by Suhaimi Hj Yusoff
1. Karya agung terbaru Historical Fact and Fiction oleh tokoh intelektual negara, Profesor Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sudah mencetuskan perdebatan yang agak luar biasa. Karya yang berkisar mengenai peradaban Melayu dan Islam itu telah menarik perhatian ramai pengkaji sejarah kerana dikatakan telah membuka dimensi baru dalam kaitan antara keduanya. Buku ini telah memberikan interpretasi dan tafsiran baru kepada sejarah Nusantara dan Alam Melayu. Isi kandungannya dipersembahkan dalam versi baru yang bertentangan dengan apa yang sudah terakam dalam sejarah negara ini yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Ianya sama sekali menangkis catatan sejarah mengenai asal usul Melayu dan Islam di rantau ini yang banyak ditulis oleh pelbagai pengkaji Barat.
2. Pertembungan intelektual antara pemikiran Dr. Syed Muhammad Naquib dengan pengkaji sejarah Barat menerusi buku yang tersohor ini telah menjadi tarikan utama kepada pengkaji sejarah tanahair dan antarabangsa untuk menyelusuri sudut pandangan tokoh intelektual Islam ini yang menghabiskan masa puluhan tahun lamanya untuk berkongsi hasil kajian ini. Beliau juga menyentuh mengenai beberapa perkara yang menjadi intipati serta fokus utama yang dimuatkan dalam naskah tersebut. Antaranya adalah mengenai sejarah asal kemasukan Islam ke rantau Nusantara yang sebenarnya dibawa menerusi misi khas oleh beberapa pendakwah dari Tanah Arab.
3. Sekumpulan pendakwah tersebut pula mempunyai hubungan nasab keturunan yang bersalasilah dengan Nabi Muhammad s.a.w. Teori terkini ini telah bercanggah dengan apa yang dipersembahkan oleh fakta sejarah sebelum ini bahawa Islam dibawa masuk ke rantau ini oleh pedagang-pedagang dari India, China dan Parsi. Dalam mengukuhkan teorinya, beliau telah memberi penjelasan bagaimana orang Melayu mampu menguasai bahasa Arab dengan baik tanpa ada pengaruh pelat India atau Parsi. Turut disentuh dalam manuskripnya adalah mengenai proses pengislaman Parameswara yang sebenarnya berlaku sebelum kewujudan Kesultanan Melayu Melaka lagi. Malah, Parameswara juga dipercayai berbangsa Melayu dengan nama Islamnya adalah Muhammad serta merupakan anak seorang Raja Palembang yang bernama Sang Aji.
4. Pendedahan mengenai asal usul Melaka seperti yang dipercayai sekian lamanya berasal dari pohon Melaka adalah tidak benar. Sebaliknya beliau menyatakan 'Melaka' merupakan perkataan yang diambil daripada bahasa Arab bermaksud 'pelabuhan'! Turut didedahkan menerusi buku ini adalah mengenai identiti Raja Muslim pertama kerajaan Samudera-Pasai serta asal usul perkataan Melayu dalam nama Sumatera. Selain itu, amalan mewariskan tahta dalam adat resam orang Melayu ketika zaman kegemilangan kerajaan Melayu dalam kurun ke-14 juga dinukilkan bersama.
5. Namun karya agung ini telah dengan sendirinya sudah mencetuskan impak yang cukup besar dalam bidang teori dan falsafah khususnya terhadap sejarah Melayu dan Islam di negara ini kerana banyak pihak yang sudah tersentak. Gesaan supaya fakta sejarah mengenai Melayu dan Islam yang terkandung dalam buku teks sejarah aliran pendidikan negara dewasa ini dirombak dengan menjadikan karya tersohor Dr. Syed Muhammad Naquib itu sebagai bahan rujukan utama. Perlu juga diakui usaha terhebat itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana sejarah mengenai Melayu dan Islam tersebut tidak hanya tercatat di negara ini. Pengkaji Barat yang merupakan pemilik asal teori mengenai Melayu dan Islam yang digunapakai ketika ini juga sudah mempunyai dokumentasi mengikut acuan mereka sendiri.
6. Justeru, usaha mengubah fakta sejarah itu tidak mungkin boleh dilakukan tanpa adanya perdebatan mengenai teori beliau di kalangan pengkaji sejarah terlebih dahulu. Sebagai contoh, pelbagai teori yang diutarakan dalam buku ini telah dibicarakan dalam beberapa siri wacana oleh pelbagai ahli akademik di Indonesia. Malah, ada sebilangan ahli akademik tersebut mengangkat martabat beliau setanding dengan Malek Bennabi iaitu pengkaji sejarah dan pemikir terkemuka dari Algeria yang pernah mencabar teori keislaman Barat menerusi bukunya, Islam in Society and History. Selepas Indonesia, senaraian teori dalam naskah ini akan dibahaskan pula di Turki serta beberapa negara Islam lain.
7. Mengikut jangkaan, terjemahan karya agung ini dalam versi Melayu akan memberikan impak yang lebih besar sedikit masa nanti kerana nilai komersil yang disuntik menerusinya mampu diangkat sebagai bahan rujukan agung yang memungkinkan sejarah mengenai Melayu dan Islam didokumentasi semula dari perspektif pengkaji intelektual Muslim sendiri.
Artikel asal dipetik dari Utusan Malaysia bertarikh Ahad, 20 November 2011 dan diolah semula untuk terbitan dalam ruang maya Balancing The Geoid (BTG).
(Artikel nombor 11 bawah Kategori IV Sosial dan Komuniti: Nusantara)
No comments:
Post a Comment