bawah Lindungan Ka’bah (hlm.60)
Dahulu kalau disebut orang kepada saya untung dan bahaya, tidak lain yang terlintas dalam fikiran saya daripada rumah yang indah, gedung yang permai, wang berbilang, emas bertahil, cukup dengan kenderaan dan kehormatan, dijunjung orang ke mana pergi. Sekarang saya telah insaf, bahawa semua ini bukan untuk bahagia, yang sejati ialah jika kita tahu, bahawa kita bukan hidup terbuang di dalam dunia ini, tetapi ada orang yang mencintai kita.
Pandangan Hidup Muslim (hlm. 169-175)
1. Memperluaskan pandangan kita.
2. Tidaklah mengenal batas kaum, suku, bangsa jenis dan warna kulit.
3. Memperluaskan timbangrasa di antara sesama manusia.
4. Meniupkan kehidupan hati sanubari.
5. Berani revolusioner kepada dirinya sendiri, melawan kesempitan pandangan patriotisme - Right or wrong is my country. Akan berlaku seperti kata pepatah, “Bapa melapah daging, anak melapah tulang.”
6. Guru yang berpegang pada agama yang benar akan memasukkan semua pengajarannya dengan jiwa agama.
Lembaga Budi (hlm.8)
Diribut runduklah padi,
Dicupak Datuk Temenggung;
Hidup kalau tidak berbudi,
Duduk tegak ke mari canggung
No comments:
Post a Comment