Friday, February 3, 2012

Kejatuhan Empayar Islam Uthmaniah Suatu Pengajaran Untuk Muslimin.

Sejarah

Wilayah Uthmaniyyah pada mulanya dikenali sebagai Beylik di dalam Kerajaan Turki Seljuk pada kurun ke-13. Pada tahun 1299,Uthman I mengisytiharkan kemerdekaan Wilayah Uthmaniyyah dan mengasaskan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Semasa penubuhan dan perkembangan Empayar Uthmaniyyah, kehebatan empayar ini tidak boleh disoal lagi lebih-lebih lagi semasa pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih. Hal ini menjadikan Empayar Uthmaniyyah istimewa dalam sejarah ketamadunan manusia.

Sepanjang kurun ke-16, Empayar Uthmaniyyah terus berkembang daripada segi wilayah dan kekuasaan dengan mengembangkan kekuasaan sehingga ke Afrika Utara di barat daya dan Parsi di sebelah timur. Semasa Pertempuran Chaldiran, di sebelah timur Anatolia, (sekarang di barat Tabriz, Turki) pada tahun1514, tentera Uthmaniyyah di bawah pimpinan Sultan Selim I memenangi pertempuran menentang tentera Parsi. Hal ini memastikan keselamatan wilayah Uthmaniyyah di sebelah timurnya. Selepas itu tumpuan Empayar Uthmaniyyah beralih kepada bahagian barat empayar terbabit. Sultan Sulaiman I, selepas menaiki takhta pada tahun 1518, mengetuai beberapa siri ketenteraan di Balkan. Di bawah Suleiman yang juga merupakan seorang strategis yang hebat, tentera Uthmaniyyah mara ke utara dengan menguasai Belgrade (1521), mengalahkan Hungary (1526), dan menyerang Vienna (1529).

Kejayaan pengembangan kuasa Uthmaniyyah pada kurun ke-16 adalah kerana kemahiran bersenjata api dan taktik peperangan di samping kesempurnaan sistem ketenteraan. Tentera Uthmaniyyah juga amat mahir dalam melakukan serangan dan kepungan kerana serangan seperti ini mendatangkan kesan kemusnahan yang teruk terhadap musuh mereka.

Salah satu contoh terbaik untuk menunjukkan kemahiran mereka menyerang atau membuat pengepungan ialah semasa peristiwa penaklukan Constantinople (Istanbul) pada tahun 1453. Semasa serangan terbabit, meriam-meriam besar digunakan bagi memusnahkan tembok yang tinggi dan tebal. Meriam-meriam ini diperbuat daripada gangsa dan dibawa berdekatan dengan kota ini menggunakan banyak tenaga manusia disamping penggunaan kerbau dan lembu kerana berat yang melampau meriam-meriam ini. Meriam-meriam ini kemudiannya ditanam di sebelah hujung bagi menyerap tekanan letupannya. Seorang panglima Austria pernah berkata bahawa tentera Uthmaniyyah amat "kebal" semasa musim panas. Keterangan ini nyata benar memandangkan banyak kejayaan dicapai semasa kempen-kempen perangnya.


Perkembangan (1453-1683)


Empayar Turki Uthmaniyyah, 1481 -1683

Perkembangan kekuasaan Uthmaniyyah boleh dikategorikan kepada dua zaman. Zaman pertama boleh dikatakan semasa berlakunya penaklukan dan perkembangan kuasa; iaitu bermula daripada penawanan Constantinople pada tahun 1453sehinggalah kemangkatan Sultan Sulaiman al-Qanuni (Suleiman the Magnificent) pada tahun 1566. Selepas berakhirnya zaman pertama, zaman kedua pula muncul iaitu semasa struktur pentadbiran mula menunjukkan kelemahannya akibat daripada perebutan kuasa dan rasuah iaitu dari tahun 1566 sehinggalah kegagalan serangan ke atas Vienna pada tahun 1683.

