Friday, April 2, 2010

Sinar Harian :: Suara Cakna Komuniti Anda

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) semalam, disaman RM32.4 juta kerana didakwa melanggar perjanjian berkaitan penggunaan sistem aplikasi elektronik.

Trius Computers Sdn Bhd memfailkan saman itu pada jam 12.30 tengah hari di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, menerusi peguam Yusman Che Aman.

Turut hadir ialah pengurus besar syarikat itu, Azinor Abdul Aziz.

Berdasarkan penyataan tuntutan, syarikat itu selaku plaintif mendakwa UiTM yang dinamakan defendan melanggar perjanjian bertarikh 15 Januari 2004.

Perjanjian itu melantik plaintif untuk membangunkan sistem perisian komputer iaitu Aplikasi Elektronik UiTM bertujuan memproses sistem permohonan kemasukan penuntut defendan.

Plaintif mendakwa perjanjian itu akan berjalan selama 15 tahun bermula 21 Ogos 2001 dan tamat 20 Ogos 2016.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan telah melanggar perjanjian itu selepas mengiklankan permohonan kemasukan pelajar baru sesi Julai 2010 melalui alamat web/URL http://www.online.uitm.edu.my pada 7 Mac lalu.

Ini kerana, plaintif mendakwa, alamat laman web/URL yang dijalankan plaintif ialah www.uitmonline.edu.my.

Plaintif seterusnya mendakwa, tindakan defendan mengiklankan alamat web itu secara tersiratnya menunjukkan defendan telah menamatkan perjanjian.

Plaintif juga mendakwa, telah mendapatkan penjelasan defendan pada 8 Mac lalu, tetapi tidak menerima sebarang tindak balas.

Justeru itu, plaintif mendakwa kerugian RM32.4 juta seperti dalam bentuk kos pembangunan perisian, kehilangan pendapatan untuk tujuh tahun dan menaik taraf pelbagai perisian.

Oleh itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa penamatan perjanjian dan tindakan defendan tidak menggunakan khidmat plaintif adalah salah dan tidak sah serta bertentangan dengan perjanjian itu. :

Selain itu, plaintif memohon perintah supaya defendan dihalang menggunakan perkhidmatan sistem permohonan kemasukan selain daripada yang dikendalikan plaintif.

Plaintif juga memohon defendan dihalang daripada melantik pihak ketiga untuk mengendalikan sistem itu dan plaintif dibenarkan untuk meneruskan perkhidmatan.

Plaintif turut memohon, defendan menarik semula arahan pengiklanan itu dan mengemukakan jumlah angka penuh permohonan yang diterima bagi sesi Julai 2010.

Plaintif memohon ganti rugi, kos dan relif yang difikirkan sesuai.

(Sumber - Sinar Harian :: Suara Cakna Komuniti Anda)

No comments: