Thursday, October 23, 2008

Sang Serangga Si Semut - Mereka Bersatu Membina Kejayaan...!

Dihadapan rumah saya di kolej delima 3 terdapat 4 batang pokok rambutan, semua pokok rambutan ini akan berbuah bila sampai musimnya, apabila sampai musim berbuah, ia akan menjadi pusat perkumpulan monyet yang tidak diundang, tupai akan berkejar-kejaran mencari makanan diatas dahan dan rimbunan daun pokok rambutan tersebut. Sekarang semua pokok rambutan tersebut sudah mula berbunga dan ada beberapa dahan telah mula berputik dan berbuah, ada juga yang sudah mula masak dan berwarna kekuning-kuningan sebab rambutan tersebut dari jenis rambutan kuning bila masak.

Saya melihat deretan semut hitam yang melalui dahan pokok tersebut sehingga ke pangkal pokok rambutan dan deretan semut itu terus melalui laluan di atas tanah, saya menjejaki laluan deretan semut itu sehingga sampai ke sarangnya, setiap kali sang semut bertemu kawannya yang melalui laluan tersebut, mereka seolah-olah memberi salam, semacam ada komunikasi diantara mereka, didalam sarang terdapat semut yang lebih besar saiznya dan bersayap, masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing, tiada rehat, mereka terus berkerja, ada yang mengangkut makanan, ada yang terus berjalan, ada yang mengigit makanan dan pelbagai aktiviti sang semut didalam sarangnya.

Pengajaran terbesar yang saya dapat saksikan daripada kumpulan semut hitam ini ialah komitmen dan sikap sang semut dengan semut-semut yang lain. Semut sentiasa berusaha secara terus menerus untuk berjaya dan mendapatkan apa yang diinginkan, ia merangkak diatas dahan, kemudian terjatuh, namun ia tetap berusaha untuk bangun dan berusaha merangkak kembali di atas dahan tersebut, dan terus berjalan lagi tanpa mengenal lelah, jemu dan bosan. Apabila laluan tersebut terhalang, maka semut akan berusaha lalu ke kiri dan ke kanan, namun jika ia mendapat kesukaran, sang semut akan memanjat objek yang menghalang laluannya, mereka terus berusaha, sehingga akhirnya berjaya sampai ke sarangnya semula.

Teladan yang boleh diambil daripada peristiwa ini ialah ketabahan, kesabaran, tekad kuat, sikap pantang menyerah dan berusaha tanpa mengenal erti lelah dan bosan. Semut tidak menoleh ke belakang, sekali ia bergerak kehadapan, ia akan terus kehadapan sehingga matlamatnya tercapai.

Saya menyeru semua mahasiswa UiTM untuk mencontohi semut dalam perjalanan saudara dan saudari menuntut ilmu di UiTM. Kalian akan menjadi mahasiswa yang berjaya jika kalian mencontohi sifat dan perangai semut.

2 comments:

hajar_syafiqah said...

"ketabahan, kesabaran, tekad kuat, sikap pantang menyerah dan berusaha tanpa mengenal erti lelah dan bosan."
semoga kami dpt teladani sifat2 tersebut hendaknya..amin..

Ahmad Rais Johari said...

Semoga begitulah hendaknya. Amin