Bagi meluaskan pengaruh dan kawasan Empayar Uthmaniyyah semasa zaman perluasaan kuasanya, pemimpin memilih untuk menyebarkan melalui laluan air yakni laut. Selim I menawan Parsi sebelum tewas kepada tentera Parsi tidak lama kemudian. Parsi kemudian menewaskan tentera Uthmaniyyah dan menawan sebahagian kawasan milik Uthmaniyyah di timur empayar itu. Mereka juga berjaya menawan Baghdad.

Empayar Uthmaniyyah menubuhkan tentera laut di Laut Merah bagi mengatasi pengaruh Portugis dalam perdagangan rempah. Semasa zaman ini, Empayar Uthmaniyyah bersaing dengan kuasa-kuasa Eropahdi Lautan Hindi. Empayar Uthmaniyyah juga menghantar tentera lautnya bersama-sama dengan kelengkapan perang dan askar ke Kenya dan Aceh bagi membantu pemerintah-pemerintah Muslim di sana, di samping mempertahankan perdagangan rempahdan hamba. Di Aceh, Empayar Uthmaniyyah membina kubu dan mempertahankannya menggunakan meriam, selain itu Sultan Aceh,Sultan Alauddin Riayat Shah Al Qahar telah memimpin sebuah armada perang dibantu oleh tentera turki Uthmaniyyah dengan meriam-meriam besar dari Istanbul menggempur Portugis di Melaka. Empayar Turki Uthmaniyyah juga merupakan kuasa yang bertanggungjawab dalam membantu perjuangan pihak Protestan Belanda bagi menghadapai konflik mereka dengan golongan Katolik Sepanyol. Tentera laut Uthmaniyyah juga mempunyai banyak pengaruh di Laut Mediterranean menjadikanperdagangan di sana berkembang dengan pesat disebabkan kestabilan perdagangan di situ. Zaman ini kemudiannya dikenali sebagai zaman "Pax Ottomanica" oleh orang Barat.

Serangan ke atas Vienna bukanlah satu siri pengembangan kuasa Empayar Uthmaniyyah terhadap Jerman. Sebenarnya pihak Turki Uthmaniyyah hanyalah ingin bertindak terhadap campur tangan Hapsburg Sepanyol ke atas Hungary. Hal ini juga menyebabkan sesetengah sekutu Uthmaniyyah membelot terhadap Empayar Uthmaniyyah. Paus di Itali kemudiannya meninggalkan kepentingan sekularnya bagi membangkitkan semangat anti-Islam di samping ingin melancarkan Perang Salibyang baru. Dalam masa yang akan datang, Empayar Uthmaniyyah bukan sahaja sebuah kuasa penakluk tetapi juga sebuah instrumen politik Eropah. Perang di Vienna membawa kepada zaman kemerosotan terhadap Empayar Utmaniyyah.


Kemerosotan (1683-1827)


Sultan Murad IV

Selepas tewasnya tentera Uthmaniyyah dalam perang di Vienna pada tahun 1683 yang menunjukkan bahawa Empayar Uthmaniyyah bukan lagi kuasa besar di Eropah. Pada tahun 1699, buat pertama kali dalam sejarahnya, Empayar Uthmaniyyah mengakui bahawa Austria adalah sama taraf dengannya. Bukan sahaja itu, Empayar Uthmaniyyah juga kehilangan wilayah besar dikuasainya sejak sekian lama. Terdapat banyak sultan yang dilantik selepas itu yang tidak sekuat generasi Mehmed II, Selim I dan Suleyman I.

Semasa zaman kemerosotan ini, Empayar Uthmaniyyah lemah kerana masalah dalaman dan luarannya disebabkan peperangan yang amat mahal terutamanya menentang Parsi, Persekutuan Poland-Lithuania, Rusia,Austria-Hungary. Perang Rusia-Turki ialah peperangan antara Rusia dan Empayar Uthmaniyyah semasa kurun ke-17, ke-18, dan ke-19 masihi (kesemuanya 10 peperangan). Ia merupakan di antara konflik yang paling lama dalam sejarah Eropah yang berlarutan selama 241 tahun; lebih lama daripada Perang Seratus Tahun di antara England dan Perancis. Sebelum itu, Empayar Uthmaniyyah tewas dalam Perang Lepantopada tahun 1571.

Perjanjian Passarowitz menghasilkan satu era yang aman di antara tahun 1718-1730. Pentadbiran Uthmaniyyah mula berubah dengan memajukan kota-kota sekitar Balkan yang akan menjadi benteng pertahanan mereka sekiranya peperangan meletus dengan kuasa Eropah. Pelbagai perubahan dilakukan seperti mendapat pandangan rakyat, mengurangkan cukai, memperbaiki kemudahan awam, dan berbagai-bagai lagi perubahan. Walau bagaimanapun, Empayar Uthmaniyyah gagal bersaing dalam bidang teknologi dengan musuhnya di Eropah, terutamanya Rusia.

Pada penghujung kurun kelapan-belas menyaksikan Empayar Uthmaniyyah ketinggalan jauh berbanding kuasa Barat. Peperangan berlaku dan mengakibatkan Uthmaniyyah kehilangan banyak wilayah kepada Rusia dan Austria. Kawasan seperti Mesir juga mencapai kemerdekaan. Semasa zaman ini, bermula dengan pemerintahan Sultan Selim III terdapat usaha-usaha untuk memodenkan sistem-sistem di Turki. Banyak reformasi yang dilakukan oleh pemerintah dihalang oleh golongan-golongan konservatif di dalam Turki Uthmaniyyah sendiri sama ada oleh golongan keagamaan atau oleh golongan Janissari yang pada masa ini telah menjadi rasuah. Walaupun tentera elit Janissari ini dimansuhkan pada tahun 1826, usaha ini masih mendapat tentangan.


Kejatuhan (1828-1908)


Proses kemerosotan dan kejatuhan Empayar Uthmaniyyah dibentuk oleh pengstukturan semula dan transformasi dalam setiap aspek Empayar Uthmaniyyah. Walau bagaimanapun, usaha yang berterusan tidak membantu dalam menghalang proses kemerosotan sistem Uthmaniyyah. Satu perubahan yang signifikan hanyalah apabila Empayar Uthmaniyyah mula menjadi sekutu kuasa-kuasa Eropah. Terdapat beberapa siri pakatan dengan beberapa negara Eropah seperti Perancis, Belanda, Britain dan Rusia. Salah satu contoh yang nyata ialah semasa Perang Krimea, yang mana Perancis, Britain, dan Uthmaniyyah berpakat menentang Tsar Rusia.

Terdapat pada satu masa iaitu antara tahun 1839 dan 1876, reformasi dilaksanakan. Semasa zaman ini tentera moden ditubuhkan. Sistem perbankan juga disusun semula di samping pembinaan kilang-kilang yang moden. Dari struktur ekonomi pula, pihak pentadbir Uthmaniyyah menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman yang dibuat dengan bank-bank di Eropah. Dari segi ketenteraan, ia menghadapi masalah mempertahankan dirinya daripada diduduki kuasa-kuasa asing (cth: Mesir diduduki Perancis pada 1798; Cyprus diduduki Britishpada 1876, dll.).

Kebangkitan nasionalisme etnik mengancam kestabilan Uthmaniyyah kerana rakyatnya yang berbilang bangsa. Banyak peristiwa pemberontakan atas nama nasionalisme muncul dan mengugat Empayar Uthmaniyyah.

Pembukaan Ä°ttihat ve Terakki Cemiyeti

Kebangkitan nasionalisme memaksa Empayar Uthmaniyyah untuk bertindak. Sepanjang enam abad yang lalu banyak yang telah berubah kecuali sistem kerajaan. Ada juga sekumpulan orang dari Uthmaniyyah yang mempunyai pendidikan barat berpendapat bahawa konsep raja berpelembagaan dapat mengurangkan tekanan di dalam negara. Ä°ttihat ve Terakki Cemiyeti (Perhimpunan Perpaduan dan Kemajuan) mempunyai hubungan yang istimewa dalam kumpulan ini. Menurut buku yang dikeluarkan oleh Ä°ttihat ve Terakki Cemiyeti, kejayaan dapat dicapai sekiranya perubahan dilakukan terhadap institusi sosial dan politik Uthmaniyyah. Menerusi sebuah penggulingan ketenteraan, Ä°ttihat ve Terakki Cemiyeti memaksa Sultan Abdul Aziz untuk menyerahkan takhta kepada Murad V. Bagaimanapun, Murad V mempunyai masalah mental. Sultan Abdul Aziz terpaksa dipanggil semula dengan syarat baginda akan mengubah sistem politiknya. Sultan Abdul Aziz mengubah struktur pentadbiran yang berusia ratusan tahun ini 23 November 1876. Baginda mengubah nama perlembagaan baru ini kepada "Kanun-i Esasi". Perlembagaan ini bertahan sehinggalah bermulanya Perang Krimea.

Menjelang penghujung kurun kesembilan belas, keadaan politik Empayar Uthmaniyyah menunjukkan keadaan kucar-kacir pada masa akan datang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa reformasi dan perubahan tidak cukup untuk membuat perbezaan dan tidak cukup untuk menghalang pembubaran Empayar Turki Uthmaniyyah.


Pembubaran (1908-1922)


Dari sudut sosial, kebangkitan semangat nasionalisme dan perubahan untuk demokrasi menjadikan rakyat semakin tidak tenteram. Hal ini akhirnya menyebabkan beberapa siri perebutan kuasa yang mengakibatkan konsep raja berperlembagaan ditubuhkan yang mana sultan mempunyai sedikit kuasa manakala Parti Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan, lebih dikenali sebagai Turki Muda, memerintah keseluruhan Empayar Uthmaniyyah.

Peta terakhir kawasan Empayar Uthmaniyyah.

Tiga buah negara Balkan yang baru terbentuk pada penghujung abad kesembilan belas. Keseluruhan wilayah itu termasuk Montenegro mencari kawasan tambahan di dalam wilayah Albania, Macedonia, dan Thrace yang berada di bawah pentadbiran Uthmaniyyah. Dengan dorongan dari Rusia, beberapa siri perjanjian ditandatangani: antara Serbia dan Bulgaria (Mac 1912) dan antara Greece dan Bulgaria (Mei 1912). Perjanjian di antara Serbia dan Bulgaria mendesak kepada perpisahan Macedonia yang mengakibatkan Perang Balkan I. Selepas itu terjadi pula Perang Balkan II.

Dalam usaha terakhir untuk memastikan wilayah-wilayah terbabit kekal dalam kekuasaan Uthmaniyyah, Enver Pasha menyertai kuasa tengah dalam Perang Dunia Pertama. Semasa waktu ini, Landasan Kereta Api Baghdad yang dikuasai Jerman menjadi punca pertenglikaian antarabangsa dan memainkan peranan dalam punca tercetusnya Perang Dunia Pertama. Empayar Uthmaniyyah mendapat beberapa kejayaan dalam tempoh awal peperangan terbabit. Pihak bersekutu, termasuk unit tentera baru, ANZAC dikalahkan di Gallipoli, Iraq dan Balkan, dan beberapa kawasan diperolehi. Di Caucasus, tentera Uthmaniyyah tewas dalam beberapa siri pertempuran dan ini membolehkan tentera Rusia bergerak dari Trabzon, Erzurum, ke arah Van. Empayar Uthmaniyyah bagaimanapun tewas pada akhir peperangan ini terhadap pihak bersekutu dan mengakibatkan ia kehilangan wilayahnya.

Mustafa Kemal Pasha, yang memperoleh reputasi yang baik semasa kempen di Gallipoli dan Palestin, dengan rasmi dihantar daripada Istanbul (ditawan) untuk memerintah dan membubarkan tentera Uthmaniyyah di Caucasus. Pada awalnya pihak Uthmaniyyah hanya mengikuti arahan sahaja. Walau bagaimanapun dalam masa tahun kemudian, berlakunya perang kemerdekaan Turki (1918-1923) menentang kuasa asing. Perjuangan mereka ini mengakibatkan penggulingan kuasa Sultan Mehmet VI oleh Perhimpunan Baru Turki. Republik Turki kemudian diasaskan pada 29 Oktober 1923.

No comments: