Tuesday, March 27, 2012

Dato' Onn Jaafar - Negarawan Yang Mendahului Zamannya

Malayan Union (Kesatuan Malaya) adalah sistem politik yang diperkenalkan oleh British untuk Tanah Melayu selepas ia kembali berkuasa pada 13 September 1945. Secara rasmi ia diinstitusikan pada 1 April 1946 dan mampu bertahan sehingga 31 Januari 1948. Sir Edward Gent menjadi Gabenur pertama dan terakhir Malayan Union. Idea Malayan Union telah difikirkan oleh British supaya semua negeri-negeri Melayu disatukan dibawah satu kesatuan pada Julai 1943 apabila mereka berkeyakinan dapat menewaskan Jepun semasa perang dunia ke-2. Dibawah Malayan Union, kerajaan-kerajaan negeri tidak lagi wujud, yang ada hanya kerajaan pusat yang diterajui oleh Gabenor. Raja-raja melayu berada dibawah Gabenor kecuali hal ehwal yang berkaitan dengan agama islam dan adat resam orang melayu. Mereka hanya menjadi ex-officio dan tidak mempunyai kuasa eksekutif dan perundangan.

Reaksi orang melayu terhadap perlaksanaan Malayan Union pelbagai, umumnya mereka membantah Malayan Union. Persatuan Melayu Selangor (PMS) yang diterajui oleh Zainal Abidin Ahmad atau dikenali dengan panggilan Za'ba dan Pergerakan Melayu Semenanjung Johor yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar adalah diantara pencetus awal membantah Malayan Union diikuti oleh pelbagai pertubuhan-pertubuhan melayu dinegeri-negeri lain. Za'ba mengutus telegram kepada kepada Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London membantah perlaksanaan Malayan Union. Susulan daripada itu, satu Kongres Melayu Semalaya dicadangkan pada 1 sehingga 4 Mac 1946. Ia dianjurkan oleh Persatuan Melayu Selangor bertempat di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru.

Sebuah Jawatankuasa Induk untuk menjayakan kongres ini ditubuhkan dimana Za'ba diberikan mandat untuk mempengerusikan Jawatankuasa induk ini manakala Mohamad Yunus sebagai setiausaha. Pada masa itu jutawan melayu belum ada lagi, kedudukan ekonomi orang melayu masih daif, namun demikian dalam masa yang singkat mereka berjaya mengumpul sebanyak 9,000 ringgit untuk membiayai kongres tersebut. Malah selepas kongres berakhir sebanyak 50,000 ringgit berjaya dikutip dan wang tersebut digunakan untuk membiayai perhimpunan pertubuhan Melayu selepas itu sehinggalah UMNO ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946 di Istana Sultan Johor.

Kongres Melayu SeMalaya itu berjaya mengumpulkan 115 pemimpin melayu yang mewakili 42 pertubuhan melayu yang mewakili 11 buah negeri. Za'ba selaku pengerusi Jawatankuasa Induk kongress mencadangkan Datuk Onn Jaafar untuk mempengerusikan perjalanan kongres pertama itu. Kongres ini mendapat sokongan daripada Sultan Selangor sendiri yang sanggup mencemar duli merasmikan kongres tersebut. Diantara resolusi kongress ialah mendesak British menarik balik cadangan Malayan Union.

Bagi memastikan Malayan Union gagal, pada 29 sehingga 30 Mac 1945 satu persidangan tergempar kongres diadakan 48 jam sebelum pengistiharan Malayan Union. Ketetapan yang diambil kongres ialah (1) orang-orang melayu hendaklah memulaukan istiadat melantik Gabenor Malayan Union (2) Memohon Raja-Raja melayu supaya tidak menghadiri majlis istiadat perlantikan Gabenor (3) Orang melayu menunjukan tanda berkabung dengan memakai kain putih disogkonk selama 7 hari (4) Melantik Datuk Onn Jaafar, Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato Hamzah Abdullah, Dato' Nik Ahmad Kamil untuk menyembah ketetapan kongress ke-2 kepada Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu (5) Meminta ahli-ahli melayu yang duduk dalam Majlis Mesyuarat Negeri, Negeri-Negeri Selat dan Majlis Undangan Persekutuan memulaukan majlis tersebut.

Hasilnya, Raja dan rakyat sepakat mengagalkan Malayan Union walaupun British meneruskan pemerintahan Malayan Union mulai 1 April 1946 namun ia diboikot oleh orang melayu dan akhirnya British menamatkan pemerintahan Malayan Union pada awal 1948. Mulai 1 Februari tahun itu, sistem politik Persekutuan yang mengembalikan kedudukan Raja-Raja Melayu dan dengan itu kepentingan melayu terpelihara.

(Bersambung)

No comments: